Saturday, January 15, 2011

Cerpen: Dendam

DENDAM
( Shariza A Rahman )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Cerpen 'Dendam' ini mengisahkan hubungan kekeluargaan antara kakak, adik, ibu dan ayah. Kakak dengan gelarannya Along amat membenci adiknya Angah yang mengoyakkan buku latihan Fizik yang baru dibelinya. Sebelum itu adiknya pernah menconteng buku latihan Kimia dan Geografi sehingga didenda oleh gurunya Puan Maria. Along sangat berang dan marah dengan adiknya Angah sehingga sanggup menampar pipi adiknya. Selain itu, Along juga menolak adik sehingga terjatuh. Ketika Angah ingin mengadu kepada ibunya Along menjeling menyebabkan Angah tidak sempat untuk mengadu.

Ketika selesai makan malam ayah mengamuk kerana kertas kerjanya telah dikoyakkan oleh adik. Ayah memarahi Along kerana tidak menjaga adiknya dan melarang dari memasuki bilik bacaan ayah. Along cuba mempertahankan diri mengatakan itu perbuatan Angah. Ibu tetap memarahi Along walaupun pelbagai alasan yang diberikan sehingga ibu melabelkan Along biadap. Ayah hanya mendiamkan diri ketika ibu dan Along berhujah. Along cuba memasang perangkap untuk mengenakan adiknya.

Satu lagi peristiwa yang menyebabkan kemarahan ibu meluap-luap apabila rantai pusaka keturunannya putus. Ibu menuduh Along yang menyebabkan rantai itu putus tapi Along menafikannya. Along menuduh Angah yang menyebabkan rantai itu putus. Angah yang sering mengoyakkan kertas kerja ayah dan kemungkinan Angah juga yang memutuskan rantai ibu. Ayah mengamuk dan merotan Angah dengan menggunakan tali pinggang. Teriakan dan raungan Angah bergema di seluruh rumah.

Along kesian mendengar raungan Angah kerana Along sendiri tidak pernah dipukul sebegitu. Sepanjang hari Along tidak mendengar suara tawa nakal Angah. Apabila malam larut Along memasuki kamar Angah yang sedang lena tidur. Along menyelak baju kurung Angah dan kelihatan garis-garis merah dan biru kesan daripada pukulan menggunakan tali pinggang oleh ayah. Along kesian dan sedih melihat keadaan Angah. Akhirnya Angah mengatakan bahawa dia menyimpan rahsia orang yang memutuskan rantai ibu. Along memeluk Angah kerana rasa terharu dan meyedari kasih sayang antara adik beradik.

Tema:

Konflik kekeluargaan merenggangkan hubungan kekeluargaan. Hubungan Along, Angah, ibu dan abah renggang kerana sedikit pertentangan. Along marah kepada abah dan ibu kerana sering menyebelahi Angah.

Persoalan:

1. Persoalan hubungan kekeluargaan.
  • Contoh: Hubungan yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam cerpen ini terutama ketika makan. Mereka sekeluarga selalu makan bersama-sama.

2. Persoalan kebencian kepada adik.

  • Contoh: Along sangat membenci adiknya yang sering menconteng dan mengoyakkan buku latihan sehingga dimarahi gurunya.

3. Persoalan kasih sayang.

  • Contoh: Pada akhir cerita Along dan Angah saling berpelukan menandakan kasih sayang antara kedua beradik tersebut.

Plot:

Permulaan

Cerpen ini dimulakan dengan Along marah apabila buku latihan Fiziknya yang baru dibeli semalam terconteng dan terkoyak oleh Angah adiknya. Sewaktu pulang bercuti dulu buku kerja Kimia menjadi mangsa. Along terpaksa mengorek tabung Arnab untuk membeli buku teks Geografi tetapi telah dikoyak dan diconteng oleh Angah. Along memarahi Angah kerana perbuatannya dengan menampar pipi adiknya hingga terjatuh di atas sofa lalu menangis.

Perkembangan

Semasa hidangan makan malam ayah merungut dan memarahi Along kerana membiarkan Angah masuk ke bilik bacaan ayah dan merenyuk dan mengoyakkan kertas kerja Ayah. Kemarahan ayah begitu lahap oleh api dendam yang membara. Along cuba untuk membela diri dengan mengatakan bukan dia yang melakukannya. Along juga merungut kerana setiap kesalahan adik akan ditanggung olehnya. Along memohon agar ayah dan ibu bersikap adil padanya. Ayah dan ibu tetap memarahi Along, kerana dia adalah kakak. Along juga melawan kata-kata ayah dan ibunya. Ibu mengatakan Along biadap kerana melawan cakap orang tua. Manakala ayah membisu mendengar pembelaan daripada Along. Kemuncak kemarahan, Along menghalau adiknya dari ruang tamu.

Klimaks

Klimaks cerpen ini apabila rantai mutiara ibu putus. Ibu mengamuk kerana terlalu menyayangi rantai pusaka turun temurun itu. Ayah cuba menenangkan ibu untuk membetulkan semula rantai yang putus tetapi tidak dihiraukan oleh ibu. Along tidak mengaku memutuskan rantai ibu dan menuduh Angah yang memutuskannya. Angah disebatkan dengan tali pinggang oleh ayah.

Peleraian

Along memasuki kamar Angah dan simpati terhadap adiknya. Angah menyelak baju kurung dan kelihatan garis-garis merah dan biru kesan daripada sebatan tali pinggang ayah. Along memohon kemaafan daripada Angah dan mereka berpelukan. Akhirnya Along sedar adiknya memerlukan kasih sayang dan perhatian.

Teknik Penceritaan:

1. Dialog.

Contoh:

  • "Nak jadi samseng! Senang-senang koyakkan buku Along."

  • "Angah cuma tengok saja ..."

2. Imbas kembali.

Contoh: Along teringatkan kisah adiknya mengoyakkan buku Geografi dan Kimianya pada cuti yang lalu.

3. Monolog dalaman.

Contoh: Oh Tuhan! Kejamkah aku? Adilkah aku terhadap Angah?


Watak dan Perwatakan:

Along

  • cepat meradang terutama kepada adiknya

  • sering memarahi adiknya yang melakukan kesalahan

  • membenci adiknya kerana sering melakukan kesalahan

  • pernah disekat wang saku perbelanjaannya ke sekolah gara-gara perbuatan adiknya yang mengoyakkan wang ayahnya

Angah

  • gelaran Hantu Kecil yang diberikan oleh Along

  • berwajah comel

  • suka mengoyakkan kertas, buku, dan majalah

  • wajahnya pucat apabila dimarahi

  • buah hati ibu

Abah

  • seorang yang tegas

  • memukul adik dengan tali pinggang

Emak

  • suka menyebelahi adik

  • mempercayai telekan bidan mengatakan Angah membawa tuah

  • bersikap garang dengan Along

Latar:

Masa

1. Malam.

  • Contoh: Selesai menikmati hidangan malam. Kedengaran ayah merunggut-runggut marah akan sesuatu.

2. Tengah hari.

  • Contoh: Tengah hari, petang berterusan hingga malam, hatiku kosong tanpa suara tawa nakal Angah.

Tempat

1. Ruang tamu

  • Contoh: Along memarahi dan menampar adiknya kerana mengoyakkan buku latihannya.

2. Di rumah.

  • Contoh: Keseluruhan peristiwa berlaku di rumah.

3. Di meja makan

  • Contoh: Ayah merunggut-runggut marah akan sesuatu selepas selesai makan malam.

4. Di katil

  • Contoh: Along menyedari kesilapannya dan memohon maaf kepada Angah.

Masyarakat

1. Masyarakat Pelajar.

  • Contoh: Dapat dilihat pada watak Along yang bercuti dari asrama. Juga buku latihan sekolahnya diconteng dan dikoyakkan oleh adik.

2. Masyarakat Guru.

  • Contoh: Dahulu, Puan Maria, Guru Kimia yang mengajar Along mendenda Along kerana buku latihannya dikoyakkan oleh adik.

3. Masyarakat Pengamal Undang-Undang.

  • Contoh: Ayah mereka bekerja sebagai Hakim. Along meminta ayahnya supaya adil dalam menjatuhkan hukuman kepadanya.

Gaya Bahasa:

1. Sinkope

  • Contoh: Ah, sakit hatiku melihat senyumannya. ( Singkatan kata ku ) Dan tanpa kusedari, tanganku ringan saja menyinggahi pipinya itu.

2. Kata Ganda

  • Contoh: Selesai menikmati hidangan malam. Kedengaran ayah merunggut-runggut marah akan sesuatu.

