Thursday, May 3, 2012

Jawapan Ujian Selaras 2 Soalan 4

Industri pertanian memberikan sumbangan yang semakin penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Berikan saranan anda tentang peranan pelbagai pihak dalam memajukan industry pertanian di negara kita.

    Rancangan Malaysia Kesembilan yang direncanakan dan diuar-uarkan oleh kerajaan sejak awal tahun ini telah mendapat pelbagai reaksi. Sesetengah pihak mencetuskan kontroversi dengan mendakwa bahawa rancangan yang mengutamakan sektor pertanian itu adalah tidak wajar dalam arus globalisasi dan kepesatan pembangunan negara yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikan, jika kita perhatikan kronologi sejarah negara, industri pertanian merupakan tulang belakang ekonomi negara yang membolehkan Malaysia melangkah ke zaman 'Revolusi Perindustrian'. Hal ini sekali gus menjadi indicator yang sudah terang lagi bersuluh bahawa pertanian sememangnya adalah penting. Maka, pelbagai uslub dan minhaj perlu diambil oleh semua pihak kerana hal ini merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

    Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pertanian memberikan sumbangan yang penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh hal yang demikian, kerajaan memainkan peranan yang besar dalam menentukan hala tuju industri pertanian demi mencapai kemajuan. Kerajaan hendaklah menubuhkan lebih banyak institusi seperti Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia ( MARDI ) bagi menjalankan penyelidikan untuk mendapatkan baka yang baik serta produktif. Hal ini dapat dilakukan menerusi perkembangan sains dan teknologi yang pesat, iaitu kejuruteraan genetic. Bidang ini dapat menggabungkan pelbagai genetic berkualiti yang bervariasi daripada spesies-spesies tumbuhan atau haiwan untuk mengubah suai struktur nukleotida bagi mendapat bijih benih yang sangat berkualiti. Hal ini sememangnya membantu dalam kemajuan pertanian kerana baka baru yang terhasil itu mempunyai keimunan yang tinggi dan mampu melawan patogen berbahaya, disamping mengeluarkan hasil yang banyak sama ada buah-buahan, susu atau daging. Hal ini sesuai dengan slogan, 'bersekutu bertambah mutu'.

    Selain itu, kerajaan juga perlu memajukan pemasaran hasil pertanian melalui agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia ( FAMA ). Pemasaran yang dimaksudkan itu merangkumi pemasaran local dan antarabangsa yang melibatkan eksport. Penguryusan yang baik dalam organisasi pihak pemasaran dapat memastikan transaksi hasil pertanian berjalan lancar bagi meraih keuntungan yang lumayan. Kerajaan juga perlu lebih giat melaksanakan Dasar Pertanian Negara agar komoditi utama negara seperti getah dapat dieksport ke seantero dunia, melalui pemasaran yang mengikut prosedur yang betul.

    Di samping itu, kerajaan juga hendaklah mengadakan kursus dan intensif
bagi para petani di negara ini. Para petani perlu diberi pendedahan terhadap teknik pertanian yang berkesan. Mereka juga perlu dimaklumkan perihal kewujudan teknologi yang maju dan memudahkan pertanian, seperti jentera pembajak. Malahan, baja yang digunakan oleh mereka mestilah bersesuaian dengan tanaman serta mengikut sukatan yang betul. Hal ini dapat menambahkan kecekapan para petani agar dapat menghasilkan produk yang bermutu tinggi.

    Seterusnya,
kerajaan hendaklah memberikan bantuan modal dan subsidi kepada para petani. Majoriti petani berasal dari luar bandar dan berkemampuan untuk membiayai kos pertanian yang merangkumi biji benih, baja, jentera, dan mesin. Maka, kerajaan patut menyediakan jentera yang berharga beribu-ribu ringgit, selain menyediakan infrastruktur lain untuk para petani. Oleh hal yang demikian, taraf hidup petani dapat ditingkatkan dan hal ini menjadi pemangkin dan semangat kepada mereka untuk terus berbakti kepada tanah.

    Selain pihak kerajaan, institut pengajian tinggi swasta ( IPTS ) juga perlu berganding bahu memajukan bidang pertanian negara. IPTS di negara kita hendaklah menawarkan jurusan yang berkaitan dengan pertanian, seperti Sains Pertanian. Hal ini dapat memberikan pendedahan awal kepada para pelajar, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Para pelajar dapat mempelajari teknik-teknik dan kaedah-kaedah pertanian secara menyeluruh dan mendalam. Jurusan yang ditawarkan ini perlulah menarik dan menyakinkan para pelajar bahawa pertanian mempunyai prospek yang cerah dalam beberapa dasawarsa yang akan datang.

