Monday, March 14, 2011

Kajian Novel: Lestari Bukit Menghijau

LESTARI BUKIT MENGHIJAU
( Syed Mahadzir )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:
Kehadiran Pak Tua di Kampung Alor Rambai menimbulkan kecurigaan penduduk kampung. Dia dianggap gila kerana membeli bukit yang penuh dengan hutan belantara. Bukit tersebut dianggap tidak berfaedah oleh penduduk kampung. Pak Tua terlalu mencintai alam sekitar sehingga menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan penduduk kampung. Dia akan menegur sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok. Hubungan Pak Tua dengan penduduk kampung tidak mesra, dia tersisih kerana sikapnya yang pendiam, suka memencilkan diri dan tidak mesra.
Zahiran sebagai pelajar Tingkatan 3 di kampung tersebut berjaya mendekati lelaki misteri ini dalam usaha menjayakan projek sekolah lestari. Projek sekolah lestari telah diilhamkan oleh Cikgu Idham, pengetua baharu Di SMK Alor Rambai yang proaktif dalam menceriakan suasana sekolah. Zahiran dan rakan-rakannya telah ditugaskan untuk mencari beberapa jenis burung dan ikan untuk menghiasi taman sekolah mereka. Projek sekolah lestari ini adalah sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar(JAS) dan Kementerian Pelajaran yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.
Hasil usaha Zahian dan rakan-rakannya, Pak Tua mula diterima oleh penduduk kampung. Hamzah yang diserang demam kuning menjadi titik permulaan kepada usaha gotong-royong bagi membersihkan kawasan rumah Hamzah yang kotor dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Seluruh kampung turut dibersihkan. Hasil cetusan idea Pak Tua, Tabung Pak Hamid dilancarkan bagi membantu keluarga malang itu. Penyakit untut Pak Tua Hamid berjaya dirawat setelah menjalani pembedahan di Hospital Appolo, Chenai, India.
Tragedi pokok Bintangor yang terbakar membolehkan Zahiran mencungkil sejarah hidup Pak Tua, iaitu seorang saintis yang pernah tinggal di Chicago, Amerika Syarikat. Isteri Pak Tua, Kamariah dan dua orang anaknya Zahirah dan Zuwairah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kedua-dua orang anaknya meninggal dunia, manakala isterinya menderita penyakit HIV akibat pemindahan darah. Kamariah meninggal dunia sewaktu Pak Tua dan rakan-rakannya telah berjaya dalam usaha mengumpulkan sampel untuk penawar HIV. Poko bintangor spesies calophyllum leanigerum merupakan estrak penting dalam menghasilkan penawar HIV. Pokok ini banyak terdapat di belantara negeri Sarawak dan Pak Tua telah berusaha menanam pokok bintangor di sekitar Bukit Bintangor.
Akhirnya, Pak Tua telah menghembuskan nafas terakhir setelah dia mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.
Tema:
Kepentingan menjaga alam sekitar. Pak Tua sangat mencintai alam sekitar sehingga dia sanggup membeli bukit yang dipenuhi hutan belantara. Dia melarang sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok. Dia juga menangis apabila pokok bintangor kesayangannya terbakar
Persoalan:
1. Persoalan cinta akan alam sekitar.
  • Contoh: Pak Tua amat mencintai alam sekitar hingga sanggup membeli sebuah bukit seluas empat hektar yang dipenuhi belantara. Kawasan bukit ini ditanami dengan pokok bintangor.

2. Persoalan menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

  • Contoh: Penduduk Kampung Alor Rambai telah membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi mengelakkan penyakit-penyakit bawaan nyamuk.

3. Persoalan peranan pelajar menjayakan sesuatu projek sekolah.

  • Contoh: Zahiran dan rakan-rakannya berusaha mencari burung dan ikan untuk menjayakan projek sekolah lestari.

4. Persoalan mempercayai kepercayaan karut.

  • Contoh: Pak Hamid mempercayai khidmat dukun Lebai Deraman yang mengubati anaknya, Hamzah. Hamzah dikatakan demam biasa akibat ditegur hantu tanah.

5. Persoalan para saintis membuat kajian menghasilkan perubatan moden.

  • Contoh: Pak Tua dan rakan-rakannya berjaya menghasilkan penawar HIV daripada estrak pokok bintangor spesies calopyllum lanigerum.

6. Persoalan sumber alam yang boleh memberikan manfaat kepada manusia.

  • Contoh: Sumber alam seperti pokok bunga cempaka putih boleh megubati bisul, kudis dan radang tengkuk; daun pokok kacang kelor berkhasiat membantu membersihkan darah, mengurangkan kandungan gula dan mengawal tekanan darah di dalam badan.

Plot:

Novel ini dibina mengikut kronologi dari awal hingga akhir.

Permulaan:

Dimulakan dengan kehadiran Pak Tua di Kampung Alor Rambai telah menimbulkan pelbagai prasangka penduduk kampung terhadapnya. Keputusan Pak Tua membeli bukit seluas empat hektar (bukit bintangor) menyebabkan penduduk kampung menganggapnya sebagai tidak waras. Zahiran cuba mendekati Pak Tua yang tinggal di kaki Bukit Bintangor.

Perkembangan:

Cikgu Idham mencetuskan idea untuk mengadakan projek sekolah lestari dan berhasrat menyertai pertandingan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Pelajaran. Zahiran dan rakan-rakannya ditugaskan menangkap burung dan ikan, serta mencari pelbagai jenis pokok bunga. Secara tidak langsung, hal ini membolehkan Zahiran dan rakan-rakannya mengenali Pak Tua dengan lebih dekat. Mereka mendapati Pak Tua bukanlah seperti yang dianggap oleh orang kampung.

Puncak:

Hamzah telah diserang penyakit demam kuning yang boleh membawa maut. Penyakit demam kuning berpunca daripada gigitan nyamuk aedes aegypti. Pak Tua menyarankan Hamzah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Rentetan daripada peristiwa itu, gotong-royong membersihkan kawasan rumah Hamzah dan sekitar kampung dijalankan.

Peleraian:

Pak Tua berhasrat untuk membantu Pak Hamid yang menderita penyakit untut akibat gigitan nyamuk culex SP. Pak Tua mencadangkan penubuhan Tabung Pak Hamid untuk tujuan rawatan. Manakala, Zahiran berjaya mencungkil latar belakang kehidupan Pak Tua. Sebelum meninggal dunia, Pak Tua telah mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan

Teknik Plot:

1. Dialog. Contoh:

  • "Kenapa dengan jip pak cik?" Zahiran mengulangi. "
  • "Tayarnya pancit!" ujar Pak Tua sambil mengeluh panjang.

2. Imbas kembali.Contoh:

  • Zahiran terkenang akan kisah Pak Tua setiap kali dia memandang Bukit Bintangor.
  • Pak Tua telah menceritakan kisah kehidupannya kepada Zahiran.

3. Suspens.Contoh:

  • Pembaca tertanya-tanya apakah yang berlaku apabila kelihatan asap tebal keluar dari pucuk-pucuk hutan di Bukit Bintangor.

4. Kejutan.Contoh:

  • Zahiran mengetahui latar belakang kehidupan Pak Tua. Dia terkejut apabila mengetahui bahawa Pak Tua ialah saintis yang pernah bertugas di Chicago, Amerika.

5. Pemerian.Contoh:

  • Bukit yang tersergam megah, menghijau di hujung kampung.
  • Kampung Alor Rambai, Sungai Jeneri, Jeniang itu banyak kisahnya, terselit suka terpalit duka perjuangan seorang tua.

Watak dan Perwatakan:

Watak Utama

Zahiran

  • Anak yatim ( bapanya telah meninggal dunia semasa ia berusia 10 tahun ).
  • Pelajar Tingkatan 3 Di Sekolah Menengah Alor Rambai.
  • Seorang yang baik hati (membantu Pak Tua menukar tayar jip yang pancit)
  • Menjadi ketua kumpulan mencari burung bagi menjayakan projek sekolah lestari.
  • Seorang yang mencintai alam sekitar-dia sedar manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitar.
  • Dapat menguasai nama saintifik beberapa jenis pokok (belajar daripada Pak Tua).
  • Menjalinkan hubungan erat dengan Pak Tua.
  • Berjaya menangkis anggapan orang kampung terhadap Pak Tua.
  • Bertanggungjawab. Zahiran melaksanakan tugasan yang diarahkan seperti mencari burung.
  • Rajin berusaha. Zahiran rajin mengulangkaji pelajarannya dan mempelajari nama-nama saintifik pokok daripada Pak Tua.
  • Bijak. Zahiran bijak hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka di Londang.
  • Bercita-cita untuk menjadi seorang saintis seperti Pak Tua.

Watak Sampingan:

Pak Tua

  • Berusia dalam lingkungan 60-an.
  • Pendiam, selekeh, suka memencilkan diri, tidak mudah mesra.
  • Hidup bersendirian di sebuah pondok kayu.
  • Seorang saintis (Profesor Osman Yunus).
  • Pernah bertugas di Chicago, Amerika Syarikat.
  • Berharta (mampu membeli empat hektar tanah di Bukit Bintangor).
  • Amat cinta akan alam sekitar.
  • Seorang yang berpengetahuan luas dalam banyak perkara-mengetahui tentang punca penyakit untut yang disebabkan bawaan nyamuk, kegunaan pokok-pokok untuk tujuan perubatan.
  • Menguasai nama saintifik pokok-pokok.
  • Banyak idea bernas-beliau mencetuskan idea penubuhan Tabung Pak Hamid bagi membantu mengubati penyakitnya.
  • Seorang pemurah-mewakafkan Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.