3. Peribahasa

  • Contoh: Berat sebelah, tebal muka, managih kasih.

4. Metafora

  • Contoh: Penjuru hatiku, api dendam, keluhanku bertaburan, putik-putik dendam.

Personifikasi

  • Contoh: Hatiku dijurus lahar beracun.

Antomomisia ( memperlihatkan sifat seseorang )

  • Contoh: Hantu Kecil

Totologi ( Perulangan untuk penegasan )

  • Contoh: Benci. Aku benci

Nilai:

1. Nilai kasih sayang

  • Contoh: Baru aku sedar sekarang aku ada seorang adik yang memerlukan kasih sayang dan perhatianku.

2. Nilai berdikari

  • Contoh: Along berdikari dengan membeli sendiri buku Geografinya yang dikoyakkan oleh Angah dengan menggunakan wang simpanan tabungnya.

3. Nilai hemah tinggi

  • Contoh: Walaupun dalam api kemarahan, Along masih menggunakan kata-kata yang baik untuk tidak bersetuju dengan pendapat ibu dan ayahnya.

4. Nilai hormat-menghormati

  • Contoh: Angah amat menghormati kakaknya walaupun dibenci dan ditampar oleh kakaknya.

5. Nilai kesyukuran

  • Contoh: Along bersyukur kerana sedar daripada kesilapannya yang amat membenci adiknya sehingga sanggup menampar pipi adiknya.

Pengajaran:

  1. Kita harus bersabar dengan kerenah adik kita. Contoh: Apabila malam semakin larut, aku memasuki kamar Angah, sunyi. Hatiku dilanda resah. Perlahan-lahan aku menghampiri Angah yang sedang lena di katil comelnya.
  2. Kita janganlah mempercayai tilikan. Contoh: Syah dan ibu seakan percaya akan tilikan bidan yang membidankan kelahiran Angah. Aku sungguh hairan melihat ayah dan ibu masuk dalam golongan intelek, masih percaya kepada tilikan yang mengatakan Angah akan membawa tuah kepada keluarga.
  3. Kita janganlah memperbesar perkara-perkara yang kecil. Contoh: Perkara macam itu pun engkau besar-besarkan. Angah bukankah adik engkau.
  4. Kita hendaklah mempunyai sikap sayang menyayangi antara ahli keluarga. Contoh: Aku mengangguk sambil memeluk dan mencium pipi Angah. Buat kali pertama ini aku memeluk dan mengucupinya.
  5. Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang terhadap kita. Contoh: Along dan Angah saling bermaafan antara satu sama lain.

Friday, January 14, 2011

Cerpen: Capa Rengat

CAPA RENGAT
( Baharuddin Kahar )

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:

Cerpen 'Capa Rengat' mengisahkan seorang remaja yang ingin merasai kehidupan di kampung ibunya. Pada waktu petang, "Aku" akan mengikut bapa saudaranya Pak Cik Kinto, ke bukit-bukit di keliling kampung untuk menyedut udara segar dan menembak burung-burung serta menjengah ikan-ikan di sungai. Hubungan Pak Cik Kinto dan "Aku" seperti belangkas.

Pada sebelah petangnya. "Aku" tidak dapat ke mana-mana kerana Pak Cik Konto pergi untuk berurusan dengan peguam. Ibu "Aku" pula berasa bosan tinggal lebih lama di kampung. "Aku" mengambil keputusan merayu-rayau di sekeliling di kampung. Ketika lalu di sebidang paya, "Aku" melihat lima orang anak muda sedang bermain di bahagian tepi paya.

Seorang budak perempuan, Su mengajak "Aku" bermain bersama-sama mereka. Permainan yang dimainkan begitu janggal dan "Aku" berasa kekok pada permulaannya tetapi kemesraan budak-budak kampung menghilangkan rasa kekok "Aku". Akhir sekali, "Aku" diajak bermain rumah katak. Setiap kali rumah katak "Aku" siap dibina, Su akan memecahkannya.

"Aku" cuba menangkap Su kerana mempersenda-senda kebolehan "Aku". Rupa-rupanya, Su begitu lincah meniti batang dan melompat hingga ke seberang paya. Tanpa diduga, Su menghampiri "Aku" dan menghadiahkan sekuntum bunga Capa Rengat atau bunga melur hutan yang berbau wangi. Kami seolah-olah dibuai perasaan apabila berganding bahu menyiapkan rumah katak dalam kota buatan.

Tiba-tiba, ketika "Aku" dan Su asyik membina jalan menuju pintu masuk kota buatan, seorang budak lelaki berumur lapan tahun menjerit nama Su. Su terpaksa pulang ke rumah dengan segera. "Aku" mengenal pasti Su mempunyai seorang ibu tiri yang bengis daripada kawan-kawan sepermainan. Budak yang memanggilnya Su itu ialah adik tirinya.

Pada sebelah malamnya, "Aku" tidur dengan nyenyak. Bunga Capa Rengat diletakkan di dalam botol berisi air. "Aku" ingin merasai kesegaran bau wangi Capa Rengat dalam tidur.

Setelah sehari berada di kampung, ibu memutuskan siri lawatan ke kampung dipendekkan. Pak Cik Kinto dan Mak Cik Kinto meminta ibu memanjangkan tempoh di kampung tetapi ibu mendesak-desak untuk pulang. "Aku" berasa terharu untuk meninggalkan kampung dan kesayuan hatiku makin mendayu-dayu.

Dalam keadaan separuh sedar, "Aku" bertanyakan kepada ibu tentang kesediaannya untuk pulang ke kampung semula. Malangnya ibu melahirkan ketegasan untuk tidak pulang ke kampung lagi kerana urusan tanah dan rumah pusaka selesai. Keputusan ibu membuatkan "Aku" sedih apabila "Aku" terpandang bunga Capa Rengat yang sudah layu dan terkenangkan wajah Su.

Tema:

Perasaan cinta pada kehidupan dan suasana di kampung. "Aku" telah mengalami pengalaman yang menarik hidup di kampung. Contohnya, semasa "Aku" mengikut Pak Cik Kinto menembak burung dan menyedut udara pergunungan yang segar.

Persoalan:
  1. Persoalan perasaan cinta sesama manusia melangkaui budaya. Contohnya, "Aku" yang berasal dari bandar menyukai Su yang tinggal di kampung yang jauh dari arus pembangunan.

  2. Persoalan kemesraan membuahkan kualiti persahabatan. Contonya, Kemesraan yang ditunjukkan oleh Su kepada "Aku" menyebabkan "Aku" amat suka tinggal di kampung hingga sukar untuk melupakan kampung walaupun pada asalnya "Aku" amat tidak selesa berada di kampung.

  3. Persoalan menghargai keaslian alam sebagai anugerah Tuhan. Contohnya, Dapat dilihat pada watak "Aku" yang menghargai dan menjaga Capa Rengat yang diberikan oleh Su.

  4. Persoalan mengenang kembali tempat asal usul. Contohnya, Su seronok mandi sungai dan bermain 'kota Buatan' tempat asal ibunya.

Plot:

1. Permulaan

"Aku" pulang ke kampung bersama-sama dengan ibunya untuk menguruskan tanah pusaka dan rumah pusaka. Mereka berdua tinggal di rumah Pak Cik Kinto, bapa saudara "Aku". Pada waktu pagi, Pak Cik Kinto melayani "Aku" dengan membawanya berjalan-jalan di bukit sekeliling kampung.

2. Perkembangan

Pada sebelah petang, "Aku" merayau-rayau di sekeliling kampung kerana Pak Cik Kinto ke kota untuk berurusan dengan peguam. "Aku" betemu dengan sekumpulan budak kampung yang sedang bermain di tepi paya. Salah seorang budak perempuan kampung yang bernama Su mengajak "Aku" bermain bersama-sama dengan mereka. Ketika bermain, Su telah memberikan "Aku" sekuntum bunga Capa Rengat ( melur hutan ). Kerana leka bermain, Su dipanggil pulang oleh adik lelaki tirinya pulang ke rumah. "Aku" pulang ke rumah dan meletakkan bunga Capa Rengat dalam botol berisi air.

3. Klimaks

Keesokan paginya, "Aku" dikejutkan dengan keputusan ibu untuk pulang ke kota. "Aku" berasa sedih dengan keputusan ibu kerana baru hendak merasai kenikmatan suasana kampung.

4. Peleraian

"Aku" pulang ke kota dengan kenangan yang indah hasil pemberian bunga Capa Rengat daripada Su, seorang gadis kampung.