    Sementelahan itu, masyarakat amnya dan belia dan remaja khususnya, mestilah membetulkan tanggapan dan minda yang masih di takuk lama. Mereka hendaklah menyisihkan tanggapan bahawa sektor pertanian merupakan sektor yang tidak glamor serta tidak menjanjikan pulangan yang lumayan, sesuai dengan pepatah, ('buang yang keruh, ambil yang jernih'). Mereka seharusnya berfikiran secara matang dan rasional, bahawa pertanianlah yang menghasilkan makanan ruji negara kita. Mereka juga perlu mempunyai iltizam dan jati diri yang utuh agar tidak terpengaruh dengan arus pemodenan yang kononnya hanya mementingkan kemajuan sektor perindustrian dan teknologi maklumat.

    Tuntasnya, semua pihak perlulah berganding bahu dan bermuafakat memajukan sektor perindustrian, kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Kita tidak mahu titik hitam dalam sejarah negara berulang seperti pisang berbuah dua kali, apabila negara dilanda kemelesetan ekonomi pada tahun 1980-an. Pada masa yang genting itu, negara terpaksa mengimport makanan dengan harga yang tinggi, berikutan kadar inflasi yang meningkat. Kita perlu menyediakan payung sebelum hujan supaya krisis ini tidak berulang.

Thursday, April 5, 2012

Antologi Dirhagayu Bahasaku : Sajak "Arkitek Kota

TEMA : Keseimbangan dan keselarasan dititikberatkan dalam pembangunan bandar.

PERSOALAN

Ciri-ciri seorang perancang bandar yang baik.

Kepekaan perancang bandar terhadap keindahan alam semulajadi.

Pengaruh perancang bandar dalam mewujudkan kesejahteraan hidup manusia, kesempurnaan, pelbagai penemuan, dan kemungkinan.

Rangkap 1 : Hanya seniman yang peka terhadap alam sekitar dan banyak pengalaman hidup yang berhak membina bandar


 

MAKSUD RANGKAP

Rangkap 2 : Perancangan bandar yang matang itu ialah pencinta alam, rajin mencari ilmu, pemerhati kehidupan, pengkaji masyarakat, bijak membuat penilaian, dan memiliki bakat sebagai pemimpin.

Rangkap 3 : Perancang bandar harus mengutamakan pemeliharaan dan pengekalan alam semula jadi dan melindunginya daripada sebarang kerosakan

Rangkap 4 : Perancang bandar perlu berani mencipta pelbagai perubahan, bersedia menerima pandangan orang yang lebih berpengalaman, dan mengambil kira perasaan pihak lain.

Rangkap 5 : Perancang bandar bertanggungjawab mewujudkan petempatan dan persekitaran kehidupan manusia melalui daya kreativitinya. Beliau juga membenarkan segala pembaharuan dan bersedia menghadapi

kemungkinan yang bakal terjadi.

Rangkap 6 : Penyajak menyatakan bahawa beliau hanyalah pemerhati yang menilai pembinaan bandar dari jauh.


 

Perlambangan

- pencipta kota ialah pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai

Metafora.

- bangku bijaksana ; ruang hidup.

Unsur alam.

- laut ; tasik ; bumi ; burung ; bulan.

Personifikasi

- jiwa laut, perasaan musim; fiil langit; sabar bumi.

Asonansi

- yang faham akan jiwa laut (pengulangan bunyi vokal a)

Aliterasi

- kerana arkitek matang itu anak di taman. (pengulangan bunyi konsonan t)


 

NADA

Sajak ini bernada melankolik

NILAI

  1. Cinta akan alam semula jadi. Contohnya, arkitek kota melaksanakan pembangunan tanpa mengorbankan alam semula jadi.
  2. Berhemah dan behati-hati. Contohnya, arkitek kota merancang pembangunan bandar secara berhemah dan berhati-hati.
  3. Bijaksana. Contohnya, arkitek kota bijak merancang pembangunan bandar untuk keselesaan penghuninya.

PENGAJARAN

  1. Janganlah mengorbankan alam semula jadi dalam melaksanakan pembangunan bandar.
  2. Perancang bandar perlu peka akan persekitaran dengan melakukan pemerhatian yang rapi supaya kota atau bandar yang dibangunkan lebih sempurna.
  3. Kita hendaklah melaksanakan pembangunan bandar dengan teliti kerana pembangunan bandar tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada penghuninya.
  4. Bandar atau kota yang dibangunkan hendaklah sesuai untuk semua peringkat umur.