Cikgu Idham

  • Pengetua baharu di SMK Alor Rambai.
  • Mengajarkan mata pelajaran Sains Pertanian.
  • Berusia lingkungan 45 tahun.
  • Kreatif dan banyak idea.
  • Memperkenalkan Kempen Amalan Hijau Sekolah dan kitar semula.
  • Mencetuskan idea menceriakan kawasan sekolah dan mengadakan projek sekolah lestari.
  • Berfikiran terbula dan mudah menerima idea Pak Tua untuk bergotong-royong membersihkan kampung serta menubuhkan Tabung Pak Hamid.

Latar

Latar Masa

1. Sekitar tahun 1990-an (buktinya kajian mencari ubat penyakit HIV dan adanya pertandingan Sekolah Lestari).

2. Peristiwa berlaku pada waktu pagi, petang dan malam. Contoh peristiwa:

  • Pagi- Zahiran pergi ke Bukit Bintangor untuk berjumpa dan mengenali Pak Tua dengan lebih rapat.
  • Petang-Zahiran pergi ke kedai runcit Pak Long Hamad dan dalam perjalanan dia melihat banyak tumbuhan hijau yang telah dikenalinya.
  • Malam- Selepas sembahyang Isyak penduduk kampung telah berbincang tentang cadangan Pak Tua menubuhkan tabung kutipan derma bagi membantu mengubati penyakit Pak Hamid.

Latar Tempat

  • Kampung Alor Rambai -secara keseluruhannya peristiwa berlaku di Kampung Alor Rambai
  • Bukit Bintangor -Pak Tua menanam poko bintangor yang hanya terdapat di belantara Sarawak.
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai -Cikgu Idham memperkenalkan Kempen Amalan Hijau Sekolah.
  • Pondok Pak Tua di kaki Bukit Bintangor -Pak Tua hidup bersendirian di pondok kayu di bukit itu.
  • Kedai Runcit Pak Long Hamad -Setiap awal bulan, Pak Tua akan ke kedai runcit Pak Long Hamad untuk membeli barang-barang keperluan dapur.
  • Rumah Hamzah -Pak Tua dan Zahiran mengunjungi rumah Hamzah untuk melawatnya yang sedang demam.
  • Hadapan rumah Zahiran -Pak Tua menengking Zahiran yang sedang menebang pokok cempaka putih di hadapan rumahnya.
  • Sungai Jeneri -Sewaktu musim hujan lebat, Sungai Jeneri akan dilimpahi air deras dan berbahaya.

Latar Masyarakat

1. Masyarakat kampung yang suka membuat fitnah.Contoh:

  • Seleman, Setopa dan Kasa menyebarkan fitnah bahawa Pak Tua terlibat dalam kegiatan haram memproses dadah untuk diedarkan ke bandar-bandar besar seluruh negara.

2. Masyarakat pendidik yang berwawasan.Contoh:

  • Cikgu Idham ialah guru yang berwawasan untuk merealisasikan impian pelajar Modal Insan Berdisiplin dan Sekolah Mesra Alam Lestari.

3. Masyarakat pelajar yang rajin dan bertanggungjawab.Contoh:

  • Zahiran, Kadir, Hamzah dan rakan-rakannya yang lain rajin dan bertanggungjawab mencari pokok bunga,ikan dan burung yang diamanahkan kepada mereka.

4. Masyarakat saintis yang membuat uji kaji tentang penawar penyakit.Contoh:

  • Profesor Osman Yunus bersama dengan beberapa orang pakar botani membuat penyelidikan dan berjaya menghasilkan penawar HIV.

Gaya Bahasa

1. Diksi

  • Penggunaan kata yang mudah difahami.
  • Penggunaan istilah-istilah saintifik. Contoh: atmosfera, biodiversiti, bronchitis, farmakologi, sintesis, dan virus.
  • Penggunaan bahasa pinjaman Bahasa Arab. Contoh: madrasah.
  • Penggunaan bahasa Inggeris. Contoh: mosquito.
  • Penggunaan dialek. Contoh: benak(bertempiaran), ceridau(kicauan), jerba(terkam/terpa), mengeluyur(keadaan tidak keruan/merayau-rayau), terkelih(terlihat) dan upar( menggentel tapak tangan).

2. Penggunaan ayat

  • Penggunaan ayat yang pendek. Contoh: Pagi berkabus.
  • Penggunaan ayat yang panjang. Contoh: Di pinggir bukit yang kaya dengan pokok-pokok pelbagai jenis mengalir Sungai Jeneri, tempat bermain seluang, baung, sempilai, haruan, kenjeng, lais, betuk, bujur, tapah, dan kedak.

3. Bahasa Perbandingan

  • Simile. Contoh: seperti penceramah Forum Perdana(m/s 11), terkenal macam Datuk Azhar Mansur(m/s 39), Pandai betul kamu buat lawak ye! Macam Senario dalam TV3 (m/s 41)

4. Penggunaan imej alam

  • Contoh: sungai, bukit, pokok, ikan, burung, hutan belantara dan nyamuk.

5. Sinkope

  • Contoh: tak, ni, nak, dah dan tu

6. Personafikasi

  • Contoh: mesra dengan hujan yang menitis, manja dengan belaian angin yang menderu segar, hujan tak bertandang menyuburkan tumbuhan hijau, angin tidak datang mengusap tubuh, sinarnya menjunam di celah-celah daun pokok lalu menimpa tanah, cahaya matahari masih lagi tersembunyi.

7. Ungkapan Menarik

  • Simpulan Bahasa: tersenyum simpul (m/s 10)
  • Peribahasa: tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, ada udang di sebalik batu.(m/s 24)
  • Bahasa puitis: Semua makhluk ada hubungan yang erat dengan cahaya matahari. Mesra dengan hujan yang menitis dari langit dan manja dengan belaian angin yang menderu segar.

Nilai

1. Nilai kasih sayang antara sesama insan.

  • Pak Tua menunjukkan kasih sayang sejati kepada isteri nya, Kamariah sehingga dia sanggup membuat penyelidikan tentang penawar HIV.

2. Nilai tolong-menolong dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

  • Zahiran telah menolong Pak Tua menukar tayar keretanya yang pancit.

3. Nilai kecekalan menghadapi halangan dan rintangan.

  • Pak Tua cekal menghadapi dugaan hidup selepas kematian anak dan isterinya.

4. Nilai baik hati.

  • Pak Tua baik hati terhadap keluarga Zahiran dengan membelikan barang-barang keperluan dapur.

5. Nilai bertanggungjawab.

  • Zahiran dan rakan-rakannya bertanggungjawab menangkap burung dan ikan yang diamanahkan kepada mereka.

6. Nilai bekerjasana.

  • Penduduk kampung Alor Rambai bekerjasama membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
  • Pak Tua dan rakan-rakan saintisnya bekerjasama menjalankan uji kaji untuk mencari penawar HIV.

Pengajaran

1. Kita hendaklah berkasih sayang antara satu sama lain.

  • Pak Tua menunjukkan kasih sayang sejati kepada isterinya, Kamariah sehingga dia sanggup membuat penyelidikan tentang penawar HIV.

2. Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara.

  • Pak Tua dan rakan-rakan saintisnya bekerjasama menjalankan uji kaji untuk mencari penawar HIV.

3. Kita haruslah menolong orang yang berada dalam kesusahan.

  • Zahiran telah menolong Pak Tua menukar tayar keretanya yang pancit. Penduduk kampung juga telah membantu Pak Hamid dengan mengadakan kutipan derma bagi mengubati penyakitnya.

4. Kita mestilah cekal apabila menghadapi halangan dan rintangan dalam hidup.

  • Pak Tua cekal menghadapi dugaan hidup selepas kematian anak dan isterinya.

5. Kita perlu bersikap baik terhadap orang lain.

  • Pak Tua baik hati terhadap keluarga Zahiran dengan membelikan barang-barang keperluan dapur.

6. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

  • Zahiran dan rakan-rakannya bertanggungjawab menangkap burung dan ikan yang diamanahkan kepada mereka.