Teknik Penceritaan:

Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.

1. Pemerian

Contoh: Kami menyedut udara pergunungan yang segar. Kami melihat burung-burung berterbangan. Di samping itu, Pak Cik Kinto tidak pernah lupa membawa senapang patah, kalau-kalau bertemu denak.

2. DialogContoh:

Contoh: "Cantik. ya!" kata budak perempuan itu.

"Cantik," jaeabku pendek sambil merenung matanya yang jernih ghairah itu.

3. Kejutan

Contoh: Adik tiri Su muncul dan memanggil Su pulang semasa "Aku" sedang bermain dengan Su dan kawan-kawannya.


Watak dan Perwatakan

1. "Aku"

  • seorang anak remaja

  • menghargai alam sekitar

  • proaktif dan cergas

  • mempunyai pandangan bernas

  • berfikiran positif

2. Ibu

  • pertengahan usia

  • tegas dengan pendirian

  • sikap terburu-buru membuat keputusan

  • prihatin terhadap orang lain

  • berperilaku mesra

3. Su

  • budak perempuan awal remaja

  • bersikap periang

  • aktif dan cergas

  • bijak mengolah keadaan

  • taat kepada ibu

4. Pak Cik Kinto

  • bapa saudara "Aku"

  • mahir selok-belok di kampung

  • mempunyai kemahiran menembak

  • ikhlas melayani tetamu

  • melaksanakan urusan dengan cekap

Latar:

Masa

  1. Pagi: - "Aku" dan ibu bertolak pulang ke bandar setelah seharian berada di kampung.

  2. Petang: - "Aku" dibawa oleh Pak Cik Kinto ke bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.

  3. Malam: - "Aku" tidur dengan nyenyak kerana terlalu letih setelah seharian bermain dengan budak-budak kampung.

Tempat

Latar tempat cerita berkisar di sebuah perkampungan Melayu yang berlatar belakang bukit-bukau dan tanah paya

  1. Bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto - tempat Pak Cik Kinto membawa "Aku" bersiar-siar untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.

  2. Paya - tempat kanak-kanak kampung berenang dan bermain di tepinya.

  3. Rumah Pak Cik Kinto - tempat "Aku" dan ibi bermalam ketika pulang ke kampung.

Masyarakat

  1. Masyarakat bandar. Contoh: Diwakili oleh watak "Aku" yang berasal dan dibesarkan di bandar begitu kekok waktu mula-mula sampai di kampung.

  2. Masyarakat kampung. Contoh: Pak Cik Kinto yang sering ke hutan untuk berburu.

  3. Masyarakat yang berpegang teguh pada ajaran Islam. Contoh: Ibu membetulkan tudungnya yang ditiup angin supaya melindungi rambutnya kerana untuk menutupi aurat.

  4. Masyarakat yang menghargai alam sekitar. Contoh: Su sangat mengenali alam kampungnya dan menyukainya serta menghadiahi "Aku" bunga Capa Rengat.

  5. Masyarakat yang suka berburu. Contoh: Pak Cik Kinto sering berburu di hutan.

Gaya Bahasa:

  1. Kata ganda. Contoh: Tiba-tiba, seolah-olah, bukit-bukit, kadang-kadang, baik-baik
  2. Anafora. Contoh: Mengapa menjadi sayu? Mengapa menjadi kesepian?
  3. Inversi ( Keterbalikan ayat ). Contoh: Demi memandang gunung-gunung dan padang belukarnya yang subur itu, segala rasa kesepian itu hilang. Sepatutnya. Segala rasa kesepian itu hilang apabila memandang gunung-ganang dan padang belukarnya yang subur itu.
  4. Personifakasi. Contoh: Melahirkan sinar cemburu.
  5. Simile. Contoh: Seperti ada sesuatu yang memukul-mukul hatiku.
  6. Simpulan bahasa. Contoh: Seperti belangkas.

Nilai:

  1. Nilai keberanian. Su berani untuk meniti di atas sebatang tiang untuk menyeberang sungai yang dalam .
  2. Nilai hemah tinggi. Su dan rakan-rakan menegur aku dan mengajak aku bermain bersama mereka walaupun baru pertama kali berjumpa.
  3. Nilai kerajinan. Pak Cik Kinto rajin untuk membawa aku berburu bagi mendapatkan rezeki.
  4. Nilai kerjasama. Su dan aku bekerjasama membina rumah katak semasa bermain.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menghargai alam sekitar. Contoh: Pak Cik Kinto dan aku menghargai keindahan alam sekitar semasa pergi berburu di hutan.
  2. Kita hendaklah menghargai persahabatan. Contohnya "Aku" menghargai persahabatan dengan Su dan sanggup menjaga bunga Capa Rengat yang diberi oleh Su kepadanya.
  3. Kita hendaklah menyemaikan kasih sayang antara keluarga. Contoh: "Aku" menyayangi Pak Cik Kinto bapa saudaranya walaupun baru saja mengenalinya.
  4. Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara yang sukar. Contoh: Su, "Aku" dan rakan-rakannya bekerjasama membina rumah katak dan jalan ke rumah katak.

Tuesday, January 11, 2011

Cerpen: Maaf Kupinta

MAAF KUPINTA
( Rejab FI )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Fauzi seorang anak yang kematian ayah tinggal bersama-sama dengan ibu dan ayah tirinya. Ayah tirinya sangat menngongkong kehidupannya. Ayah tirinya tidak membenarkan Fauzi menonton televisyen terutama acara hiburan dan filem-filem. Ayahnya hanya membenarkan Fauzi menonton televisyen untuk rancangan berita ataupun hal ehwal semasa. Bapa tirinya juga mengongkong perjalanan hidupnya. Ayah tirinya juga tidak mengizinkan Fauzi pulang ke rumah terlalu lewat malam dan sering mengambil tahu dengan siapa Fauzi berkawan.

Satu peristiwa telah menimpa hidup Fauzi. Kepala Fauzi berbenjol kerana terjatuh dan terhantuk pada tiang. Fauzi lari menaiki basikal ke rumah neneknya. Dia benci dan marah kepada ayah tirinya. Setelah lama tinggal di rumah neneknya, ayah dan ibunya berbincang untuk menghantar Fauzi ke asrama. Cikgu Zainuddin, Kaunselor sekolah telah membantu bagi membolehkan Fauzi tinggal di asrama.

Semasa di asrama Fauzi sering dilawati oleh ibu dan bapa tirinya. Ibunya sering membawa buah tangan semasa melawat Fauzi. Manakala ayah tirinya memberi wang saku untuk kegunaan di asrama. Semasa di asrama Fauzi telah sedar daripada kesilapannya dan berubah sikap. Hal ini demikian kerana dia sentiasa dinasihati oleh rakan karibnya Syahir dan juga ustaznya.

Pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti hujung tahun, Fauzi tidak sabar untuk pulang ke kampung menemui keluarganya. Selepas makan malam di kampung, Fauzi mengambil kesempatan memohon kemaafan daripada ayah tirinya atas segala kesalahan dan salah faham terhadap ayah tirinya. Ibunya berasa bangga dengan perubahan sikap Fauzi. Fauzi mula menolong ayah tirinya di sawah dan di laut. Dia juga turut menunjuk ajar adiknya dalan pelajaran.

Tema:


Menghargai pengorbanan orang lain demi kecemerlangan masa depan. Fauzi akhirnya menghargai apa yang dibuat oleh ayah tirinya untuk kejayaannya walaupun pada mulanya dia memberontak.


Persoalan:

  1. Persoalan persahabatan: Contohnya, Syahir dan Fauzi amat akrab bersahabat ketika di Asrama A. Mereka sering pulang ke kampung bersama-sama.

  2. Persoalan kasih sayang ayah tiri terhadap anak: Contohnya, Ayah tiri Fauzi amat menyayangi Fauzi dan sanggup melawat Fauzi di asrama. Dia juga bersikap tegas dalam mendidik Fauzi.

  3. Persoalan ketegasan semasa mendidik: Contohnya, Ayah tiri Fauzi melarang Fauzi menonton cerita-cerita yang tidak berfaedah. Dia juga melarang Fauzi keluar malam dan mengambil tahu dengan siapa anaknya berkawan.

