Dalam kehidupan di dunia ini, banyak orang yang menghadapi tekanan. Untuk makluman pelajar, tekanan adalah sebahagian daripada asam garam hidup yang dialami semua orang. Bezanya ialah cara seseorang mengendalikan tekanan supaya tidak mendatangkan masalah sama ada kepada diri sendiri mahupun orang di sekeliling.
Tekanan ialah reaksi badan untuk menyesuaikan diri terhadap perubahan pada persekitaran. Tekanan berlaku dalam kehidupan sehari-hari sama ada di rumah, sekolah, atau tempat kerja. Malah, ketika bersama-sama orang tersayang juga kita boleh mengalami tekanan.
Namun, apabila terperangkap dengan pelbagai bentuk tekanan, tindakan susulan untuk mengurangkan tekanan antara seseorang biasanya tidak sama. Misalnya, ada orang yang minum kopi, menghisap rokok, berjalan-jalan di pusat beli-belah, makan coklat, malah ada yang termenung dan menangis.
Sebenarnya, tekanan merupakan antara elemen yang diperlukan dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana tekanan boleh mendorong kita agar mampu menjalankan tugas dengan baik. Sungguhpun demikian, tekanan yang berlebihan akan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan. Bahkan, tekanan yang berlebihan juga akan membahayakan diri sendiri dan orang lainjuga. Contohnya, tekanan yang serius boleh menyebabkan berlakunya histeria, tindakan membunuh diri, mencederakan orang lain, dan sebagainya.
Secara ringkasnya, tekanan boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu tekanan fizikal ( apabila badan letih selepas aktiviti fizikal yang lasak ), mental ( gangguan emosi dan perubahan tingkah laku ), tekanan oksidatif ( kesan radikal bebas ) dan tekanan metabolik ( kesan apabila badan tidak sihat )
Antara tanda tekanan yang sering dihadapi ( mungkin secara tidak disedari ) termasuklah perubahan emosi sama ada kecewa, marah, risau, tidak sabar, kerap letih tanpa sebab, resah keterlaluan, reaksi melampau, makan berlebihan, kerap merokok, tidur tidak lena, sakit kepala, masalah seksual, sakit belakang, sakit otot, atau menghidapi masalah kulit.
Sebenarnya, ada tekanan yang dapat diramalkan akan berlaku. Bagi pelajar, tekanan biasanya berlaku ketika musim peperiksaan seperti PMR, SPM, dan STPM. Sehubungan dengan hal itu, bagi mengurangkan atau mengatasi masalah tekanan, seseorang itu perlu mendapat rehat yang secukupnya, mengatur masa tidur dan bangun, serta rajin melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman boleh membuatkan kita berpeluh dan hal ini mampu mengurangkan tekanan. Selain itu, minumlah banyak air mineral atau air kosong kerana badan yang tidak cukup air akan mudah mengalami tekanan.
Namun demikian, yang lebih penting adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan mendapat khasiat yang mencukupi, terutama zink ( daripada tiram, daging, telur, kekacang dan dadih, serta vitamin B-kompleks ). Makanan yang seimbang akan menjadikan kita mendapat zat yang mencukupi dan hal ini akan mengurangkan kebarangkalian untuk seseorang itu mendapat tekanan.
Apabila mengalami tekanan, seseorang itu tidak dapat berfikir dengan jelas atau secara rasional. Akibatnya, dia boleh membuat keputusan atau melakukan tindakan yang kurang bijak. Tekanan yang tidak dikawal boleh memberi pengaruh yang tidak baik kepada diri, keluarga dan rakan-rakan di sekeliling. Dalam usia yang muda seperti remaja atau pelajar, tekanan haruslah ditangani dengan baik, terutama bagi beberapa masalah yang sering dihadapi oleh golongan pelajar seperti kewangan, hubungan dengan keluarga, cinta monyet, perubahan fizikal, dan sebagainya.