7. Kita mestilah menjaga kebersihan kawasan persekitaran pada setiap masa.

  • Penduduk Kampung Alor Rambai bekerjasama membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

Sunday, March 13, 2011

Sajak: Laut

Sajak: LAUT
( Ismail Sharif )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Laut ini begitu biru
laut ini begitu luas
laut ini begitu indah.
Penyajak memerihalkan tentang laut yang membiru dan luas terbentang terlalu indah dipandang.
Betapa bahagianya hati
laut ini membuatku bahagia
laut ini begitu tenang
begitu kaya.
Keindahan dan ketenangan laut dapat memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada penyajak.
Kulihat pasir putih
kulihat kerang
kurasakan ombak menyapa kaki
dan kurasakan
angin pantai membelai.
Penyajak menikmati keadaan dan suasana kawasan laut terdapat kulit kerang dan pasir pantai yang putih.
Seorang nelayan jauh di sana
berdiri di atas perahu kecil
menebarkan jala
mencari ikan untuk keluarga.
Penyajak memerhatikan seorang nelayan di tengah lautan. Seorang nelayan berdiri seorang diri di atas sebuah perahu kecil sambil menebarkan jala untuk menangkap ikan bagi mencari rezeki menyara keluarga.
Burung laut menari-nari di sana
mengepak-ngepakkan sayapnya
begitu gembira bernyanyi
bagai berlumba
dengan nyanyian ombak.
Kelihatan burung-burung berkicauan dan berterbangan bebas ke sana dan ke sini diiringi dengan bunyi deruan ombak.
Setengah matahari kulihat di seberang
di seberang laut biru ini
bagai malu-malu ia mengintip
namun dengan setia
memberi sinarnya.
Penyajak juga dapat melihat keindahan matahari terbenam di seberang laut.
Hai, laut biru
hari ini juga aku nyatakan
kau adalah saudaraku!
Penyajak bertekad dan dengan tegas menyatakan komitmennya bahawa laut yang terbentang di depan matanya ada merupakan sahabat dan kawannya.
Tema:
Sajak ini mengemukakan tema keindahan pemandangan di kawasan laut yang dapat menenangkan jiwa seseorang.
Persoalan:
  1. Persoalan keindahan kawasan laut dapat menenangkan jiwa - Penyajak dapat berasakan ketenangan jiwa apabila menikmati suasana di kawasan laut.
  2. Persoalan kegigihan mencari rezeki - Nelayan gigih menangkap ikan bagi menyara kehidupan keluarganya.
  3. Persoalan keindahan alam ciptaan tuhan - suasana kawasan laut menandakan betapa indahnya alam ciptaan tuhan.

Bentuk:

1. Sajak ini terdiri daripada enam rangkap.

2. Rima akhir adalah bebas.

3. Jumlah baris serangkap bebas.

  • Contohnya: R1 - 3 baris, R2 -4 baris dan sebagainya.

4. Jumlah perkataan sebaris antara dua hingga lima patah perkataan.

5. Jumlah suku kata sebaris antara lima hingga empat belas suku kata.

Gaya Bahasa:

1. Anafora

  • Laut ini begitu biru
  • laut ini begitu luas
  • laut ini begitu indah

2. Personifikasi

  • Laut ini begitu tenang / ombak menyapa kaki

3. Sinkope

  • membuatku bahagia

4. Simile

  • begitu gembira mereka menyanyi bagai berlumba

5. Asonansi

  • Betapa bahagianya hati

6. Aliterasi

  • dengan nyanyian ombak

Nada:

Sajak ini bernada romantis.

Nilai:

1. Nilai kesyukuran.

  • Bersyukur dengan nikmat keindahan alam yang mampu memberikan ketenangan dalam hidup.

2. Nilai kegigihan.

  • Kegigihan nelayan mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah bersyukur dengan keindahan alam ciptaan tuhan - keindahan dan ketenangan di kawsan laut dapat memberi ketenangan.
  2. Kita perlulah gigih berusaha untuk mendapatkan rezeki - nelayan berusaha gigih bagi mendapatkan rezeki untuk menyara keluarga.
  3. Kita seharusnya menghargai keindahan alam sekeliling kita.

Sajak: Warkah Kepada Generasi

Sajak: WARKAH KEPADA GENERASI
( Amiruddin Md Ali Hanafiah )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum
Generasiku tercinta
kalian adalah kelompok bertuah
yang sempat berteduh di langit alaf baru
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
di tanah merdeka milik abadi kita.
Penyajak menjelaskan bahawa generasi muda sebagai golongan yang beruntung kerana hidup pada zaman sekarang. Mereka hidup sebagai bangsa yang bermaruah di negara yang merdeka.
Generasiku yang bijak bestari
ini bumi suci perjuangan nenek moyang
yang bersumpah setia memartabatkan bangsa
mendaulatkan tanah air, mencipta kebebasan
membina istana merdeka yang kalian alami.
Penyajak mengingatkan generasi muda yang berilmu bahawa negara yang dialami oleh mereka sekarang merupakan hasil perjuangan nenek moyang mereka yang berusaha mendapatkan kemerdekaan negara.
Penutup warkah ini
inginku ingatkan: jangan biarkan akar sejarah
tercabut dari bumi bertuah ini.
Penyajak mengakhiri pesanannya agar kita semua tidak melupakan sejarah negara.
Tema:
Sajak ini mengemukakan tema peringatan dan pesanan kepada golongan muda / generasi sekarang tentang sejarah kemerdekaan negara.
Persoalan:
  1. Persoalan generasi muda yang bertuah kerana dapat hidup di sebuah negara yang merdeka.
  2. Persoalan kemerdekaan negara merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita.
  3. Persoalan kepentingan sejarah kemerdekaan negara.

Gaya Bahasa:

1. Metafora

  • tanah merdeka ( R1 b5 )
  • istana merdeka ( R2 b5 )
  • akar sejarah ( R3 b2 )

2. Sinkope

  • ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah ( R3 b2 )

3. Asonansi

  • dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah. ( R1 b4 ) perulangan vokal 'a'

4. Aliterasi

  • tercabut dari bumi bertuah ini ( R3 b3 ) Perulangan konsonan 't'

Nada:

Sajak ini bernada patriotik

Bentuk:

  1. Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
  2. Rima akhir bebas.
  3. Jumlah baris serangkap bebas. Contoh: R1 - 5 baris, R2 - 5 baris dan Rangkap 3 -3 baris.
  4. Jumlah perkataan sebaris adalah antara dua hingga tujuh patah kata.
  5. Jumlah suku kata sebaris adalah antara tujuh hingga enam belas suku kata.

Nilai:

1. Nilai kesyukuran.

  • Penyajak mengajak generasi muda bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara.

2. Nilai pengorbanan.

  • Nenek moyang kita sanggup berkorban demi mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah.

3. Nilai cinta akan negara.

  • Semangat cinta akan negara amat penting dalam diri seseorang agar kita sama-sama dapat berusaha untuk memajukan negara.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menghargai nikmat kemerdekaan negara agar kita tidak lupa untuk mempertahankannya.
  2. Kita perlu sanggup berjuang dan berkorban demi kemerdekaan negara.
  3. Kita seharusnya sedar betapa pentingnya kemerdekaan kepada negara agar negara kita tidak lagi dijajah pada kemudian hari.
  4. Kita janganlah lalai dengan nikmat dan kesenangan yang kita nikmati selama ini kerana kelalaian tersebut boleh menyebabkan kita kembali dijajah oleh musuh.

Saturday, March 12, 2011

Sajak: Ketenangan

Sajak: KETENANGAN
( Nor Rasidah Mohd )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Aku terus berjalan
tanpa menghiraukan rintangan
cabaran yang menghalang
air mataku menitis
jiwaku meraba
hatiku terseksa
mencari ketenangan jiwa.
Penyajak berusaha untuk mencari ketenangan dalam dirinya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan kesusahan.
Ketenangan
kini kutemuimu
suasana sepi menjadi riang
suasana gelap menjadi terang.
Penyajak telah menemui ketenangan yang dicari-cari sehingga kesepian yang dialami selama ini diganti dengan kegembiraan dan sesuatu yang kabur menjadi jelas.
Kini kusedari
bahawa ketenangan
bukan datangnya
dari kesenangan
kekayaan dan kemewahan.
Kini penyajak sedar bahawa setiap ketenangan dalam diri seseorang bukan diperoleh dengan cara mencapai kekayaan dan kemewahan hidup.
Berilmu dan beriman
di situ ia datang
menjadi jiwaku tenteram
apabila aku mendekati-Nya.
Penyajak menjelaskan bahawa ketenangan sebenarnya dapat dicapai dengan cara memantapkan ilmu dalam diri dan menguatkan keimanan terhadap tuhan. Keadaan ini menjadikan jiwa penyajak tenang apabila mengamalkan kedua-dua perkara tersebut.
Tema:
Sajak ini mengemukakan tema tentang ketabahan hati seseorang mencari ketenangan dalam hidup - Penyajak berusaha mencari ketenangan dalam hidupnya sehingga beliau berjaya menemuinya.
Persoalan:
  1. Persoalan kegigihan bagi mendapatkan sesuatu yang diinginkan - Penyajak gigih berusaha untuk mencari ketenangan dalam hidupnya walaupun menghadapi pelbagai dugaan.
  2. Persoalan dapat menghilangkan segala kesepian dan kedukaan dalam hidup - masalah kesepian dan kesedihan penyajak berjaya diatasi apabila beliau menemui ketenangan hidup.
  3. Persoalan kemewahan dan kekayaan hidup tidak menjanjikan ketenangan dalam hidup seseorang.
  4. Persoalan menuntut ilmu dan meneguhkan keimanan terhadap tuhan merupakan jalan terbaik bagi mencapai ketenangan.

Bentuk:

1. Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.

2. Rima akhir adalah bebas.

3. Jumlah baris serangkap bebas

  • Contoh: Rangkap 1 - tujuh baris, Rangkap 2 - empat baris dan sebagainya.