Plot:

Permulaan

Pengarang memulakan cerita di sebuah asrama dengan watak utamanya Fauzi tidak sabar untuk pulang ke kampung menemui adik-adik, ibu dan bapa tirinya. Fauzi tidak dapat melelapkan matanya kerana ingin mengisi cuti sekolah dengan rancangan yang telah diaturnya. Syahir kawan Fauzi menegur Fauzi kerana masih belum tidur walaupun hari telah lewat malam. Rakan-rakannya di Asrama A telah berdengkor. Dia teringat punca dia tinggal di asrama sekolah. Bukan kerana pencapaiannya dan kemiskinannya tetapi ada sebab lain mengapa dia tinggal di asrama.

Perkembangan

Fauzi teringat punca mengapa dia tinggal di Asrama A. Dia terdengar ayah tirinya berbual dengan ibunya untuk menghantarnya ke asrama. Ayah tirinya amat tegas dalam mendidik Fauzi. Fauzi tidak dibenarkan balik lewat malam dan juga tidak dibenarkan menonton rancangan yang tidak berfaedah. Saban hari ayah tirinya akan bertanya kerja rumah yang diberikan oleh guru kepada Fauzi sebaik sahaja pulang dari sawah. Suatu ketika Fauzi terjatuh dan kepalanya benjol menyebabkan dia lari ke rumah neneknya yang berada empat kilometer dari rumahnya. Ibunya juga menegur bapa tirinya kerana kasar dalam mendidik Fauzi.

Klimaks

Selepas makan malam, Fauzi memohon maaf daripada ayah tirinya akan sikapnya selama ini. Fauzi sedar akan tujuan ayah tirinya bersikap tegas kepadanya selama ini. Ayah tirinya cuba menyelamatkan Fauzi daripada terlanggar tiang dan kepalanya terhantuk menyebabkan kepalanya benjol. Malam itu Fauzi gembira kerana hajatnya untuk meluahkan perasaannya kepada keluarganya tercapai.

Peleraian

Fauzi memenuhi cuti sekolahnya dengan membantu keluarganya di sawah. Dia juga akan turun ke laut mengikut ayah tirinya. Di samping itu, Fauzi menolong adik-adiknya dalam pelajaran. Kini Fauzi mempunyai semangat untuk memajukan keluarganya.

Teknik Penceritaan

  1. Monolog dalaman: Contohnya, "Benar kata-kata Syahir itu?" Fauzi berkata-kata sendirian.
  2. Dialog: Contoh, "Emak kamu tahukah kamu di sini?" Nenek Sapiah melepaskan keluhan kesal.
  3. Imbas kembali: Contohnya, Di asrama Fauzi terkenangkan kehidupannya di kampung.
  4. Imbas muka: Contohnya, Fauzi membayangkan perkara yang akan dilakukannya apabila pulang bercuti.
  5. Pemerian: Contohnya, Cahaya bulan tertumpah ke permukaan sawah. Daun padi kelihatan terliuk-liuk dibelai mesra oleh angin malam. Indah sungguh pemandangan malam itu.

Watak dan Perwatakan:

Fauzi

  • tinggal di Asrama A
  • mempunyai seorang ibu dan seorang ayah tiri
  • mempunyai seorang sahabat yang bernama Syahir
  • ayahnya meninggal dunia akibat penyakit barah
  • mempunyai seorang nenek bernama Sapiah
  • memendam rasa tidak puas hati terhadap ayah tirinya
  • pelajar yang aktif dalam kegiatan sukan
  • pintar dalam pelajaran
  • terharu apabila bersalaman dengan ayah tirinya semasa di asrama

Ayah Tiri

  • ayah tiri Fauzi dan sangat menyayanginya
  • memberi wang saku kepada Fauzi ketika melawat Fauzi di asrama
  • baik kepada anak tirinya
  • tegas dalam mendidik anak
  • sering memberikan wang saku kepada Fauzi

Ibu

  • suka mengawal pergerakan anaknya
  • kadang-kadang tidak bersetuju cara ayah tiri mendidik Fauzi
  • selalu membawa buah tangan seperti kuih semasa melawat Fauzi di asrama.

Latar:

Masa

  1. Waktu malam. Contohnya, ketika di Asrama A Fauzi dan Syahir berbual sebelum tidur.
  2. Waktu pagi. Contohnya, Fauzi bangun dan bersiap-siap untuk balik ke kampung.
  3. Cuti sekolah akhir tahun. Contohnya, Fauzi pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti.
  4. Lima minggu. Contohnya, jarak masa Fauzi bercuti akhir tahun.

Tempat

  1. Rumah. Contohnya, Fauzi menonton televisyen.
  2. Asrama A. Contohnya, Fauzi tinggal di Asrama A.
  3. Rumah Nenek Sapiah. Contohnya, Fauzi lari ke rumah neneknya ketika menghadapi masalah dengan keluarganya.
  4. Stesen bas. Contohnya, Fauzi dan Syahir menunggu bas untuk pulang ke kampung.
  5. Sekolah. Contohnya, Ayah tiri dan ibunya datang ke asrama untuk melawat Fauzi.

Masyarakat

  1. Masyarakat pelajar. Contohnya Fauzi dan Syahir merupakan pelajar sebuah sekolah menengah dan tinggal di Asrama A.
  2. Masyarakat petani. Contohnya, Ayah tiri Fauzi merupakan seorang petani yang mengerjakan sawah.
  3. Masyarakat pendidik. Contohnya, Cikgu Zainuddin merupakan seorang guru kaunseling yang menguruskan kemasukan Fauzi ke asrama.
  4. Masyarakat yang bersifat prihatin. Contohnya, Ayah tiri Fauzi sangat prihatin terhadap pelajaran Fauzi dan selalu bertanya dengan siapa dia berkawan.
  5. Masyarakat yang mementingkan pelajaran. Contohnya, Ayah tiri Fauzi selalu bertanya tentang kerja sekolah yang diberikan oleh guru kepada Fauzi.

Gaya Bahasa

  1. Kata ganda. Contohnya, berbalam-balam. buku-buku, kegiatan-kegiatan, kawan-kawan, kerja-kerja.
  2. Sinkope. Contohnya, Ayahku tidak seperti ayahmu.
  3. Hiperbola. Contohnya, Daun padi kelihatan terliuk-liuk dibelai mesra oleh angin malam.
  4. Peribahasa. Contohnya, Buah tangan.

Nilai

  • Nilai berdikari. Contohnya, Fauzi berdikari sendirian ketika tinggal di asrama A.
  • Nilai kerajinan. Contohnya, Ayah tiri Fauzi rajin ke sawah dan ke laut untuk mencari rezeki untuk keluarganya. Ayahnya juga rajin melawat Fauzi di asrama.
  • Nilai kasih sayang. Contohnya, Ayah tirinya sangat sayang kepada Fauzi dan sanggup menghulurkan wang saku setiap kali melawat Fauzi.
  • Nilai kesyukuran. Contohnya, Fauzi bersyukur kerana dia sedar daripada kesilapannya yang bersikap buruk sangka terhadap ayah tirinya.
  • Nilai hormat-menghormati. Contohnya, Fauzi sangat menghormati ayah tirinya.

Pengajaran

  • Kita hendaklah taat kepada kedua-dua orang tua kita. Contohnya, Fauzi taat kepada ayah tirinya walaupun ayah tirinya bersikap tegas terhadapnya.
  • Kita perlu berbincang dalam membuat satu keputusan penting. Contohnya, Ayah tiri dan ibu Fauzi telah berbincang sebelum menghantar Fauzi ke asrama.
  • Kita hendaklah mengasihi ibu dan ayah kita. Contohnya Fauzi sangat menyayangi ibu dan ayahnya.
  • Kita hendaklah menolong orang ketika berada dalam kesusahan. Contohnya, Cikgu Zainuddin menolong Fauzi untuk mendapat tempat tinggal di asrama.
  • Kita hendaklah meminta maaf apabila elakukan kesalahan. Contohnya, Fauzi memohon maaf daripada ayah tirinya atas kesalahannya.

