Friday, December 3, 2010

Sunday, October 31, 2010

FENOMENA BOLA SEPAK

Syabas dan tahniah kepada wira-wira bola sepak Kelantan yang telah berjaya membawa pulang Piala Malaysia yang sangat berprestij. Semuanya kerana usaha gigih tanpa mengenal penat lelah. Kerjasama semua pihak daripada pihak pengurus, jurulatih, pemain, penyokong dan dukungan kerajaan negeri telah membuahkan hasil yang cukup manis. Kini piala kebangaan rakyat Malaysia telah mampu dibawa ke Kota Bharu sebagai hadiah bagi Tuanku Sultan Muhammad Ke V



Saat-saat yang mencemaskan




Saat-saat yang memulihkan semangat "Red Warrior" dan penyokong



Saat-saat yang cukup gembira dan bersyukur kepada Allah yang menyelamatkan maruah pasukan "Red Warrior" dan rakyat Kelantan.




Friday, October 29, 2010

Ke Mana Hala Tuju Anda Selepas SPM/STPM?

SELEPAS Menduduki peperiksaan SPM, persoalan yang perlu difikirkan ialah hala tuju yang seterusnya, sama ada mahu bekerja atau melanjutkan pelajaran. Perkara itu perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya sebelum membuat keputusan. Keputusan itu sangat penting dalam menentukan cerah gelapnya masa hadapan kita. Tersilap pertimbangan padahnya akan ditanggung seumur hidup.


Bagi yang selesai menduduki SPM anda masih muda! Jangan terlalu ghairah mengejar wang melalui kerja sambilan yang belum tentu dapat menjami masa hadapan yang cerah. Memang ada ungkapan yang menyebut bahawa tidak semestinya kita tidak dapat menjadi kaya tanpa pendidikan tinggi. Memang benar, tetapi kita harus sedar bahawa sekurang-kurangnya ilmu dapat membantu kita memperbaik taraf dan kualiti hidup pada masa hadapan.



Program Matrikulasi


Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, anda mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi. Program matrikulasi merupakan program persediaan khusus untuk pelajar antara satu hingga dua tahun sebelum melanjutkan pelajaran dalam kursus tertentu di peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang.


Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, mengelolakan sembilan buah kolej matrikulasi dan dua buah kolej MARA, iaitu Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kolej Matrikulasi Perlis, Kolej Matrikulasi Labuan, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Matrikulasi Perak, Kolej Matrikulasi Kedah, Kolej Matrikulasi Melaka, Kolej Matrikulasi Pahang, Kolej Matrikulasi ( MARA ) Kuala Nerang dan Kolej Matrikulasi ( MARA ) Kulim.


Antara program yang ditawarkan termasuklah perakaunan, ekonomi, pengurusan perniagaan, teknologi maklumat, pengurusan sumber manusia dan bidang lain yang ditawarkan oleh universiti awam di seluruh negara. Kolej matrikulasi turut menawarkan pengkhususan dalam bidang kimia, fizik dan biologi.


Maklumat lanjut tentang kelayakan, cara memohon, cara mendapatkan borang permohonan, tarikhi tutup permohonan, yuran kursus, proses pemilihan calon, keputusan permohonan dan tarikh pendaftaran dapat diperoleh melalui http://www.moe.gov.my/



Program Pengajian Asasi



Program pengajian asasi merupakan satu lagi peluang pendidikan yang dapat diteroka oleh pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM. Seperti program matrikulasi, program tersebut dijalankan antara satu hingga dua tahun sebagai persediaan melanjutkan pengajian peringkat diploma atau ijazah pertama dalam bidang tertentu di universiti tempatan atau luar negara.


Antara institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan program pengajian asasi termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Di UM, misalnya terdapat Program Asasi Sains, Program Asasi Alam Binaan dan Rancangan Persediaan Bahasa Jepun. Maklumat lengkap tentang program asasi yang ditawarkan oleh UM dapat diperoleh melalui http://asasi.um.edu.myshow.php/?ke=Brochure.


Yang berminat dalam dunia pertahanan pula dapat mengikuti Program Pengajian Asasi Pertahanan yang ditawarkan di UPNM. Antara program yang ditawarkan termasuklah Asasi Kejuruteraan Pertahanan, Asasi Sains dan Teknologi Pertahanan dan Asasi Pengurusan Pertahanan. Maklumat lanjut tentang syarat dan kemasukan dapat diperoleh melalui http://www.upnm.edu.my/media/v3/index.php?option=com_content&task=view&id=22&Itemid=42.


Program A-Level


Program A-Level disediakan oleh MARA khusus untuk pelajar bumiputera yang cemerlang SPM dalam akademik dan kokurikulum sebagai usaha meningkatkan bilangan profesional bumiputera dalam sains dan teknologi. MARA menyediakan biasiswa untuk calon yang terpilih mengikuti program persediaan yang disediakan di kolej tajaan MARA antara satu hingga dua tahun. Sekiranya lulus dengan cemerlang, pelajar itu akan ditaja untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah pertama di universiti terkemuka di luar negara. Program tersebut hanya akan diiklankan dalam akhbar tempatan, biasanya sebulan sebelum keputusan peperiksaan SPM diumumkan.


Program Diploma Kejururawatan


Lepasan SPM atau SPM (V) yang berminat menjadi jururawat dapat melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut melalui program Diploma Kejururawatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, institusi pengajian tinggi awam tertentu atau pihak swasta. Kelayakan akademik minimum yang diperlukan ialah lulus SPM/SPM(V)/STPM.