4. Jumlah perkataan dalam satu baris antara satu hingga empat patah kata.

5. Jumlah suku kata dalam satu baris antara empat hingga sepuluh suku kata.

Gaya Bahasa:

1. Anafora

  • Suasana sepi menjadi riang
  • Suasana gelap menjadi tenang ( R 2 b3 dan 4 )

2. Sinkope

  • Kini kutemuimu ( R2 b2 )

3. Asonansi

  • Kekayaan atau kemewahan ( R3 b5 ) Pengulangan vokal 'a'

4. Aliterasi

  • Tanpa menghiraukan rintangan ( R1 b2 ) Pengulangan konsonan 'n'

Nada:

Nada sajak ini ialah romantis.

Nilai:

1. Nilai kegigihan.

  • Penyajak gigih berusaha untuk mencari ketenangan diri.

2. Nilai ketabahan.

  • Penyajak tabah menghadapi segala cabaran dan kesusahan dalam usaha mencari ketenangan dalam diri.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan - penyajak berusaha untuk mencari ketenangan dalam hidup.
  2. Kita hendaklah meneguhkan keimanan kita kepada tuhan untuk mendapatkan ketenangan - penyajak berjaya menemui ketenangan yang dicarinya dengan cara meneguhkan keimanan kepada tuhan.
  3. Kita hendaklah sedar bahawa kemewahan dan kekayaan mampu memberi segala keinginan kita - ketenangan diri tidak dapat dicapai dengan kemewahan hidup.
  4. Kita hendaklah sentiasa menuntut ilmu walau di mana sahaja kita berada.

Friday, March 11, 2011

Sajak: Persahabatan

Sajak: PERSAHABATAN
( Mohd. Amran Daud )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
1
Seorang kanak-kanak
berbaju kurung nampak cantik
berlesung pipit beralis lentik
bermain-main riang, bermain keseorangan
pada wajahnya meriak gembira
pada bibirnya menguntum ceria
berderai ketawa mengocak suasana.
Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Melayu yang nampak cantik apabila berbaju kurung. Mempunyai lesung pipit dan kening yang lentik. Dia sedang bermain-main keseorangan dalam keadaan keriangan. Di wajahnya menampakkan kegembiraan melalui sentum dan ketawanya.
II
Seorang kanak-kanak
berpakaian ceongsam bertocang dua
bergincu pipi tampak ceria
tiba-tiba datang menerpa bertegur sapa
menghulur senyum dan ketawa manja
pada wajahnya menyerlah keriangan
mereka bermain alang-kepalang
berkejar-kejaran tanpa halangan.
Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang mengenakan pakaian cheongsam dan mempunyai dua tocang pada rambutnya. Wajahnya menampakkan keceriaan. Kemudian dia datang bertegur sapa dengan kanak-kanak berbangsa Melayu. Dia menghulurkan senyuman dan ketawa manja yang menyerlahkan keriangannya. Kemudian mereka bermain dan berkejaran bersama-sama tanpa sesiapa yang menghalang.
III
Seorang kanak-kanak
bersari bergelang kaki
bertindik hidung menguntum seri
melihat saja telatah manja
si comel berdua, bermain, dan ketawa
dirinya bagai digamit bermain bersama
mengongsi kemesraan
menterjemah makna kejiranan.
Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa India yang mengenakan pakaian sari, bergelang dan bertindik hidung. Apabila dia melihat keriangan kanak-kanak berbangsa Melayu dan Cina itu bermain bersama-sama maka timbul rasa di hatinya untuk bermain bersama-sama dan berkongsi kemesraan.
IV
Ah, kanak-kanak
biar berlainan agama
biar berlainan bangsa
mereka saling bersalaman
dan berpeluk mesra
tanpa menghirau adat dan budaya;
membina keakraban tanpa curiga
membentuk perpaduan tanpa prasangka
bersatu hati membentuk jati diri
ke arah wawasan lebih bererti!
Kanak-kanak yang berlainan agama dan bangsa itu saling bersalaman dan berpeluk mesra. Mereka tidak menghiraukan perbezaan adat dan budaya yang wujud antara mereka. Mereka telah membina hubungan baik antara satu sama lain tanpa rasa curiga. Wujudnya perpaduan dalam kalangan mereka tanpa rasa prasangka. Mereka telah bersatu hati membentuk jati diri bagi merealisasikan wawasan negara agar lebih bererti.
Tema:
Sajak ini mengemukakan tema tentang perpaduan antara kaum - masyarakat berbilang kaum perlulah bekerjasama antara satu sama lain bagi mewujudkan perpaduan.
Persoalan:
  1. Persoalan hubungan persahabatan yang wujud tanpa mengira kaum dan agama.
  2. Persoalan keakraban dan perpaduan dapat dicapai tanpa wujudnya rasa sangsi atau curiga antara satu sama lain.
  3. Persoalan kemesraan dalam perhubungan contohnya kanak-kanak pelbagai kaum bermain bersama-sama dengan riang dan gembira.
  4. Persoalan sikap ramah mesra tanpa batasan kaum iaitu kanak-kanak berbangsa Melayu terhadap kanak-kanak berbangsa lain untuk bermain bersama-sama.

Nada:

Sajak ini bernada patriotik

Gaya Bahasa:

1. Kata ganda

  • kanak-kanak/ bermain-main/ berkejar-kejaran.

2. Pesonifikasi

  • pipi tampak ceria bergincu

3. Inversi

  • bertindik hidung menguntum senyum

4. Simile

  • Dirinya bagai digamit bermain bersama.

5. Anafora

  • pada wajahnya meriak gembira
  • pada bibirnya menguntum ceria

6. Asonansi

  • melihat saja telatah manja ( Pengulangan vokal 'a' )

7. Aliterasi

  • menterjemah makna kejiranan ( Pengulangan konsonan 'n' )

Bentuk:

  1. Sajak ini terdiri daripada empat rangkap
  2. Jumlah baris adalah bebas. Contoh: R1 - 7b, R2 - 8b, R3 - 8b dan R4 -ada sepuluh baris.
  3. Jumlah perkataan antara tiga hingga enam patah kata sebaris.
  4. Jumlah suku kata antara lima hingga lima belas suku kata sebaris.
  5. Rima akhir bebas.

Nilai:

1. Nilai perpaduan

  • Contoh: Masyarakat perlulah bersatu padu antara satu sama lain untuk menjayakan wawasan negara.

2. Nilai keakraban.

  • Nilai keakraban dalam hubungan persahabatan ini dapat dilihat kepada telatah kanak-kanak pelbagai kaum menjalin hubungan persahabatan tanpa timbul rasa curiga.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menjalinkan hubungan persahabatan tanpa mengira kaum atau agama.
  2. Kita janganlah menyimpan perasaan curiga atau prasangka antara satu sama lain.
  3. Masyarakat perlulah bersatu padu antara satu sama lain bagi menjayakan wawasan negara.

Thursday, March 10, 2011

Sajak: Burung-Burung Pagi

Sajak: BURUNG-BURUNG PAGI
( A. Wahab Ali )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Kau telah bangun
Mengirai sayapmu
Entah siul keberapa kau nyanyikan
Membuka mataku
Kemunculan golongan pengemis pada awal pagi untuk mencari rezeki telah menyedarkan penyajak.

Aku bangun
Masih kuap sekali di pintu
Dan setompok cahaya matahari di dadaku
Kerjaku sudah menanti
Pada ketika itu penyajak baru sahaja bersiap-siap untuk keluar ke tempat kerja.

Kulihat kau mematuk pasir permata
Melintas kota tandus dari pepohon
Apakah ada ulat-ulat lemak bagimu
Atau secebis roti busuk
Dan remah anak-anak sekolah
Rezekimu
Bagiku kota ini terlalu sempit bagimu
Penyajak memerhatikan golongan pengemis yang berusaha mencari rezeki di tengah kota. Penyajak tertanya-tanya sama ada golongan ini mampu terus mendapatkan sedikit rezeki atau lebihan makanan daripada orang lain. Bagi penyajak, kota tersebut tidak sesuai bagi golongan ini untuk terus mendapatkan rezeki.

Tapi kau yang hanya
Sejemput daging
Begitu yakin dengan
Sayapmu yang kecil
Namun penyajak dapat merasakan bahawa golongan ini begitu yakin dengan kudrat dan kemampuan mereka walaupun serba kekurangan.


Tema:

Sajak ini mengemukakan tema kehidupan golongan pengemis di tengah kota - Golongan pengemis ini dilambangkan dengan burung-burung yang keluar pada waktu pagi untuk mendapatkan makanan.

Persoalan:

1. Persoalan kegigihan mencari rezeki iaitu golongan pengemis keluar pada awal pagi untuk mencari rezeki.

2. Persoalan keprihatinan iaitu penyajak tergerak hati untuk memikirkan nasib golongan pengemis di kota tersebut.

3. Persoalan keyakinan diri, golongan pengemis yakin dengan diri mereka untuk terus mencar rezeki di kota tersebut.

Bentuk:

1. Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.