Saturday, January 8, 2011

Cerpen: Anak Penggunting Rambut

ANAK PENGGUNTING RAMBUT
( Nor Hidayah Asari )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Cerpen "Anak Penggunting Rambut" mengisahkan seorang ayah yang mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Manisah. Manisah merupakan seorang anak yang berambut pendek seperti kanak-kanak lelaki dan mempunyai nama panggilan. Manis. Wajahnya comel dan suka tersenyum walaupun sedang sakit. Ayah berasa Manis lebih baik berambut pendek kerana dia selalu pening dan pitam.
Manis bangga mempunyai ayah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut walaupun ayah sudah berusia enam puluh lima tahun kerana kebanggaan itu, rambut Manis akan digunting oleh ayah sehingga mencecah usia remaja. Ayah Manis terkenal dengan panggilan Mat Gunting di Kampung Batu 25, Bagan Datoh. Apabila ayah diterima menjadi peneroka FELDA, beliau menggambil upah menggunting rambut setelah pulang dari ladang.
Ketika Manis berada di tadika, kawan-kawannya sering mentertawakan pekerjaan ayahnya sebagai penggunting rambut. Namun demikian, ayah akan menceritakan kesusahannya mencari rezeki di kampung dengan melakukan banyak pekerjaan termasuk menggunting rambut meskipun pendapatannya tidak seberapa. Ayah juga menceritakan rezeki sebagai penggunting rambut sudah sebati dengan hidup sejak kali pertama belajar menggunting rambut.
Manis sangat suka berambut pendek. Bagi Manis, rambut pendek telah membawa kemenangan yang bermakna dalam hidupnya ketika berada di tadika. Sejak itu, Manis selesa dengan berambut pendek dan ayah terpaksa menuruti kemahuannya. Kebanyakan orang berpendapat bahawa ayah telah membentuk peribadi Manis berperwatakan lelaki disebabkan rambutnya yang pendek. Namun begitu ayah menyenanginya apatah lagi Manis menghargai titik peluh ayah sebagai tukang gunting. Selepas kematian isterinya, ayah sibuk mengambil alih tugas di dapur dan menjaga anak-anaknya hingga terlupa menggunting rambut Manis.
Ayah akan mengenakan upah menggunting rambut sebanyak lima puluh sen untuk kanak-kanak dan seringgit untuk orang dewasa. Wang upah tersebut diletakkan di dalam bekas kelengkapan gunting rambut dan disangkut pada dinding. Ayah tahu Manis selalu mengambil antara dua puluh sen atau tiga puluh sen wang upah tersebut tetapi tidak memarahinya apabila mengetahui wang tersebut digunakan untuk membeli keropok lekor di kantin. Setelah menyedari wang belanja sekolah Manis tidak mencukupi, ayah telah menambahnya dengan syarat Manis tidak boleh lagi mengambil wang upah gunting tanpa kebenarannya.
Manis akan menunggu ayah pulang dari ladang sambil mengaturkan masa pelanggan yang datang. Apabila ayah pulang dari ladang, biasanya terdapat dua atau tiga orang pelanggan yang menanti kepulangannya. Manis akan membantu tugas-tugas lain seperti menyapu dan mengumpulkan rambut serta menyediakan cangkul untuk menggali lubang bagi menanam rambut-rambut yang digunting.
Di alam sekolah menengah, Manis masih berambut pendek walaupun dicemburi oleh ramai pelajar senior. Pada waktu cuti hujung bulan, Manis akan meminta ayahnya menggunting rambutnya mengikut gaya yang baru. Akhirnya, imej Manis berambut pendek telah menjadi ikutan rakan-rakannya tetapi tidak disenangi oleh warden asramanya.
Apabila meningkat dewasa Manis menyambung pelajarannya ke Kuala Lumpur. Sepanjang pengajiannya di universiti, Manis jarang-jarang pulang ke kampung. Manis cuma menelefon ayahnya dengan memberi pelbagai alasan untuk tidak pulang ke kampung.
Pada suatu hari, ayah mendapat panggilan telefon kecemasan daripada kawan Manis yang menyatakan Manis sakit dan berada di hospital. Manis disahkan mengidap leukemia sama seperti penyakit ibunya. Hati ayah menjadi sebak apabila mengusap helaian dan gumpalan rambut Manis yang gugur daripada kulit kepalanya. Kepala Manis kini sudah separuh botak.
Doktor memberi harapan tipis untuk Manis hidup dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Namun begitu, Allah lebih sayang akan Manis. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaan ayah. Pada akhir kalimat yang diucapkan oleh Manis kepada ayahnya masih terngiang-ngiang di telinga ayahnya betapa sehelai rambut Manis amat bermakna dan Manis tidak mampu menyimpannya lagi.
Tema:
Kasih sayang ayah terhadap anaknya. Ayah yang bekerja sebagai tukang gunting menyayangi anaknya, Manis dengan memenuhi kehendak anaknya untuk bergunting rambut hingga ke akhir hayat anaknya.
Persoalan:
  1. Persoalan berdikari untuk meneruskan kehidupan. Contohnya, Ayah meneruskan kehidupan menjaga Manisah setelah kematian isterinya.
  2. Persoalan prihatin dengan masalah anak. Contohnya, Ayah menambah wang saku anaknya setelah wang saku yang diberi tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian di sekolah.
  3. Persoalan menerima takdir Tuhan dengan tabah dan tenang. Contohnya, Ayah dan anak-anaknya redha menerima kematian Manisah akibat penyakit Leukemia.
  4. Persoalan mementingkan ilmu pengetahuan sebagai penyuluh hidup. Contohnya, Manisah sanggup meninggalkan keluarga di kampung untuk menyambung pelajaran di bandar.

Plot:

Permulaan

Pengarang memulakan cerita dengan memperkenalkan watak ayah sebagai tukang gunting yang dikagumi oleh anak perempuannya, Manis. Pekerjaan ayah sebagai tukang gunting bermula dengan kerja sampingan tetapi akhirnya menjadi tersohor di Bagan Datoh. Manis pula menjadi pelanggan ayahnya dengan gaya guntingan rambut pendek.

Perkembangan

Manis berbangga dengan kerjaya ayahnya, sebagai tukang gunting walaupun ditertawakan oleh kawan-kawannya. Kesetiaan Manis menemani ayahnya waktu bergunting rambut telah dikagumi oleh ayahnya. Manis mempunyai prinsip untuk mempertahankan rambut pendeknya walaupun sudah bersekolah menengah dan ditegur oleh warden asramanya. Setelah melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti, Manis tidak pulang ke kampungnya dan hanya sekadar menelefon ayahnya sahaja.

Klimaks

Manis disahkan mengidap penyakit leukemia oleh doktor. Dia hanya boleh hidup selama beberapa bulan sahaja. Ayah tersentuh hati apabila menerima perkhabaran itu.

Peleraian

Penyakit leukemia Manis bertambah parah. Manis akhirnya meninggal dunia. Ayah menerima suratan takdir Allah dengan mengenang kembali makna sehelai rambut Manis yang gugur akibat penyakit leukemia.

Teknik Penceritaan:

  1. Dialog. Contoh: "Mengapa abah teruskan juga menjadi penggunting rambut bila dah sampai ke sini?"
  2. Imbas kembali. Contoh: Aku masih ingat kali pertama dia ke tadika. Dia menangis.
  3. Monolog dalaman. Contoh: Kau tak rindukan pisau cukur yang pernah tergores di leher jinjangmu. Manis sudah lapan bulan abah tidak menggunting rambutmu.

Watak dan Perwatakan:

(i) Ayah

  • sudah berusia lewat 60-an
  • seorang bapa tunggal
  • rajin bekerja untuk menyara keluarganya
  • tabah menjalani tugasnya sebagai tukang gunting
  • memiliki bakat dan kepandaian menggunting rambut
  • hidup menduda setelah kematian isteri

(ii) Manisah

  • memiliki raut wajah yang comel
  • berpendirian tegas dan sanggup menghadapi risiko
  • berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran
  • rajin membantu orang lain
  • gemar berambut pendek

Latar:

Masa

  1. Petang - Ayah menanam rambut Manis di dalam satu lubang kecil selepas kematian Manis.
  2. Subuh - Waktu Manis meninggal dunia kerana penyakit leukemia.
  3. Waktu Siang - Waktu ayah bekerja di ladang, di kedai gunting rambut, dan Manis pergi ke sekolah.

Tempat

  1. Kampung Batu 25, Bagan Datoh - kampung asal ayah sebelum berpindah ke tanah rancangan FELDA
  2. Tanah rancangan FELDA - tempat ayah merantau untuk mencari penghidupan yang lebih baik.
  3. Tadika - Manis dan kumpulannya mengambil bahagian dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala dan memenangi acara tersebut.
  4. Asrama - Manis tinggal di asrama semasa bersekolah menengah.
  5. Hospital - tempat Manis dirawat kerana penyakit leukemia.