Wednesday, April 4, 2012

KARANGAN K1103/1 BMSPM BAHAGIAN B


Pengekalan bangunan bersejarah harus diberikan perhatian yang serius di Malaysia kerana bangunan bersejarah mempunyai nilai budaya dan nilai keseniannya yang tersendiri. Selain itu, bangunan-bangunan ini mencirikan identiti negara dan merakamkan sejarah penting negara.

Berikan pendapat anda tentang kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah ini.



Di negara kita, banyak terdapat bangunan bersejarah yang masih kukuh dan sering menarik perhatian sama ada para pelancong dari dalam atau luar negara. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dikekalkan supaya 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas' untuk menjadi tatapan generasi yang akan datang. Kebanyakan bangunan bersejarah merupakan tinggalan sejak zaman penjajah. Antara bangunan bersejarah yang sering menjadi kunjungan pelancong ialah Kota A Famosa dan bangunan Stadsyus di Melaka, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Kota Belanda di Pulau Pangkor. Bangunan-bangunan ini bukan sahaja mempunyai nilai-nilai budaya dan keseniannya yang tersendiri malah merakamkan sejarah penting negara. Justeru, pengekalan bangunan bersejarah sememangnya penting di Malaysia.

Satu daripada kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah di negara ini kerana bangunan tersebut mempunyai nilai seni dan estetika. Bangunan-bangunan ini biasanya mempunyai nilai seni bina yang halus dan bercorakkan budaya bangsa. Sebagai contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu tradisional adalah cantik dan harmoni. Oleh itu, kita dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina bangsa kita pada masa silam. Ukiran pada dinding batu dan kayu dalam bangunan bersejarah memaparkan corak budaya masa silam. Hal ini membolehkan kita menghayati keistimewaan budaya kita.

Selain itu, pengekalan bangunan bersejarah ini juga membolehkan kita mempelajari dan mendalami sejarah negara pada masa lampau melalui bangunan-bangunan bersejarah. Lawatan ke sesebuah bangunan bersejarah membolehkan kita menyaksikan kesan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di situ. Sebagai contohnya, lawatan ke Kota A Formosa di Melaka membolehkan kita membayangkan peperangan dan pertumpahan darah ketika rakyat Melaka menentang Portugis. Kita juga akan lebih memahami fakta sejarah jika kita dapat melihat kesan peninggalannya. Dalam konteks ini, pelajar akan lebih berminat terhadap pembelajaran sejarah negara. Sesungguhnya, cara pembelajaran secara kontekstual ini amat berkesan.

Di samping itu, bangunan-bangunan bersejarah juga perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah ini dapat menjadi tarikan kepada pelancong tempatan atau pun pelancong asing. Misalannya, Kota Cornwallis di Pulau Pinang, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Rumah Puteri Meninjau di Sabah sering menjadi tumpuan para pelancong. Secara tidak langsung keadaan ini dapat membantu perkembangan industri pelancongan melalui pengaliran masuk wang asing ke negara ini.

Bangunan-bangunan bersejarah juga penting dalam industri perfileman. Kejayaan sesebuah filem banyak bergantung pada latar tempatnya. Untuk membuat filem berunsur sejarah, lokasi penggambarannya sudah pasti di sekitar bangunan-bangunan bersejarah. Filem berkenaan akan menjadi lebih realistik dan menarik jika bangunan bersejarah yang sebenar digunakan. Hal ini dibuktikan oleh syarikat-syarikat perfileman asing yang banyak mengadakan penggambaran di Malaysia. Sebagai contohnya, filem Police Story III oleh Jacky Chan yang membuat penggambaran di Kuala Lumpur dengan berlatarbelakangkan Bangunan Mahkamah dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Melalui filem-filem ini, Malaysia menjadi terkenal di seluruh dunia. Hal ini membuktikan kepentingan bangunan bersejarah kepada kita.

Bangunan bersejarah juga banyak memberikan pengajaran kepada kita. Bangunan bersejarah akan mengingatkan kita tentang peristiwa masa lampau. Sebagai contohnya, bangunan zaman pemerintahan Jepun mengingatkan kita tentang penderitaan hidup rakyat semasa peperangan. Rakyat juga akan menyedari pahit maung yang dialami sewaktu perjuangan menuntut kemerdekaan. Hal ini akan menjadikan kita lebih menghargai keamanan dan kebebasan yang kita nikmati selama ini. Selain itu, kita juga akan sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan berulang lagi.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa bangunan-bangunan bersejarah merupakan sebahagian daripada warisan sejarah yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, bangunan bersejarah haruslah dikekalkan untuk penghayatan dan kepentingan generasi akan datang. Dengan ini diharapkan usaha-usaha memulihara bangunan bersejarah dilaksanakan secara berterusan agar negara dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.