2. Rima akhir bebas.

3. Jumlah baris bebas. Contoh: R1,2 dan 4 - 4 baris. R3 -7 baris.

4. Jumlah perkataan sebaris antara satu hingga enam patah kata.

5. Jumlah suku kata sebaris antara empat hingga lima belas suku kata.


Gaya Bahasa:

1. Kata ganda. Contoh: Apakah ada ulat-ulat lemak bagimu ( R3, b3 )

2. Sinkope. Contoh: Kulihat kau mematuk pasir pertama ( R3, b1 )

3. Asonansi. Contoh: Dan remah anak-anak sekolah ( R3, b5 )

4. Aliterasi. Contoh: membuka mataku ( R1, b4 )


Nada:

Sajak ini bernada sinis

Nilai:

1. Nilai keprihatinan. Contoh keprihatinan dengan nasib golongan pengemis di kota.

2. Nilai kegigihan. Contoh: Pengemis berusaha mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan mereka.

3. Nilai keyakinan. Contoh: Golongan pengemis yakin dengan kemampuan mereka untuk terus hidup di kota-kota besar.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah prihatin dengan kesusahan yang dialami oleh orang lain. Contohnya penyajak prihatin dengan nasib golongan pengemis.
  2. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mendapatkan rezeki. Contohnya golongan pengemis keluar awal-awal pagi untuk mencari rezeki.
  3. Kita seharusnya yakin dengan kemampuan diri. Contohnya golongan pengemis yakin dengan kemampuan mereka untuk terus hidup dengan usaha mereka mencari rezeki.






Sajak: Hari Guru

Sajak: HARI GURU
( Selina S.F Lee )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
1
Hari ini
adalah hari kita
menjunjung amanah
sandaran harapan insan berjuta
yang bernama ibu dan bapa
memikul misi murni
mengasuh mendidik
tunas bangsa
harapan nusa.
Semasa sambutan Hari Guru, para guru bertekad menunaikan amanah dan harapan para ibu bapa untuk melaksanakan tugas mendidik anak-anak yang bakal menerajui negara.
11
Hari ini
adalah hari yang menuntut kita
bertafakur
apakah tiang azam
masih tegak kukuh
apakah perdu semangat
tak tergoncang ribut
Sambutan Hari Guru merupakan hari para guru bermuhasabah diri tentang tanggungjawab dan keazaman mereka sama ada masih lagi kukuh atau telah hilang kerana pelbagai dugaan.
111
Hari ini
ada bunga dikalungkan
ada puji dilafazkan
ada jasa dikenang
ada salam dihulur
tanda hormat;
pada insan yang bergelar GURU.
Hari guru merupakan hari para guru menerima penghormatan dan penghargaan kerana jasa-jasa mereka.
Tema:
Sajak ini mengemukakan tema tentang penghargaan kepada para guru melalui sambutan Hari Guru.
Persoalan:
1. Persoalan peranan guru mendidik anak bangsa.
2. Persoalan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kita.
3. Persoalan kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul.
4. Pesoalan tugas guru yang sentiasa dikenang dan dihargai.
Gaya Bahasa:
1. Personifikasi
  • Contoh: adalah hari yang menuntut kita. ( R 2 b2 )

2. Metafora

  • apakah tiang azam ( R2 b4 )
  • tunas bangsa ( R 1 b8 )

3. Anafora

  • ada bunga dikalung
  • ada puji dilafaz
  • ada jasa dikenangkan ( R2 b2 hingga 3 )

4. Asonansi

  • adalah hari kita ( R1, b2 ) Pengulangan vokal 'a'

5. Aliterasi

  • masih tegak kukuh ( R2 b5 ) Pengulangan konsonan 'k'

Bentuk:

  1. Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
  2. Rima akhir bebas.
  3. Jumlah perkataan sebaris antara dua hingga lima patah kata.
  4. Jumlah suku kata sebaris antara empat hingga sebelas suku kata.
  5. Jumlah baris serangkap adalah bebas. Contohnya: ( Rangkap 1 - ada sembilan baris, Rangkap 2 - ada sepuluh baris dan Rangkap 3 -ada tujuh baris )

Nada:

Nada sajak ini patriotik.

Nilai:

1. Nilai amanah

  • Para guru memikul amanah para ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.

2. Nilai tanggungjawab

  • Guru-guru bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas / tanggungjawab mereka untuk membimbing anak bangsa.

3. Nilai penghargaan

  • Jasa guru dihargai dan dikenang melalui sambutan hari guru.

4. Nilai kesedaran

  • Para guru sepatutnya sedar akan tugas dan peranan mereka dalam mendidik pelajar.

Pengajaran:

  1. Para guru hendaklah menunaikan amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
  2. Kita hendaklah menghargai peranan para pendidik ( guru ) dalam usaha mendidik dan memberi ilmu kepada anak bangsa kita - sambutan hari guru merupakan salah satu cara yang dilakukan bagi menghargai para pendidik.
  3. Para guru hendaklah sedar peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka.
  4. Kita hendaklah mengenang jasa orang yang banyak memberi ilmu kepada kita - jasa para guru hendaklah sentiasa dikenang.

Wednesday, March 9, 2011

Cerpen: Warkah Daripada Ibu

Cerpen: WARKAH DARIPADA IBU
( Rohani Deraman )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum (KPM)

Sinopsis:

Mira telah menerima warkah daripada ibunya. Hampir setahun Mira dan adik-adiknya tinggal di kampung bersama dengan datuk dan neneknya. Keputusan ibu dan ayahnya menghantar Mira untuk tinggal dengan datuk dan neneknya telah menimbulkan seribu persoalan. Namun ibunya tidak dapat menjawab persoalan tersebut. Ibu Mira berharap agar suatu hari nanti Mira akan faham tindakan ibu dan bapanya itu. Mira dan keluarganya telah bersiap untuk ke rumah datuknya di kampung. Mereka sampai ke kampung datuknya menjelang senja. Pada malam hari mereka semua telah tidur berderetan di ruang tamu walaupun nenek telah menyiapkan bilik untuk mereka. Mereka tidur dengan nyenyak sekali kerana kepenatan seharian dalam perjalanan. Keesokan harinya, apabila ibu dan bapanya berangkat pulang, perasaan sayu dan hiba mula dirasai oleh Mira. Namun adik-adiknya kelihatan riang kerana perpisahan dengan ayah dan ibu tidak begitu bermakna kepada adik-adiknya. Nenek telah mengajak Mira ke kedai untuk memperkenalkan Mira dengan rakan-rakan sebaya Mira serta mengenali tempat di kampung neneknya itu. Bermula dengan perkenalan dengan Suzana di kedai, Mira mula mengenali kawan-kawan barunya yang lain. Mira mula bersekolah dan mengulang kaji pelajarannya. Dalam keheningan subuh yang syahdu serta bunyi kokok ayam sahut-menyahut, Mira membaca sekali lagi surat yang dikirim oleh ibunya.

Dalam surat tersebut, ibunya berdoa agar Mira dan adik-adiknya sentiasa dilindungi Allah. Persoalan yang tidak terjawab oleh ibu Mira sebelum ini telah dinyatakan di dalam surat tersebut. Masalah sosial yang melanda masyarakat kota begitu menghantui dan menakutkan ibunya. Manakala corak pergaulan dan persekitaran di kampung masih yang terbaik kerana masih mengekalkan amalan dan ciri-ciri hidup masyarakat berharmoni. Ibunya mengimpikan anak-anak yang soleh. Di kampung, Mira lebih terdedah kepada nilai-nilai moral. Walaupun sejak kecil ibu bapa Mira mahukan ialah Mira dapat bersyukur dengan apa-apa yang Mira ada. Hal ini akan membuatkan jiwa Mira kuat dan tabah menghadapi apa-apa jua dugaan Allah. Setelah hampir setahun, Mira telah menunjukkan prestasi yang baik. Hal ini menunjukkan Mira sudah faham sebab dia dihantar ke kampung. Setelah membaca surat daripa ibunya, Mira melipat surat tersebut dengan baik. Sekali lagi air mata Mira mengalir. Mira baru faham akan tersirat selama ini. Betapa besar pengorbanan dan harapan ibu dan ayah terhadap Mira.


Tema:

Pengorbanan seorang ibu untuk memastikan kejayaan anak-anaknya pada masa hadapan. Pengorbanan ini dapat dilihat melalui watak ibu yang menghantar anak-anaknya ke kampung untuk tinggal bersama-sama dengan ibu dan ayahnya kerana tidak mahu anak-anaknya terdedah dengan gejala-gejala sosial yang berlaku di bandar.


Persoalan:

1. Persoalan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
  • Contoh: Persoalan ini dapat dilihat melalui watak ibu dan ayah yang rela berpisah dengan anak-anak demi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang lebih sempurna.

2. Persoalan kesediaan anak melepaskan kemewahan yang dikecapi.

  • Contoh: Hal ini dapat dilihat melalui watak Mira yang selama ini hidup mewah bersama dengan ibu bapanya di bandar terpaksa hidup di kampung bersama-sama datuk dan neneknya yang serba kekurangan di kampung.

3. Persoalan masalah sosial di bandar.

  • Contoh: Gejala-gejala sosial yang melanda masyarakat bandar adalah berpunca daripada pegangan agama, pengaruh persekitaran dan pengaruh rakan sebaya.

4. Persoalan tentang masyarakat kampung yang berpegang teguh pada ajaran agama.

  • Contoh: Hal ini dapat dilihat melalui watak Mira diminta oleh nenek memakai tudung kepala kerana sebagai wanita Islam menutup aurat adalah wajib dilakukan.

Plot:

Permulaan

Mira telah menerima warkah daripada ibunya setelah hampir setahun Mira tinggal di kampung bersama dengan datuk dan neneknya. Keputusan ibu dan ayahnya menghantar Mira untuk tinggal dengan datuk dan neneknya telah menimbulkan seribu persoalan kepadanya.