Masyarakat

  1. Masyarakat yang mementingkan sikap berdikari untuk kelangsungan hidup. Contohnya: Ayah yang berdikari mendidik anak-anaknya setelah kematian isterinya.
  2. Masyarakat peneroka FELDA yang dapat mengusahakan kerja sampingan. Contohnya: Ayah di samping menjadi peneroka sanggup menjadi tukang gunting rambut sebagai kerja sambilan.
  3. Masyarakat yang berani mempertahankan risiko. Contohnya: Ayah mempertahankan tindakannya memotong rambut Manisah hingga pendek walaupun dikritik oleh orang kampung.
  4. Masyarakat yang menerima takdir Tuhan dengan tabah. Contohnya: Ayah dan abang menerima takdir kematian Manisah dengan redha.

Gaya Bahasa:

  • Sinkope. Contohnya, Kau degil tetapi cepat menangis.
  • Kata ganda. Contohnya, Sampah-sarap, rakan-rakan, awal-awal.
  • Simile. Contohnya, Seperti Busut Hitam.
  • Personifikasi. Contohnya, Jari-jemari abah ini seperti menari-nari sendiri.

Nilai:

  1. Nilai Keberanian. Contoh: Manisah berani berambut pendek walaupun telah dipanggil dan ditegur oleh guru.
  2. Nilai Berdikari. Contoh: Ayah berdikari dalam mendidik anak-anak selepas kematian isterinya.
  3. Nilai Semangat Bermasyarakat. Contoh: Ayah sanggup meneruskan kerja menggunting rambut kepada peneroka dan anak peneroka walaupun bayarannya rendah.
  4. Nilai Kasih sayang. Contoh: Ayah sangat menyayangi Manisah sejak kecil hingga dewasa.
  5. Nilai Kerajinan. Contoh: Ayah rajin bekerja di ladang dan juga sebagai tukang gunting rambut pada sebelah petangnya. Manisah juga rajin menolong ayahnya membersihkan tempat menggunting rambut.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menerima ketentuan Allah. Contoh: Ayah menerima ketentuan Allah yang mengambil nyawa isterinya dan juga nyawa anaknya Manisah lebih awal.
  2. Kita hendaklah mendidik anak dengan sempurna. Contoh: Ayah mendidik anak-anaknya dengan baik walaupun tanpa isteri yang telah meninggal dunia.
  3. Kita hendaklah bersangka baik terhadap jiran. Contoh: Orang kampung memahami mengapa ayah memotong rambut Manisah hingga pendek.
  4. Kita hendaklah rajin belajar walaupun berjauhan dengan keluarga. Contoh: Manisah rajin belajar sehingga masuk universiti walaupun berjauhan dengan keluarga.

Wednesday, January 5, 2011

Cerpen: Gema Sepi Gadis Genius

GEMA SEPI GADIS GENIUS
( Azmah Nordin )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Basirah merenung berbelas-belas komputer di Makmal Perdana. Namun tiadapun daripadanya berjudul program 'antibusut'. Dalam keadaan fikirannya yang sedang kusut, Basirah terkenang akan kakaknya. Hanani semasa mereka masih kecil lagi, semasa Hanani di tadika sehinggalah Basirah melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer. Banyak perbezaan antara mereka berdua.

Selain itu, Basirah juga teringat akan ayahnya yang sentiasa sibuk. Basirah menjalani praktikal dengan menduduki jawatan timbalan pengurus makmal sistem komputer Makmal Perdana. Seperti kebiasaan, Basirah tercabar dengan masalah 'busut' yang dilonggokkan oleh pengurus makmalnya. Basirah bersemuka dengan teman-temannya para timbalan pengurus. Basirah membentangkan masalah busut. Namun, dia dikritik. Ada ketikanya Basirah berasa sebak tetapi dia tidak akan menganggap kritikan sebagai jemputan untuk bertinju, sebaliknya sebagai satu alternatif.

Oleh itulah, dia telah membuka buku log untuk merekod penceroboh. Basirah terkejut apabila penceroboh menyelongkar segala-galanya yang berkaitan dengan ketenteraan. Oleh itu, Basirah telah membawa masalah tersebut kepada teman sejawatnya. Basirah menganggap penceroboh tersalah sasaran. Saluran penceroboh untuk menembusi saluran internet di Makmal Perdana Kebangsaan Labuan atau MPKL. Di sini berlaku perbezaan pendapat antara Basirah dengan rakanya. Akhirnya Basirah membuat ujikaji dengan menggunakan alat osiloskop bagi menentukan jarak antara makmal dengan penceroboh. Lamunan Basirah terhenti apabilapintu yang terkuak berbunyi. Beberapa orang remaja tersembul di muka pintu makmal. Kakaknya datang membawa kek dan mengucapkan selamat hari jadi. Basirah cukup terharu.

Selepas itu, sekali lagi osiloskop dipasang untuk mengesan gema panggilan dari luar. Ketika mereka sibuk mengesan gema, tiba-tiba penceroboh membuat panggilan di komputer-komputer makmal. Belum sempat dia memberi amaran agar berwaspada terhadap penyelia khususnya, penceroboh sudah lenyap dari skrin komputernya. Hanani yang ada pada ketika itu menyarankan menggunakan umpan untuk menembusi tembok penceroboh. Hanani tersipu malu. Basirah menghubungi pensyarahnya tentang perkembangan terbaru. Selang beberapa minit umpan mengena.

Basirah telah menerima ucapan tahniah atas kejayaan menyekat penceroboh. Akhirnya, Basirah menyaksikan impian untuk masa depan yang tidak pernah diimpikan selama ini menjadi kenyataan yang indah.

Tema:

Kepintaran seorang remaja dalam menangani masalah pengguna jahil ( hacker ) komputer.

Persoalan:
  1. Persoalan kepintaran remaja dalam usia muda boleh menangani masalah penceroboh komputer. Contonya, Basirah dapat menangkap penceroboh yang menyusup sistem di makmal.


  2. Persoalan kebolehpercayaan majikan untuk menerima remaja bekerja dalam bidang berkemahiran tinggi. Contohnya, hari pertama dia dihantar menjalani praktikal oleh pusat pengajian tinggi.

  3. Persoalan kasih sayang antara adik beradik yang berbeza dari segi kepintaran. Contohnya, Hanani dan Basirah berbeza dari segi kepintaran iaitu Basirah mahir dalam bidang komputer manakala Hanani mahir dalam bidang seni dan kesusasteraan.

Plot:


Permulaan


Basirah merenung berbelas-belas komputer di Makmal Perdana. Namun tiada pun daripadanya berjudul program 'antibusut'. Dalam keadaan fikirannya yang sedang kusut, Basirah terkenang akan kakaknya, Hanani semasa mereka masih kecil lagi, semasa Hanani di tadika sehinggalah Basirah melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer. Banyak perbezaan antara mereka berdua. Selain itu, Basirah juga teringat akan ayahnya yang sentiasa sibuk.


Perkembangan


Basirah menjalani praktikal dengan menduduki jawatan timbalan pengurus makmal sistem komputer Makmal Perdana. Seperti kebiasaan, Basirah tercabar dengan masalah 'busut' yang dilonggokkan oleh pengurus makmalnya. Basirah bersemuka dengan teman-temannya, para timbalan pengurus. Basirah membentangkan masalah busut. Namun dia dikritik. Ada ketikanya Basirah berasa sebak tetapi dia tidak akan menganggap kritikan sebagai jemputan untuk bertinju, sebaliknya sebagai satu alternatif. Oleh itu, telah membuka buku log untuk merekod penceroboh.


Klimaks


Basirah terkejut apabila penceroboh menyelongkar segala-galanya yang berkaitan dengan ketenteraan. Oleh itu, Basirah telah membawa masalah tersebut kepada teman sejawatnya. Basirah menganggap penceroboh tersalah sasaran. Sasaran penceroboh untuk menembusi saluran internet di Makmal Perdana Kebangsaan Labuan atau MPKL. Di sini berlaku perbezaan pendapat antara Basirah dengan rakannya. Akhirnya Basirah membuat uji kaji dengan menggunakan alat osiloskop bagi menentukan jarak antara makmal dengan penceroboh. Dengan bantuan pensyarahnya, kakaknya, iaitu Hanani dan rakan-rakan Hanani, mereka berjaya mengesan penceroboh tersebut.


Peleraian

Basirah telah menerima ucapan tahniah atas kejayaan menyekat penceroboh. Akhirnya, Basirah menyaksikan impian untuk masa depan yang tidak pernah diimpikan selama ini menjadi kenyataan yang indah.


Teknik Penceritaan:

  1. Deskriptif (pemerian ). Contohnya, dia teringatkan ayahnya yang datang dan pergi macam angin, meninggalkan mereka di bawah jagaan pembantu rumah (m/s 4).