Antara cara yang dicadangkan untuk mengurangkan tekanan termasuklah:
- Berhenti daripada melakukan sesuatu perkara apabila ada tanda awal tekanan dan ambil masa untuk menenangkan diri. Jangan mengabaikan tanda awal ini kerana tekanan boleh menyebabkan kemunculan masalah baru. Kajian menunjukkan bahawa 30 peratus punca kemalangan jalan raya disebabkan oleh tekanan, terutama masalah peribadi. Jadi ambil masa untuk rehat dan menenangkan diri. CARANYA adalah dengan duduk dalam posisi yang selesa dan letakkan kedua-dua tangan di atas paha. Luruskan kaki ke hadapan, cuba tegangkan otot dan tarik nafas ( dalam kiraan 1,2,3 ). Lepaskan ketegangan dan hembus nafas perlahan-lahan. Buat aktiviti ini selama 15 hingga 20 minit. Kaedah yang sama dapat juga digunakan untuk anggota badan yang lain. Tujuan senaman ini adalah untuk merehatkan otot. Apabila tertekan, otot secara tidak langsung menjadi tegang, khususnya otot bahu, leher dan belakang.
- Melepaskan emosi, sama ada dengan bercerita kepada rakan ataupun ahli keluarga. Kebanyakan orang, terutama pelajar lelaki, suka menyembunyikan masalah dan memendam perasaan. Bercerita tentang tekanan bukan menunjukkan kelemahan, sebaliknya merupakan satu kaedah yang baik untuk melegakan perasaan. Tekanan yang dipendam boleh diumpamakan sebagai gunung berapi yang boleh meletup ( dilepaskan kepada orang lain ) atau memakan diri sendiri (menghidap tekanan darah tinggi atau lemah jantung ) CARANYA jangan malu untuk bercerita masalah anda. Tekanan ialah perkara biasa yang dialami oleh semua orang. Kita perlu realistik dan menerima hakikat ini. Tekanan boleh dilepaskan melalui dua cara yang dipanggil katarsis ( melalukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan bersukan ) atau aktiviti ekspresif dengan meluahkan perasaan, bersembahyang, menulis surat, bercakap dengan kawan dan sebagainya. Meluahkan perasaan akan menjadikan manusia itu lebih selesa berbanding dengan menyembunyikan perasaan diri sendiri.
- Mengenal pasti punca tekanan. Ambil masa untuk menganalisis tekanan. Fikirkan secara mendalam. Antara cara yang boleh dibuat termasuklah menulis punca tekanan setiap hari sebelum tidur. Selain itu, kita perlu bertindak menyibukkan diri untuk melupakan tekanan. Cara ini adalah cara yang baik dan berkesan kerana punca masalah masih wujud dan tidak ditangani. Contohnya masalah perubahan fizikal yang menyebabkan tubuh badan berasa tidak selesa seperti muka berjerawat, misai mula tumbuh dan sebagainya. Cara yang boleh kita dilakukan adalah dengan membanyakkan pembacaan tentang perubahan biologi tubuh badan yang akan dialami oleh remaja selepas baligh.
- Bezakan antara perkara yang boleh dikawal daripada yang di luar kawalan anda. Jangan terlalu memikirkan perkara yang di luar kawalan kita seperti sikap orang terhadap kita, Sebaliknya kita boleh mengubah sikap dan tanggungjawab kita terhadap orang lain. Tindakan ini sebenarnya banyak membantu untuk meredakan tekanan.
- Jangan asyik memikirkan perkara lepas kerana hal ini tidak boleh diubah lagi, Sebaliknya rancang masa hadapan dengan baik supaya perkara yang dikesalkan tidak berulang. Berikan tumpuan pada perkara yang boleh dilakukan dan belajar mendisiplinkan diri untuk meneruskan tindakan mengatasi tekanan. Pelajar harus berani mengatasi dan menghadapi masalah. Melarikan diri daripada masalah bukan jalan penyelesaian terbaik kerana hanya bersifat sementara dan masalah masih beterusan.
Semua orang mempunyai masalah. Jika kita berasa hidup kita susah, ada orang yang lebih susah dan malang daripada kita. Hidup ini sebenarnya tidak mudah, tetapi kita masih boleh begembira dan bersyukur dengan apa-apa yang dimiliki.
Contoh terbaik ialah orang kurang upaya. Mereka tidak memandang kekurangan diri sebagai kelemahan, tetapi memberikan tumpuan pada kelebihan yang dimiliki untuk meneruskan hidup sebaik nasib orang lain.
Setiap manusia mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, gunakan kelebihan ini untuk meancang masa hadapan dengan lebih baik.
No comments:
Post a Comment