Perkembangan

Mira dan keluarganya telah bersiap-siap untuk ke rumah datuknya di kampung. Mereka tidur bersama-sama dengan nyenyak sekali kerana kepenatan seharian dalam perjalanan. Perpisahan dengan ibu dan bapanya telah menimbulkan perasaan sayu dan hiba Mira. Nenek telah mengajak Mira ke kedai dan dia telah berkenalan dengan Suzana. Mira mula bersekolah di kampungnya dan suasana persekolahan di sana telah memberikan kesedaran kepadanya. Mereka tidak menghiraukan perkara-perkara lain selain mengulang kaji pelajaran.


Klimaks

Mira telah membaca surat yang dikirimkan oleh ibunya. Dalam surat tersebut, ibunya menyatakan tujuan sebenar dia menghantar Mira dan adik-adiknya ke kampung kerana bimbang dengan gejala sosial yang melanda masyarakat bandar kini. Masalah sosial yang melanda masyarakat kota begitu menghantui dan menakutkan ibunya. Manakala corak pergaulan dan persekitaran di kampung masih yang terbaik kerana masih mengekalkan amalan dan ciri-ciri hidup masyarakat berharmoni. Harapan ibunya agar anak-anak menjadi anak yang solehah, mampu menghargai kasih sayang dan pengorbanan orang tua.

Peleraian

Setelah membaca warkah daripada ibunya, Mira memahami tujuan ibunya menghantarnya dan adik-adiknya tinggal di kampung.

Teknik Penceritaan:

1. Dialog

Contoh: "Mira... ibu terpaksa menghantar Mira dan adik-adik tinggal dengan nenek di kampung pada hujung bulan ini," tiba-tiba saja ibu menyuarakan hasrat hatinya itu pada suatu hari. ( m.s:60 )

2. Deskriptif ( Pemerian )

Contoh: Aku berbangga mempunyai ibu bapa yang penyayang. Walaupun sibuk dengan kerja dan tugas seharian di pejabat, mereka masih ada waktu untuk bermesra dengan keluarga. Ibuku seorang yang lemah lembut dan selalu setia dengan ayah. ( m/s 61 )

3. Monolog Dalaman

Contoh: Keputusan ibu dan ayah menghantar aku dan adik-adik untuk tinggal di kampung bersama datuk dan nenek, membuatkan aku bertanyakan diriku dengan berbagai-bagai pertanyaan. ( m/s 1 )

Watak dan Perwatakan:

Watak Utama

Amira

  • Anak sulung daripada tiga beradik.
  • Kakak kepada Aidil dan Manja.
  • Seorang anak yang patuh dan taat kepada ibu dan ayahnya.
  • Seorang yang tabah dalam menghadapi kesukaran hidup.
  • Sangat menyayangi ibu dan ayahnya.

Watak Sampingan

Ibu

  • Ibu kepada Mira, Aidil dan Manja.
  • Seorang yang lemah lembut.
  • Setia kepada suami.
  • Merupakan anak tunggal.
  • Seorang ibu yang penyayang.

Ayah

  • Bapa kepada Mira, Aidil dan Manja.
  • Seorang yang memahami perasaan isteri.
  • Menantu yang cukup mengasihi mentuanya.
  • Seorang bapa yang penyayang.

Latar:

Masa

1. Waktu malam

  • Ketika Mira dan ahli keluarga bermalam di rumah datuk dan neneknya.

2. Waktu siang

  • Hari ketika ibu Mira bersama-sama anaknya bersiap untuk pulang ke kampung. Selain itu, semasa Mira dibawa oleh neneknya ke kedai Pak Uda Usop.

3. Waktu senja

  • Ketika Mira dan keluarganya sampai ke kampung. Manakala datuk dan neneknya sedang bersiap untuk ke masjid.

Tempat

1. Di rumah ibu dan bapa Mira di Johor Bharu.

  • Semasa mereka bersiap-siap untuk pulang ke kampung.

2. Di rumah datuk dan nenek Mira.

  • Peristiwa yang dapat dilihat semasa ahli keluarga Mira telah tidur berderetan di ruang tamu rumah datuk dan neneknya.

3. Di kedai Pak Uda Usop.

  • Mira telah dibawa ke sana oleh neneknya dan dia melihat anak-anak gadis seusianya yang sopan berpakaian.

Masyarakat

1. Masyarakat Bandar.

  • Masyarakat yang sedar tentang keruntuhan nilai moral. Ayah dan ibi Mira menyedari tentang gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat di bandar.

2. Masyarakat Kampung.

  • Masyarakat yang masih kuat berpegang teguh dengan prinsip agama. Hal ini dapat dilihat semasa Mira ke Kedai Pak Uda Usop, ramai anak gadis yang sebaya dengan Mira berpakaian sopan dengan memakai baju kurung serta memakai tudung.

Gaya Bahasa:

1. Sinkope

  • Cobtoh: bu ( ibu ), tak ( tidak ), nek ( nenek ), nak ( hendak )

2. Metafora

  • Contoh: Sembili rindu ( m/s 64 )

3. Diksi

  • Contoh: Bahasa Arab - Assalamualaikum, Walaikummusalam ( m/s 63 )

4. Peribahasa

  • Contoh: Tidur-tidur ayam ( m/s 62 ), makan angin (m/s 61 )

Nilai

1. Nilai kasih sayang

  • Contoh: Ibu dan ayah Mira sangat sayang akan anak-anaknya.

2. Nilai pengorbanan

  • Contoh: Setelah membaca warkah daripada ibunya, Mira baru faham betapa besarnya pengorbanan dan harapan ibu dan ayah terhadapnya.

3. Nilai kepatuhan

  • Contoh: Dapat diperhatikan apabila nenek Mira menyuruh Mira memakai tudung apabila keluar daripada rumah. Mira akur dengan arahan neneknya walaupun sebelum ini Mira tidak memakai tudung.

Pengajaran

  1. Kita hendaklah berkorban apa sahaja demi orang yang disayangi.
  2. Kita hendaklah tabah dan reda menghadapi dugaan.
  3. Kita hendaklah menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa.

Saturday, January 15, 2011

Cerpen: Dendam

DENDAM
( Shariza A Rahman )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Cerpen 'Dendam' ini mengisahkan hubungan kekeluargaan antara kakak, adik, ibu dan ayah. Kakak dengan gelarannya Along amat membenci adiknya Angah yang mengoyakkan buku latihan Fizik yang baru dibelinya. Sebelum itu adiknya pernah menconteng buku latihan Kimia dan Geografi sehingga didenda oleh gurunya Puan Maria. Along sangat berang dan marah dengan adiknya Angah sehingga sanggup menampar pipi adiknya. Selain itu, Along juga menolak adik sehingga terjatuh. Ketika Angah ingin mengadu kepada ibunya Along menjeling menyebabkan Angah tidak sempat untuk mengadu.

Ketika selesai makan malam ayah mengamuk kerana kertas kerjanya telah dikoyakkan oleh adik. Ayah memarahi Along kerana tidak menjaga adiknya dan melarang dari memasuki bilik bacaan ayah. Along cuba mempertahankan diri mengatakan itu perbuatan Angah. Ibu tetap memarahi Along walaupun pelbagai alasan yang diberikan sehingga ibu melabelkan Along biadap. Ayah hanya mendiamkan diri ketika ibu dan Along berhujah. Along cuba memasang perangkap untuk mengenakan adiknya.

Satu lagi peristiwa yang menyebabkan kemarahan ibu meluap-luap apabila rantai pusaka keturunannya putus. Ibu menuduh Along yang menyebabkan rantai itu putus tapi Along menafikannya. Along menuduh Angah yang menyebabkan rantai itu putus. Angah yang sering mengoyakkan kertas kerja ayah dan kemungkinan Angah juga yang memutuskan rantai ibu. Ayah mengamuk dan merotan Angah dengan menggunakan tali pinggang. Teriakan dan raungan Angah bergema di seluruh rumah.

Along kesian mendengar raungan Angah kerana Along sendiri tidak pernah dipukul sebegitu. Sepanjang hari Along tidak mendengar suara tawa nakal Angah. Apabila malam larut Along memasuki kamar Angah yang sedang lena tidur. Along menyelak baju kurung Angah dan kelihatan garis-garis merah dan biru kesan daripada pukulan menggunakan tali pinggang oleh ayah. Along kesian dan sedih melihat keadaan Angah. Akhirnya Angah mengatakan bahawa dia menyimpan rahsia orang yang memutuskan rantai ibu. Along memeluk Angah kerana rasa terharu dan meyedari kasih sayang antara adik beradik.

Tema:

Konflik kekeluargaan merenggangkan hubungan kekeluargaan. Hubungan Along, Angah, ibu dan abah renggang kerana sedikit pertentangan. Along marah kepada abah dan ibu kerana sering menyebelahi Angah.

Persoalan:

1. Persoalan hubungan kekeluargaan.
  • Contoh: Hubungan yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam cerpen ini terutama ketika makan. Mereka sekeluarga selalu makan bersama-sama.

2. Persoalan kebencian kepada adik.

  • Contoh: Along sangat membenci adiknya yang sering menconteng dan mengoyakkan buku latihan sehingga dimarahi gurunya.

3. Persoalan kasih sayang.

  • Contoh: Pada akhir cerita Along dan Angah saling berpelukan menandakan kasih sayang antara kedua beradik tersebut.