  2. Monolog dalaman. Baiklah! Bisik hatinya, juga tegas. Dia terfikirkan sesuatu ( m/s 10 ).

  3. Imbas kembali. Contohnya, Seingatnya, sewaktu Hanani baru menjejaki tadika biasa dulu, Basirah sudah pun lulus peperiksaan untuk memasuki sekolah kanak-kanak pintar yang terletak di pinggir bandar meninggalkan mereka di bawah jagaan pembantu rumah (m/s4).

  4. Imbas muka. Contohnya, Hanani terus menghadapi masa hadapan dengan tenang dan tabah ( m/s 17 )

Watak dan Perwatakan

( 1 ) Watak Utama

Basirah

  • Anak kepada seorang ahli perniagaan dan berusia 14 tahun.

  • Anak kedua daripada dua beradik, kakaknya bernama Hanani.

  • Siswi dalam jurusan Sains Komputer.

  • Diterima membuat amali di Makmal Perdana di pusat bandar Kota Kinabalu.

  • Seorang yang pintar.

Watak Sampingan

Hanani

  • Anak sulung kepada ahli perniagaan dan berusia 16 tahun.

  • Kakak kepada Basirah.

  • Seorang yang lincah dan kreatif.

  • Suka mengambil berat akan adiknya.

  • Mempunyai ramai kawan.

  • Seorang yang suka kegiataan rekreasi.

Latar:

Latar Masa

(i) Siang - Basirah menjalani latihan amali di makmal sistem komputer di Makmal Perdana

(ii) Malam - Hanani berbual-bual dengan Basirah di rumah

(iii) Hari Minggu - Basirah terpaksa menyelesaikan kerjanya yang banyak di makmal sistem komputer, Makmal Perdana.

Latar Tempat

(i) Makmal sistem komputer di Makmal Perdana - tempat Basirah menjalani latihan amali tahun akhir jurusan Sains Komputer.

(ii) Pusat bandar Kota Kinabalu - tempat letaknya Makmal Perdana.

(iii) Sekolah kanak-kanak pintar - tempat Basirah belajar semasa zaman kanak-kanak.

(iv) Institusi pengajian tinggi di Semenanjung - tempat Basirah belajar sebagai siswi jurusan Sains Komputer.

Latar Masyarakat:

(i) Masyarakat yang celik komputer - Basirah, pekerja di makmal sistem komputer, Makmal Perdana, dan rakan-rakan Hanani mahir menggunakan komputer.

(ii) Masyarakat terpelajar - Basirah merupakan siswi tahun akhir jurusan Sains Komputer di sebuah institusi pengajian tinggi.

(iii) Masyarakat remaja yang gemar akan aktiviti rekreasi seperti berdiskusi sastera di pantai, berkayak, dan mendaki gunung.

Gaya Bahasa:

(i) Metafora:

Contohnya, meniti buih di jeram ( m/s 3 ), mata fikir ( m/s 2 )

(ii) Diksi:

Bahasa Inggeris - hyperintelligent ( m/s 2 ), the exteminator ( m/s 8 )

Bahasa IT - Sofware (m/s 1 ), user ( m/s 1 ), hacker ( m/s 2 )

Istilah Sains - Osiloskop ( m/s 11 )

(iii) Hiperbola:

Contohnya, Menggunung secara halimunan juga ( m/s 9 )

(iv) Sinkope:

Contohnya, Dah ( sudah ), Kak ( kakak )

(v) Simile:

Contohnya, Dipuji macam bidadari

Contohnya, Diraikan macam puteri

(vi) Perlambangan

Contohnya, Busut

Nilai:

  1. Nilai kasih sayang. Contohnya, kakaknya menatang sebuah kek yang comel ke dalam makmal sempena hari jadi Basirah yang ke 14.
  2. Nilai berusaha. Contohnya, Basirah telah berusaha menyekat penceroboh komputer sehingga telah berjaya.
  3. Nilai tanggungjawab. Contohnya, Basirah bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan kepadanya.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah mempunyai perasaan kasih sayang antara adik beradik walaupun mempunyai tahap kepintaran yang tidak sama.
  2. Kita hendaklah berusaha sedaya upaya apabila melakukan sesuatu pekerjaan.
  3. Kita hendaklah bertanggungjawab atas apa yang diberikan kepada kita.


Tuesday, January 4, 2011

Prosa Tradisional: Hikayat Langlang Buana

Prosa Tradisional
( Hikayat Langlang Buana )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:
Kisah bermula apabila Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi bersama-sama dayang inang pengasuhnya pergi ke taman untuk bersiram. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi tidak mengetahui bahawa semasa dia bersiram, dia telah diperhatikan oleh Raja Indera Mumaya yang bersembunyi di balik pokok kemunting. Raja Indera Bumaya telah bertukar menjadi seekor burung bayan yang cantik lalu hinggap di dahan pokok kemunting dan mengeluarkan bunyi yang sangat merdu. Bunyian tersebut telah menarik perhatian Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Tuan Puteri telah mengarahkan dayang untuk menangkap burung bayan tersebut tetapi tidak berjaya. Apabila kesemua dayang gagal menangkap burung bayan itu, dayang mencadangkan Tuan Puteri menangkap burung bayan itu sendiri. Tiba-tiba burung bayan terbang dan hinggap pada lengan Tuan Puteri. Tuan Puteri bertanya tentang asal usul bayan. Bayan menceritakan dia berasal dari Negeri Lela Gambar dan mempunyai tuan yang bernama Raja Indera Bumaya. Bayan bercerita tentang kehebatan tuannya yang menyebabkan Tuan Puteri ingin sekali bertemu dengan tuannya itu. Bayan akhirnya menukarkan dirinya menjadi Raja Indera Bumaya dan akhirnya mereka saling berkasihan. Berita tentang adanya suara lelaki di istana Tuan Puteri telah menyebabkan ayahanda Tuan Puteri iaitu Raja Bahrum Dewa menjadi murka. Baginda telah mengarahkan 40 orang hulubalang dan rakyat untuk menangkap Raja Indera Bumaya. Perintah tersebut telah menyebabkan Tuan Puteri berasa sedih dan bimbang akan keselamatan Raja Indera Bumaya. Namun Raja Indera Bumaya berjaya menewaskan serangan angkatan Raja Bahrum Dewa dengan 4 orang hulubalang yang dijelmakan daripada batu geliga. Raja Bahrum Dewa sangat murka dengan kekalahan tersebut lalu mengarahkan pula seluruh rakyat menangkap Raja Indera Bumaya sekali lagi. Kali ini Raja Indera Bumaya dibantu oleh empat ribu jin. Pertempuran tersebut menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang dahsyat.
Tema:
Percintaan anak raja.
Raja Indera Bumaya sanggup menukarkan dirinya menjadi bayan semata-mata untuk menarik perhatian Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi tidak sanggup kehilangan Raja Indera Bumaya.
Persoalan:
  1. Persoalan keberanian menghadapi cabaran. Contohnya Raja Indera Bumaya tidak gentar untuk menentang hulubalang Raja Bahrum Dewa.
  2. Persoalan kebijaksanaan mencari peluang. Contohnya Raja Indera Bumaya menjelma diri menjadi seekor burung bayan agar dapat menghampiri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.

Watak dan Perwatakan:

1. Raja Indera Bumaya.

  • Anak raja dari Negeri Lela Gambar
  • Bijaksana. Contohnya, Raja Indera Bumaya menjelmakan diri sebagai burung bayan agar dia dapat memerhatikan gerak geri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
  • Berani. Contonya, Raja Indera Bumaya berani duduk bersama-sama Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dalam istananya memadu kasih
  • Mempunyi kuasa sakti ( bertukar menjadi seekor burung bayan yang cantik ) matanya daripada intan, bulunya daripada pusparagam dan kakinya daripada emas.
  • Gagah perkasa. Raja Indera Bumaya tidak dapat ditangkap oleh hulubalang yang mengepungnya.
  • Baik budi bahasa. Dia memuji-muji keelokan paras rupa Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.

Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi

  • Puteri Raja Bahrum Dewa.
  • Periang. Contohnya, Tuan Puteri suka bergurau senda.
  • Seorang yang cantik. Contohnya Raja Indera Bumaya terpesona dengan kecantikan Tuan Puteri ketika berbedak dan berlangir.
  • Suka akan binatang. Contohnya, Tuan Puteri terlalu sukacita apabila mendapat burung bayan.
  • Sangat mencintai kekasihnya. Contohnya, Tuan Puteri tidak sanggup hidup lagi jika Raja Indera Bumaya mati.

