Thursday, July 22, 2010

PEDOMAN BAHASA 5

"MERBAHAYA" atau "BERBAHAYA"?
MASIH banyak pengguna bahasa Melayu yang keliru ketika menggunakan kata terbitan atau kata berimbuhan. Contohnya yang ketara ialah penggunaan imbuhan seperti dalam hal perkataan *merbahaya. Bentuk itu salah kerana dalam bahasa Melayu tidak wujud imbuhan * mer-. Yang sesuai ialah ber-. Oleh itu, gunakanlah perkataan berbahaya. Maksud ber- dalam situasi ini ialah "ada" atau "mempunyai". Dengan hal yang demikian, berbahaya bermaksud "ada bahaya" atau "mempunyai bahaya".
"PERGERAKKAN" atau "PEGERAKAN"?
SATU contoh lagi ialah kekeliruan ejaan *pergerakkan. Imbuhan *per- ...-kan juga tiada dalam bahasa Melayu. Yang ada ialah pe-..-an dan per-..-an. Jika digunakan pe-..kan, yang terhasil ialah *pegerakan. Bentuk ini salah juga. Oleh itu, bentuk betul ialah pergerakan.
HUKUM D-M
UNTUK memastikan bahawa binaan frasa nama adalah betul dan tepat, kita hendaklah menyusunnya secara "hal yang hendak diterangkan" (inti atau fokus) mendahului "hal yang menerangkan" (penerang atau cerita). Susunan ini dikenali sebagai HUKUM D-M, yang bermaksud "diterang dan menerangkan", D = diterang, dan M= menerangkan.
Sekiranya susunan itu terbalik, binaan frasa tersebut dianggap tidak tepat. Contoh penggunaan yang SALAH adalah seperti yang berikut:
* mini bas
* goreng pisang
* cili sos
Adakah kita menaiki mini? Tidak, kita menaiki bas. Kita tidak akan makan goreng, tetapi makan pisang. Kita tidak menggunakan cili, tetapi menggunakan sos. Perkataan mini, goreng, dan cili hanyalah penerang jenis bas, pisang, dan sos. Oleh itu, kita menaiki bas mini (bas kecil), makan pisang goreng (pisang yang digoreng), dan menggunakan sos cili (sos yang dibuat daripada campuran cili).
Demikian juga halnya dengan *Aminah Restoran, atau *Lim Klinik. Untuk makan kita pergi ke restoran, bukan ke Aminah. Bagi mendapat rawatan kita pergi ke klinik, bukan ke Lim. Aminah dan Lim hanya penerang bagi nama restoran dan klinik. Dengan demikian bentuk yang betul ialah Restoran Aminah dan Klinik Lim.
Walaupun begitu, terdapat beberapa frasa yang digunakan sekarang bertentangan dengan hukum D-M. Hal ini dianggap KECUALIAN. Hal ini terjadi kepada frasa yang membawa maksud jawatan, gelaran atau panggilan, serta yang menunjukkan bilangan. Dalam contoh-contoh yang berikut, perkataan yang berhuruf tebal ialah inti.
  • Perdana Menteri
  • Ketua Pengarah
  • Naib Yang Dipertua
  • Profesor Zahir
  • Haji Fadil
  • Mak Cik Alia
  • dua ekor ayam


No comments:

Post a Comment