Plot:

Permulaan

Cerpen ini dimulakan dengan Along marah apabila buku latihan Fiziknya yang baru dibeli semalam terconteng dan terkoyak oleh Angah adiknya. Sewaktu pulang bercuti dulu buku kerja Kimia menjadi mangsa. Along terpaksa mengorek tabung Arnab untuk membeli buku teks Geografi tetapi telah dikoyak dan diconteng oleh Angah. Along memarahi Angah kerana perbuatannya dengan menampar pipi adiknya hingga terjatuh di atas sofa lalu menangis.

Perkembangan

Semasa hidangan makan malam ayah merungut dan memarahi Along kerana membiarkan Angah masuk ke bilik bacaan ayah dan merenyuk dan mengoyakkan kertas kerja Ayah. Kemarahan ayah begitu lahap oleh api dendam yang membara. Along cuba untuk membela diri dengan mengatakan bukan dia yang melakukannya. Along juga merungut kerana setiap kesalahan adik akan ditanggung olehnya. Along memohon agar ayah dan ibu bersikap adil padanya. Ayah dan ibu tetap memarahi Along, kerana dia adalah kakak. Along juga melawan kata-kata ayah dan ibunya. Ibu mengatakan Along biadap kerana melawan cakap orang tua. Manakala ayah membisu mendengar pembelaan daripada Along. Kemuncak kemarahan, Along menghalau adiknya dari ruang tamu.

Klimaks

Klimaks cerpen ini apabila rantai mutiara ibu putus. Ibu mengamuk kerana terlalu menyayangi rantai pusaka turun temurun itu. Ayah cuba menenangkan ibu untuk membetulkan semula rantai yang putus tetapi tidak dihiraukan oleh ibu. Along tidak mengaku memutuskan rantai ibu dan menuduh Angah yang memutuskannya. Angah disebatkan dengan tali pinggang oleh ayah.

Peleraian

Along memasuki kamar Angah dan simpati terhadap adiknya. Angah menyelak baju kurung dan kelihatan garis-garis merah dan biru kesan daripada sebatan tali pinggang ayah. Along memohon kemaafan daripada Angah dan mereka berpelukan. Akhirnya Along sedar adiknya memerlukan kasih sayang dan perhatian.

Teknik Penceritaan:

1. Dialog.

Contoh:

  • "Nak jadi samseng! Senang-senang koyakkan buku Along."

  • "Angah cuma tengok saja ..."

2. Imbas kembali.

Contoh: Along teringatkan kisah adiknya mengoyakkan buku Geografi dan Kimianya pada cuti yang lalu.

3. Monolog dalaman.

Contoh: Oh Tuhan! Kejamkah aku? Adilkah aku terhadap Angah?


Watak dan Perwatakan:

Along

  • cepat meradang terutama kepada adiknya

  • sering memarahi adiknya yang melakukan kesalahan

  • membenci adiknya kerana sering melakukan kesalahan

  • pernah disekat wang saku perbelanjaannya ke sekolah gara-gara perbuatan adiknya yang mengoyakkan wang ayahnya

Angah

  • gelaran Hantu Kecil yang diberikan oleh Along

  • berwajah comel

  • suka mengoyakkan kertas, buku, dan majalah

  • wajahnya pucat apabila dimarahi

  • buah hati ibu

Abah

  • seorang yang tegas

  • memukul adik dengan tali pinggang

Emak

  • suka menyebelahi adik

  • mempercayai telekan bidan mengatakan Angah membawa tuah

  • bersikap garang dengan Along

Latar:

Masa

1. Malam.

  • Contoh: Selesai menikmati hidangan malam. Kedengaran ayah merunggut-runggut marah akan sesuatu.

2. Tengah hari.

  • Contoh: Tengah hari, petang berterusan hingga malam, hatiku kosong tanpa suara tawa nakal Angah.

Tempat

1. Ruang tamu

  • Contoh: Along memarahi dan menampar adiknya kerana mengoyakkan buku latihannya.

2. Di rumah.

  • Contoh: Keseluruhan peristiwa berlaku di rumah.

3. Di meja makan

  • Contoh: Ayah merunggut-runggut marah akan sesuatu selepas selesai makan malam.

4. Di katil

  • Contoh: Along menyedari kesilapannya dan memohon maaf kepada Angah.

Masyarakat

1. Masyarakat Pelajar.

  • Contoh: Dapat dilihat pada watak Along yang bercuti dari asrama. Juga buku latihan sekolahnya diconteng dan dikoyakkan oleh adik.

2. Masyarakat Guru.

  • Contoh: Dahulu, Puan Maria, Guru Kimia yang mengajar Along mendenda Along kerana buku latihannya dikoyakkan oleh adik.

3. Masyarakat Pengamal Undang-Undang.

  • Contoh: Ayah mereka bekerja sebagai Hakim. Along meminta ayahnya supaya adil dalam menjatuhkan hukuman kepadanya.

Gaya Bahasa:

1. Sinkope

  • Contoh: Ah, sakit hatiku melihat senyumannya. ( Singkatan kata ku ) Dan tanpa kusedari, tanganku ringan saja menyinggahi pipinya itu.

2. Kata Ganda

  • Contoh: Selesai menikmati hidangan malam. Kedengaran ayah merunggut-runggut marah akan sesuatu.

3. Peribahasa

  • Contoh: Berat sebelah, tebal muka, managih kasih.

4. Metafora

  • Contoh: Penjuru hatiku, api dendam, keluhanku bertaburan, putik-putik dendam.

Personifikasi

  • Contoh: Hatiku dijurus lahar beracun.

Antomomisia ( memperlihatkan sifat seseorang )

  • Contoh: Hantu Kecil

Totologi ( Perulangan untuk penegasan )

  • Contoh: Benci. Aku benci

Nilai:

1. Nilai kasih sayang

  • Contoh: Baru aku sedar sekarang aku ada seorang adik yang memerlukan kasih sayang dan perhatianku.

2. Nilai berdikari

  • Contoh: Along berdikari dengan membeli sendiri buku Geografinya yang dikoyakkan oleh Angah dengan menggunakan wang simpanan tabungnya.

3. Nilai hemah tinggi

  • Contoh: Walaupun dalam api kemarahan, Along masih menggunakan kata-kata yang baik untuk tidak bersetuju dengan pendapat ibu dan ayahnya.

4. Nilai hormat-menghormati

  • Contoh: Angah amat menghormati kakaknya walaupun dibenci dan ditampar oleh kakaknya.

5. Nilai kesyukuran

  • Contoh: Along bersyukur kerana sedar daripada kesilapannya yang amat membenci adiknya sehingga sanggup menampar pipi adiknya.

Pengajaran:

  1. Kita harus bersabar dengan kerenah adik kita. Contoh: Apabila malam semakin larut, aku memasuki kamar Angah, sunyi. Hatiku dilanda resah. Perlahan-lahan aku menghampiri Angah yang sedang lena di katil comelnya.
  2. Kita janganlah mempercayai tilikan. Contoh: Syah dan ibu seakan percaya akan tilikan bidan yang membidankan kelahiran Angah. Aku sungguh hairan melihat ayah dan ibu masuk dalam golongan intelek, masih percaya kepada tilikan yang mengatakan Angah akan membawa tuah kepada keluarga.
  3. Kita janganlah memperbesar perkara-perkara yang kecil. Contoh: Perkara macam itu pun engkau besar-besarkan. Angah bukankah adik engkau.
  4. Kita hendaklah mempunyai sikap sayang menyayangi antara ahli keluarga. Contoh: Aku mengangguk sambil memeluk dan mencium pipi Angah. Buat kali pertama ini aku memeluk dan mengucupinya.
  5. Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang terhadap kita. Contoh: Along dan Angah saling bermaafan antara satu sama lain.

Friday, January 14, 2011

Cerpen: Capa Rengat

CAPA RENGAT
( Baharuddin Kahar )

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:

Cerpen 'Capa Rengat' mengisahkan seorang remaja yang ingin merasai kehidupan di kampung ibunya. Pada waktu petang, "Aku" akan mengikut bapa saudaranya Pak Cik Kinto, ke bukit-bukit di keliling kampung untuk menyedut udara segar dan menembak burung-burung serta menjengah ikan-ikan di sungai. Hubungan Pak Cik Kinto dan "Aku" seperti belangkas.

Pada sebelah petangnya. "Aku" tidak dapat ke mana-mana kerana Pak Cik Konto pergi untuk berurusan dengan peguam. Ibu "Aku" pula berasa bosan tinggal lebih lama di kampung. "Aku" mengambil keputusan merayu-rayau di sekeliling di kampung. Ketika lalu di sebidang paya, "Aku" melihat lima orang anak muda sedang bermain di bahagian tepi paya.

Seorang budak perempuan, Su mengajak "Aku" bermain bersama-sama mereka. Permainan yang dimainkan begitu janggal dan "Aku" berasa kekok pada permulaannya tetapi kemesraan budak-budak kampung menghilangkan rasa kekok "Aku". Akhir sekali, "Aku" diajak bermain rumah katak. Setiap kali rumah katak "Aku" siap dibina, Su akan memecahkannya.

"Aku" cuba menangkap Su kerana mempersenda-senda kebolehan "Aku". Rupa-rupanya, Su begitu lincah meniti batang dan melompat hingga ke seberang paya. Tanpa diduga, Su menghampiri "Aku" dan menghadiahkan sekuntum bunga Capa Rengat atau bunga melur hutan yang berbau wangi. Kami seolah-olah dibuai perasaan apabila berganding bahu menyiapkan rumah katak dalam kota buatan.