Raja Bahrum Dewa

  • Seorang raja yang tegas. Contohnya baginda tidak suka lelaki luar berada bersama-sama puterinya.
  • Pemarah. Contohnya, baginda mengarahkan hulubalang mengepung Raja Indera Bumaya yang memadu kasih dengan anakandanya sehingga mencetuskan kemarahannya.
  • Mengambil berat akan anakandanya. Contohnya, baginda menganggap perbuatan Tuan Puteri Ratna Dewi yang memadu kasih dengan Raja Indera Bumaya sebagai celaka dan memalukan baginda.

Latar

Latar Masa:

(i) Waktu malam.

  • Tuan Puteri bergurau senda dengan dayang-dayang inang pengasuhnya.
  • Bayan dikeluarkan dari sangkar emas.

(ii) Waktu pagi.

  • Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi berbedak dan berlangir.

Latar Tempat:

  • Kolam tempat Tuan Puteri mandi.
  • Mahligai tempat didengar suara Tuan Puteri bersama suara lelaki.
  • Luar kota. Raja-raja dan hulubalang mengepung Raja Indera Bumaya.

Latar Masyarakat:

  • Masyarakat feudal. Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
  • Masyarakat saling mengasihi. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi amat mengasihi Raja Indera Bumaya dan begitulah sebaliknya.
  • Masyarakat yang tidak bertolak ansur. Raja Bahrum Dewa amat marah kepada Raja Indera Bumaya yang berkasih-kasihan dengan puterinya.

Nilai:

  1. Nilai Keberanian. Raja Indera Bumaya berani menghadapi serangan daripada Raja Bahrum Dewa.
  2. Nilai kasih sayang. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi amat menyayangi Raja Indera Bumaya sehingga sanggup mati bersama-sama.
  3. Nilai kerjasama. Rakyat bersama dengan hulubalang menyerang Raja Indera Bumaya.
  4. Nilai kebijaksanaan. Raja Indera menukarkan diri menjadi bayan untuk memikat hati Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
  5. Nilai ketaatan. Jin-jin mematuhi arahan Raja Indera Bumaya berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa.

Pengajaran:

  • Kita hendaklah berani menghadapi apa-apa rintangan. Contohnya, Raja Indera Bumaya sanggup melakukan apa sahaja demi mendekati Tuan Puteri.
  • Kita hendaklah mematuhi arahan ketua. Contohnya, empat ribu jin telah berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa setelah diarahkan Raja Indera Bumaya.
  • Kita hendaklah menggunakan akal dengan bijaksana. Contohnya, Raja Indera Bumaya menjelma sebagai burung agar dapat memerhatikan gerak geri Tuan Puteri.

Prosa Tradisional: Hikayat Dua Geliga Hikmat

Prosa Tradisional
( Hikayat Dua Geliga Hikmat )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Mengisahkan seorang anak raja bernama Inderaputera yang mengembara sehingga berjumpa dengan Tasik Semendera Jin yang amat besar. Pasir di sekeliling tasik daripada emas urai dan batunya daripada permata yang sangat indah. Inderaputera berasa amat takjub. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati sedangkan tiada manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksaksa di tasik itu namun Inderaputera tidak berasa gentar. Kemudian keluarlah raksaksa dari tasik. Inderaputera pura-pura tidur. Apabila raksaksa ingin menindih Inderaputera, Inderaputera bingkas bangun dan mencengkam rambut raksaksa. Raksaksa merayu agar Inderaputera melepaskannya dan sanggup memenuhi permintaan Inderaputera. Raksaksa telah memberikan batu geliga Mayan Bedi kepada Inderaputera. Batu geliga itu boleh digunakan untuk menghasilkan angin, ombak, kilat atau petir dengan cara menyeru nama raksaksa itu. Inderaputera telah melepaskan rambut raksaksa. Inderaputera menyatakan bahawa dia ingin pergi ke Berma Sakti. Raksaksa memberitahu di situ tempat seorang puteri yang cantik iaitu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran dan dayang-dayangnya datang bersiram. Raksaksa berpesan agar Inderaputera menyorokkan baju tuan puteri semasatuan puteri mandi. Inderaputera melakukan perkara yang disuruh oleh raksaksa. Tuan puteri merayu agar Inderaputera memulangkan bajunya. Inderaputera meminta tuan puteri bersumpah sebelum dia memulangkan baju tersebut. Inderaputera meminta tuan puteri memberikan gemala hikmat yang ada di mahligai tuan puteri. Tuan puteri berjanji akan menyerahkannya dan meminta Inderaputera datang ke mahligainya. Istana tuan puteri dikawal rapi oleh seekor harimau, seekor badak, seekor naga, seekor geroda dan raksaksa yang terlalu hebat. Inderaputera berjaya mengatasi semua halangan itu dan berjaya sampai ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Seperti yang dijanjikan, tuan puteri telah memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Tema:

  • Pengembaraan seorang anak raja
Inderaputera sanggup menghadapi segala rintangan untuk sampai ke Berma Sakti bagi mendapatkan batu gemala hikmat.


Persoalan:
  1. Persoalan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu hasrat. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan Tuan Puteri.

  2. Persoalan keberanian menghadapi musuh. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.

  3. Persoalan berpegang kepada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak dan Perwatakan:

Watak Utama:

Inderaputera

  • Ayahandanya Maharaja Bikrama Puspa

  • Bondanya Puteri Jamjam Ratna Dewi

  • Paras rupa yang menarik

  • Bijaksana. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan tuan puteri.

  • Berani. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.

  • Berpegang pada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak Sampingan:

Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran

  • Ayahandanya Maharaja Syah Tokan

  • Tunangan Raja Mengerna Lela Dewa

  • Rupa paras yang amat cantik

  • Berpegang pada janji. Tuan Puteri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera sebagaimana yang dijanjikan.

Latar:

Latar Tempat:

(i) Tasik - tempat peri tinggal.

(ii) Mahligai - tempat tinggal Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran

(iii) Balai Rangga Puspa Berahi - tempat yang disediakan oleh Tuan Puteri kepada Inderaputra


Latar Masa:

(i) Waktu fajar - Tuan Puteri datang ke tepi tasik untuk kali ke tujuh

(ii) Waktu malam - Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran mengenakan baju antakesuma dan pakaian yang sangat cantik

(iii) Tengah malam - Inderaputera duduk bersembunyi di tepi tasik menunggu kedatangan Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran


Latar Masyarakat:

(i) Masyarakat feudal - Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja

(ii) Masyarakat yang menepati janji. Peri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikannya jika Inderaputera melepaskannya


Nilai:

  1. Nilai keberanian. Contohnya, Inderaputera berani menghadapi raksaksa walaupun telah diberi amaran oleh mayat.

  2. Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Inderaputera berpura-pura tidur semasa raksaksa keluar dari tasik dan mengambil peluang mencengkam rambut raksaksa semasa raksaksa ingin menindihnya.

  3. Nilai menempati janji. Contohnya, Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menepati janji dengan memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah berani dalam menghadapi situasi yang mencabar. Inderaputera tidak gentar menghadapi peri sehingga dapat menangkap peri tersebut.

  2. Kita hendaklah menggunakan akal dalam apa-apa situasi. Inderaputera mencuri baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dapat bertemu Tuan Puteri.

  3. Kita hendaklah berpegang pada janji. Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikan.

Monday, January 3, 2011

SELAMAT TAHUN BAHARU 2011 M

Selamat Kembali ke Sekolah
Tirai 2010 sudah pun berlabuh. Tahun penuh warna warni sudah pun ditinggalkan. Tentunya setiap tibanya tahun baharu, ramai antara kita membina azam baharu. Apakah azam anda? Jawapan kepada soalan ini adalah lumrah. Jawapannya juga adalah pelbagai dan ada dalam hati hati masing-masing. Pastinya, mereka yang berminda positif cuba melakukan muhasabah, meneropong kelemahan diri masing-masing. Mana-mana individu atau organisasi yang berjaya tidak seharusnya menjadikan kita leka kerana kehidupan ini merupakan proses yang berterusan. Jatuh bangun perkara biasa dan tidak seharusnya dibiarkan menghalang kita untuk melalui takat-takat yang lebih tinggi dengan semangat jitu. Yang pastinya kita mesti memiliki azam kerana membina azam adalah normal dan amat sukar sekali kita ditemukan dengan orang yang tiada azam dan harapan ketika menyambut tahun baharu.

Saturday, January 1, 2011