Sunday, April 1, 2012

Latihan 3

Lengkapkan ayat-ayat yang menggunakan KKT berikut sama ada dengan objek 1 dan objek 2

  1. Ahmad mencarikan ___________ ubat batuk
  2. Kakak menjahitkan ____________ sehelai baju
  3. Guru membacakan palajar _________________
  4. Hasnah membeli ____________ untuk __________________
  5. Ahmad mencari ______________________ untuk ayah
  6. Kakak menjahit _________________ untuk emak
  7. Aminah membuat_____________________ untuk______________
  8. Raja itu memperisterikan ______________ dengan______________________
  9. Baginda mengurniai ______________ bintang kebesaran
  10. Pengetua menghadiahkan ________________ kepada ______________________
  11. Kak Awanis menghidangi _________________ segelas teh
  12. Tuhan mencucurkan ____________ kepada ________________________
  13. Canselor menganugerahi________________ pingat emas.
  14. Saya memberi _______________ itu ________________
  15. Saya memberikan _________________ kepada _____________________
  16. Mekanik itu sedang membaiki _____________ Abu
  17. Ahmad dihadiahi ______________ oleh Pak Abu
  18. Sebuah basikal dihadiahkan oleh ______________ kepada _______________
  19. Rahmat dicucurkan _________ kepada _______________

20.Tetamu itu dihidangi ____________ oleh __________________


 


 


 


 


 


 

Tuesday, February 7, 2012

Latihan Tatabahasa 2

8

Semenjak dari zaman dahulu lagi

9

Kegagalan projek adalah disebabkan

10

Dia sudah tibakah?

11

Soalan ini paling susah sekali

12

Hasil mesyuarat akan diperhalusi

13

Saya menduduki kerusi yang buruk

14

Rumah itu mereka duduki

15

Tolong jangan pijak rumput

16

Dedaun berguguran


Sila BACA dan TENTUKAN sama ada Frasa dan Ayat di atas BETUL atau SALAH

Monday, February 6, 2012

MARI BELAJAR MENULIS 2

Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang
faedah-faedah belajar secara berkumpulan. Panjangnya huraian hendaklah
antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Dalam zaman yang penuh persaingan ini, para pelajar sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran demi mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Menetapkan matlamat, menyediakan jadual waktu yang praktikal, menghadiri kelas tuisyen dan mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh pelajar demi mencapai kejayaan. Namun belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar.

Belajar secara berkumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Seseorang pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga. Contohnya, seseorang pelajar yang bersikap malu tidak berani untuk bertanya kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya dan mengeluarkan buah fikiran mereka di depan rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan bukan sahaja dapat memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka langkah kepada pelajar untuk memajukan diri dalam pelajaran.

Selain itu, para pelajar dapat berkongsi ilmu secara lain melalui kaedah belajar secara berkumpulan. Mereka berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan tentang kemahiran menjawab dalam peperiksaan. Mereka boleh-berkongsi ilmu tentang sesuatu mata pelajaran dan menukarkan latihan atau buku rujukan. Contohnya, seseorang pelajar yang menghadiri kelas tuisyen akan menguasai kemahiran menjawab dengan lebih baik berbanding dengan seseorang pelajar yang tidak menghadiri kelas tuisyen. Melalui perbincangan secara berkumpulan, pelajar dapat mengukuhkan kemahiran menjawab mereka dan seterusnya mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam sesuatu mata pelajaran. Para pelajar turut dapat mengukuhkan dan memantapkan pemahaman mereka tentang sesuatu mata pelajaran.

Bak kata pepatah, "muafakat itu berkat", belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat kerjasama dalam diri pelajar di samping menerapkan nilai bertoleransi. Para pelajar dapat menyiapkan sesuatu kerja dengan cepat dan berkesan melalui semangat kerjasama yang dipupuk. Kerja rumah yang disiapkan lebih berkualiti dengan memuatkan pandangan atau pendapat rakan-rakan. Contohnya, seseorang pelajar dapat menghasilkan karangan yang baik dan berkualiti dengan adanya maklumat yang relevan dan pendapat daripada rakan. Natijahnya, belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat bersatu padu, mengeratkan hubungan sesama lain dan meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik.

Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan. Sebagai bakal pepimpin negara, kita seyogianya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

SILA BACA DAN BETULKAN KESALAHAN BAHASA YANG TERDAPAT DALAM KARANGAN INI