Tiba-tiba, ketika "Aku" dan Su asyik membina jalan menuju pintu masuk kota buatan, seorang budak lelaki berumur lapan tahun menjerit nama Su. Su terpaksa pulang ke rumah dengan segera. "Aku" mengenal pasti Su mempunyai seorang ibu tiri yang bengis daripada kawan-kawan sepermainan. Budak yang memanggilnya Su itu ialah adik tirinya.

Pada sebelah malamnya, "Aku" tidur dengan nyenyak. Bunga Capa Rengat diletakkan di dalam botol berisi air. "Aku" ingin merasai kesegaran bau wangi Capa Rengat dalam tidur.

Setelah sehari berada di kampung, ibu memutuskan siri lawatan ke kampung dipendekkan. Pak Cik Kinto dan Mak Cik Kinto meminta ibu memanjangkan tempoh di kampung tetapi ibu mendesak-desak untuk pulang. "Aku" berasa terharu untuk meninggalkan kampung dan kesayuan hatiku makin mendayu-dayu.

Dalam keadaan separuh sedar, "Aku" bertanyakan kepada ibu tentang kesediaannya untuk pulang ke kampung semula. Malangnya ibu melahirkan ketegasan untuk tidak pulang ke kampung lagi kerana urusan tanah dan rumah pusaka selesai. Keputusan ibu membuatkan "Aku" sedih apabila "Aku" terpandang bunga Capa Rengat yang sudah layu dan terkenangkan wajah Su.

Tema:

Perasaan cinta pada kehidupan dan suasana di kampung. "Aku" telah mengalami pengalaman yang menarik hidup di kampung. Contohnya, semasa "Aku" mengikut Pak Cik Kinto menembak burung dan menyedut udara pergunungan yang segar.

Persoalan:
  1. Persoalan perasaan cinta sesama manusia melangkaui budaya. Contohnya, "Aku" yang berasal dari bandar menyukai Su yang tinggal di kampung yang jauh dari arus pembangunan.

  2. Persoalan kemesraan membuahkan kualiti persahabatan. Contonya, Kemesraan yang ditunjukkan oleh Su kepada "Aku" menyebabkan "Aku" amat suka tinggal di kampung hingga sukar untuk melupakan kampung walaupun pada asalnya "Aku" amat tidak selesa berada di kampung.

  3. Persoalan menghargai keaslian alam sebagai anugerah Tuhan. Contohnya, Dapat dilihat pada watak "Aku" yang menghargai dan menjaga Capa Rengat yang diberikan oleh Su.

  4. Persoalan mengenang kembali tempat asal usul. Contohnya, Su seronok mandi sungai dan bermain 'kota Buatan' tempat asal ibunya.

Plot:

1. Permulaan

"Aku" pulang ke kampung bersama-sama dengan ibunya untuk menguruskan tanah pusaka dan rumah pusaka. Mereka berdua tinggal di rumah Pak Cik Kinto, bapa saudara "Aku". Pada waktu pagi, Pak Cik Kinto melayani "Aku" dengan membawanya berjalan-jalan di bukit sekeliling kampung.

2. Perkembangan

Pada sebelah petang, "Aku" merayau-rayau di sekeliling kampung kerana Pak Cik Kinto ke kota untuk berurusan dengan peguam. "Aku" betemu dengan sekumpulan budak kampung yang sedang bermain di tepi paya. Salah seorang budak perempuan kampung yang bernama Su mengajak "Aku" bermain bersama-sama dengan mereka. Ketika bermain, Su telah memberikan "Aku" sekuntum bunga Capa Rengat ( melur hutan ). Kerana leka bermain, Su dipanggil pulang oleh adik lelaki tirinya pulang ke rumah. "Aku" pulang ke rumah dan meletakkan bunga Capa Rengat dalam botol berisi air.

3. Klimaks

Keesokan paginya, "Aku" dikejutkan dengan keputusan ibu untuk pulang ke kota. "Aku" berasa sedih dengan keputusan ibu kerana baru hendak merasai kenikmatan suasana kampung.

4. Peleraian

"Aku" pulang ke kota dengan kenangan yang indah hasil pemberian bunga Capa Rengat daripada Su, seorang gadis kampung.

Teknik Penceritaan:

Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.

1. Pemerian

Contoh: Kami menyedut udara pergunungan yang segar. Kami melihat burung-burung berterbangan. Di samping itu, Pak Cik Kinto tidak pernah lupa membawa senapang patah, kalau-kalau bertemu denak.

2. DialogContoh:

Contoh: "Cantik. ya!" kata budak perempuan itu.

"Cantik," jaeabku pendek sambil merenung matanya yang jernih ghairah itu.

3. Kejutan

Contoh: Adik tiri Su muncul dan memanggil Su pulang semasa "Aku" sedang bermain dengan Su dan kawan-kawannya.


Watak dan Perwatakan

1. "Aku"

  • seorang anak remaja

  • menghargai alam sekitar

  • proaktif dan cergas

  • mempunyai pandangan bernas

  • berfikiran positif

2. Ibu

  • pertengahan usia

  • tegas dengan pendirian

  • sikap terburu-buru membuat keputusan

  • prihatin terhadap orang lain

  • berperilaku mesra

3. Su

  • budak perempuan awal remaja

  • bersikap periang

  • aktif dan cergas

  • bijak mengolah keadaan

  • taat kepada ibu

4. Pak Cik Kinto

  • bapa saudara "Aku"

  • mahir selok-belok di kampung

  • mempunyai kemahiran menembak

  • ikhlas melayani tetamu

  • melaksanakan urusan dengan cekap

Latar:

Masa

  1. Pagi: - "Aku" dan ibu bertolak pulang ke bandar setelah seharian berada di kampung.

  2. Petang: - "Aku" dibawa oleh Pak Cik Kinto ke bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.

  3. Malam: - "Aku" tidur dengan nyenyak kerana terlalu letih setelah seharian bermain dengan budak-budak kampung.

Tempat

Latar tempat cerita berkisar di sebuah perkampungan Melayu yang berlatar belakang bukit-bukau dan tanah paya

  1. Bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto - tempat Pak Cik Kinto membawa "Aku" bersiar-siar untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.

  2. Paya - tempat kanak-kanak kampung berenang dan bermain di tepinya.

  3. Rumah Pak Cik Kinto - tempat "Aku" dan ibi bermalam ketika pulang ke kampung.

Masyarakat

  1. Masyarakat bandar. Contoh: Diwakili oleh watak "Aku" yang berasal dan dibesarkan di bandar begitu kekok waktu mula-mula sampai di kampung.

  2. Masyarakat kampung. Contoh: Pak Cik Kinto yang sering ke hutan untuk berburu.

  3. Masyarakat yang berpegang teguh pada ajaran Islam. Contoh: Ibu membetulkan tudungnya yang ditiup angin supaya melindungi rambutnya kerana untuk menutupi aurat.

  4. Masyarakat yang menghargai alam sekitar. Contoh: Su sangat mengenali alam kampungnya dan menyukainya serta menghadiahi "Aku" bunga Capa Rengat.

  5. Masyarakat yang suka berburu. Contoh: Pak Cik Kinto sering berburu di hutan.

Gaya Bahasa:

  1. Kata ganda. Contoh: Tiba-tiba, seolah-olah, bukit-bukit, kadang-kadang, baik-baik
  2. Anafora. Contoh: Mengapa menjadi sayu? Mengapa menjadi kesepian?
  3. Inversi ( Keterbalikan ayat ). Contoh: Demi memandang gunung-gunung dan padang belukarnya yang subur itu, segala rasa kesepian itu hilang. Sepatutnya. Segala rasa kesepian itu hilang apabila memandang gunung-ganang dan padang belukarnya yang subur itu.
  4. Personifakasi. Contoh: Melahirkan sinar cemburu.
  5. Simile. Contoh: Seperti ada sesuatu yang memukul-mukul hatiku.
  6. Simpulan bahasa. Contoh: Seperti belangkas.

Nilai:

  1. Nilai keberanian. Su berani untuk meniti di atas sebatang tiang untuk menyeberang sungai yang dalam .
  2. Nilai hemah tinggi. Su dan rakan-rakan menegur aku dan mengajak aku bermain bersama mereka walaupun baru pertama kali berjumpa.
  3. Nilai kerajinan. Pak Cik Kinto rajin untuk membawa aku berburu bagi mendapatkan rezeki.
  4. Nilai kerjasama. Su dan aku bekerjasama membina rumah katak semasa bermain.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menghargai alam sekitar. Contoh: Pak Cik Kinto dan aku menghargai keindahan alam sekitar semasa pergi berburu di hutan.
  2. Kita hendaklah menghargai persahabatan. Contohnya "Aku" menghargai persahabatan dengan Su dan sanggup menjaga bunga Capa Rengat yang diberi oleh Su kepadanya.
  3. Kita hendaklah menyemaikan kasih sayang antara keluarga. Contoh: "Aku" menyayangi Pak Cik Kinto bapa saudaranya walaupun baru saja mengenalinya.
  4. Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara yang sukar. Contoh: Su, "Aku" dan rakan-rakannya bekerjasama membina rumah katak dan jalan ke rumah katak.