Cerita gagak yang kehausan di sebuah kawasan gersang sering kita dengar sewaktu masih kecil, sama ada diceritakan oleh ibu bapa atau melalui bacaan buku cerita kanak-kanak. Kisah tersebut berkisar tentang kegigihan seekor burung gagak yang mencari air kerana kehausan. Namun begitu, setelah puas terbang ke sana ke mari mencari air di kawasan gersang itu, gagak itu masih tidak menemukan air. Keadaan yang kering dan gersang itu disebabkan oleh musim kemarau yang melanda kawasan tersebut. Hujan sudah lama tidak turun sehingga banyak sungai yang kering.
Setelah puas berusaha, burung itu berasa kepenatan dan berhenti rehat di dahan sebatang pokok. Ketika itulah gagak terlihat sebuah balang yang mengandungi sedikit air di dalamnya. Malangnya muncung balang itu agak sempit dan panjang pula. Paruh gagak tidak dapat sampai pada air didalam bekas itu dan agak mustahil pula untuk gagak dapat minum air tersebut.
Oleh sebab kehausan yang amat sangat, gagak itu mula berfikir, lalu mendapat satu idea. Gagak tersebut terbang dan mengutip batu-batu sehingga air di dalam balang tersebut naik ke paras muncung balang. Dengan mudah gagak dapat minum sepuas-puasnya dan bangga dengan kebolehannya. Tindakannya itu menyebabkan gagak tersebut terselamat daripada mati kehausan.
Kisah gagak itu ialah cerita teladan yang harus dijadikan panduan oleh pelajar yang jauh lebih baik ciptaannya berbanding dengan makhluk lain di dunia ini. Jika makhluk lain hanya diberikan nafsu sebagai panduan hidupnya, manusia pula dijadikan Tuhan dengan pelbagai keistimewaan, terutamanya diberi akal fikiran supaya manusia mampu berfikir dan mencorakkan hala tuju kehidupannya. Timin dan pisau di tanggan kita, terserah sama ada kita mahu memotong timun itu bulat-bulat atau panjang-panjang. Kita yang menentukan nasib hidup kita.
Cerita burung tersebut mungkin cerita rakyat yang diubah suai bagi menyedapkan jalan cerita seperti kisah sang kancil dengan buaya dan kisah little Mermaid dalam mitos orang Barat. Namun demikian, sekiranya diperhalus, bukan jalan cerita yang menjadi rujukan atau penyedap telinga, tetapi kisah teladan yang harus menjadi panduan kita, khususnya bagi manusia yang mahu berfikir.
Sebagai pelajar, apakah yang harus diambil daripada kisah gagak itu? Adakah pelajar hanya ketawa atau tersenyum apabila membaca cerita tersebut? Adakah pelajar hanya menjadi penyampai cerita kepada adik-adik tentang kisah gagak itu?
Aktiviti membaca bukanlah sekadar membaca secara membuta tuli atau seperti burung kakaktua yang pandai bercakap, tetapi tidak mengetahui maksud kata-kata yang diucapkannya. Pelajar harus melihat lebih daripada yang tersurat dalam kisah gagak itu. Yang tersirat daripada kisah teladan itu ialah KEGIGIHAN gagak tersebut apabila berhadapan dengan keadaan yang sukar dan kesungguhannya berusaha mendapatkan apa-apa yang diinginkan, tanpa mengenal erti putus asa.
Sehubungan dengan hal itu, pada 2010, pelajar mungkin akan menduduki peperiksaan yang penting. Peperiksaan yang besar seperti PMR, SPM, STPM ialah peperiksaan yang akan mengarahkan hala tuju pelajar dalam menentukan masa hadapan yang cerah atau sebaliknya.
Itulah fokus utama pelajar yang harus dititikberatkan pada 2010 ini berbanding dengan perkara-perkara yang lain. Jika pelajar menyenaraikan 10 perkara yang harus dijadikan keutamaan sepanjang tahun ini, maka "kecemerlangan dalam peperiksaan" perlu diletakkan ditempat paling atas.
Untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, kepintaran atau akal fikiran kita hanya satu peratus daripada kejayaan kita. Sebaliknya, 99 peratus ialah usaha daripada keringat kita sendiri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pelajar perlu lebih gigih berusaha, lebih rajin membaca, mempunyai strategi, banyak bertanya, dan pelbagai lagi tindakan proaktif, bagi menjamin kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan.
Gabungan antara kecemerlangan merangka strategi dengan kegigihan berusaha sudah pasti menjanjikan kejayaan bagi pelajar. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kepintaran atau akal fikiran hanya mewakili sebahagian kecil daripada kejayaan dan yang paling utama ialah usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu.
Kebanyakan manusia yang berjaya pada hari ini ialah manusia yang rajin berusaha. Manusia seperti ini ingin yang terbaik dan memperbaik keadaan hidupnya daripada "biasa" kepada keadaan yang luar biasa.
Pelajar perlu berusaha mencontohi individu yang berjaya seperti Nicol Ann David. Lihat sahaja usahanya setiap hari sehingga kini mampu menjadi pemain dunia terbaik dan mampu mengubah kedudukannya dalam carta pemain skuasy di dunia.
Pelajar harus menjadikan golongan seperti ini sebagai teladan agar pelajar juga mampu mencapai kejayaan sepertinya. "Tidak ada kejayaan yang datang bergolek". Setiap kejayaan memerlukan usaha tanpa mengenal erti jemu dan putus asa. Berusahalah dan terus berusaha untuk mengejar kejayaan. Semakin gigih pelajar mengejar sesuatu kejayaan, maka semakin dekat kejayaan akan menghampiri pelajar.
Cuba pula pelajar lihat sikap rakyat Jepun yang berusaha bangun sebagai bangsa dan negara yang maju. Kini, negara Jepun dapat berdiri sebagai negara maju sehingga menjadi contoh kepada negara-negara lain di dunia. Peristiwa pengeboman Nagasaki dan Hiroshima cukup menyiksakan seluruh bangsa Jepun. Cuba fikirkan, bagaimanakah Jepun mampu bangkit?
Bangsa Jepun yang mempunyai semangat jati diri yang kuat sebagai bangsa yang ingin maju dan menebus kekecewaan yang pernah dialaminya. Setiap kegagalan ada hikmahnya dan kekecewaan itulah sesuatu yang perlu ditebus dan bukan untuk ditangisi.
Kepintaran ialah anugerah Tuhan yang boleh diasah. Apabila seseorang individu banyak membaca, pasti kepintarannya akan terserlah. Itulah sahaja kuncinya. Kadangkala terdapat individu yang dianugerahkan oleh Tuhan dengan kepintaran luar biasa, seperti Adi Putra yang mampu menyelesai masalah matematik yang sukar sehingga menjadi rujukan orang ramai, termasuk peringkat IPT. Kepintaran yang luar biasa itu merupakan anugerah Tuhan. Tuhan memberi peluang kepada manusia agar dapat berfikir tentang kekuasaan-Nya yang mampu menjadikan apa-apa yang Dia inginkan terhadap hamba-Nya.
Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa yang berada pada tahap majoriti manusia. Kita perlu melihat kepintaran yang dimiliki harus dipupuk dan dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin.
Yang paling penting, berusahalah dengan bersungguh-sungguh agar mendapat kejayaan yang diidamkan. Kepintaran sahaja tidak mencukupi untuk membawa manusia ke arah kejayaan. Ingatlah bahawa kepintaran hanya satu peratus daripada inspirasi dan 99 peatus ialah curahan keringat individu itu sendiri dalam menentukan kejayaan.
No comments:
Post a Comment