Bagi program Diploma Kejururawatan Kementerian Kesihatan, calon mestilah memperoleh kredit dalam Bahasa Melayu / Malaysia ( termasuk ujian lisan ), Matematik, Sains dan dua mata pelajaran lain. Iklan kemasukan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam semua akhbar berbahasa Melayu pada bulan Mac setiap tahun.


Pusat perubatan UM juga mentediakan program Diploma Kejururawatan untuk lelaki dan perempuan. Tempoh pengajian ialah tiga tahun. Calon mestilah mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu (termasuk ujian lisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan satu mata pelajaran lain. Calon juga dikehendaki mendapat kepujian dalam Sains Teras atau lulus dalam mata pelajaran Sains Tulin, sama ada Biologi, Kimia ataupun Fizik.


Program Biasiswa Kadet Akademik Laut Malaysia


Akademik Laut Malaysia ( ALAM ) merupakan institut pendidikan yang mengendalikan kursus profesional dalam bidang perkapalan serta peperiksaan yang berkaitan dengan kursus tersebut. Alam juga menerbitkan dan mencetak bahan bacaan tentang bidang perkapalan dan kelautan. Pada masa yang sama, ALAM menjalankan penyelidikan dalam bidang tersebut. ALAM turut menawarkan Program Biasiswa Kadet bagi lepasan SPM. ALAM menawarkan Diploma Kejuruteraan Marin dan Diploma Pengajian Nautikal (DNS) dengan biasiswa penuh. Maklumat lanjut tentang ALAM dapat diperoleh melalui http://www.alam.edu.my/ .


Institut Perguruan

Bagi lepasan SPM yang berminat menceburi bidang pendidikan, terdapat kira-kira 27 buah institut penguruan, seperti Institut Perguruan Darul Aman, Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Institut Perguruan Perlis, Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Institut Perguruan Ipoh dan Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia. Institut perguruan menawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah.


Maklumat lanjut tentang pengambilan calon dapat diperoleh di Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Aras 2 - 6, Blok E13, Komplek Kerajaan Parcel C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya.


Politeknik


Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, menyediakan kira-kira 18 ribu tempat untuk lepasan SPM, di samping 4000 tempat untuk lulusan sijil politeknik dan sijil kolej komuniti untuk melanjutkan pelajaran peringkat sijil dan diploma dalam bidang pendidikan dan vokasional. Ada 24 buah politeknik di seluruh negara, termasuklah Politeknik Ungku Umar, Ipoh, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Kuching, Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Politeknik Johor Bahru, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Kota, Melaka, dan Politeknik Kota, Kuala Terengganu.


Antara program yang ditawarkan termasuklah kejuruteraan awam, mekanikal dan elektronik, reka bentuk dan komunikasi visual, seni bina, kejuruteraan perkapalan, penyenggaraan pesawat, teknologi petroleum, teknologi maklumat, teknologi makanan, perdagangan, sains kesetiausahaan dan hospitaliti. Mulai sesi Januari 2008, Diploma Pengajian Perniagaan (e-commerce) ditawarkan di Politeknik Nilai dan Diploma Pengurusan Logistik pula diperkenalkan di Politeknik Sultan Ahmad Shah dan Politeknik Seberang Prai.


Yang paling menarik, politeknik juga menyediakan tempat bagi pelajar berkeperluan khas (masalah pendengaran) dari Sekolah Pendidikan Khas kelolaan Kementerian Pelajaran untuk lima kursus kemahiran. Program tersebut ditawarkan di Politeknik Ungku Umar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Johor Bahru.


Bagi yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang kursus yang ditawarkan dan senarai penuh politeknik yang terdapat di Malaysia, sila layari http://www.politeknik.edu.my.


Institut Kemahiran MARA ( IKM )


Di negara kita juga, terdapat pilihan pendidikan yang berteraskan kemahiran bagi yang mempunyai mempunyai bakat, minat dan kecederungan ke arah itu. Sebuah institus penting yang menawarkan pendidikan berkenaan ialah IKM. Antara bidang kemahiran yang ditawarkan termasuklah kejuruteraan elektronik, seni bina dan reka bentuk fotografi. Pengambilannya dilakukan berdasarkan SPM atau SPM (V) dan keperluan kelayakan minimum kursus yang dimohon.


Penawaran latihan dilakukan dua kali setahun, iaitu diiklan pada bulan September untuk kemasukan sesi Januari dan bulan Mac untuk sesi Julai. Borang permohonan dapat diperoleh dari Bahagian Pendidikan dan Latihan (Kemahiran MARA), Kolej Kemahiran Tinggi MARA, IKM dan pejabat MARA negeri dan daerah. Ada tidak kurang daripada 15 buah IKM di seluruh negara.


Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN)


Sebuah lagi institut pendidikan yang menawarkan pengajian berteraskan kemahiran ialah IKBN yang dikelolakan oleh Kementerian Belia dan Sukan. IKBN menawarkan pengajian yang berkonsepkan latihan bersepadu, merangkum latihan (teori dan praktikal), keusahawanan, ketatanegaraan, kepemimpinan, keagamaan, moral, sukan dan khidmat masyarakat.


IBKN terdapat di seluruh negara. Antaranya, IKBN Jitra, IKBN Perlis, IKBN Alor Gajah, IKBN Seri Iskandar, IKBN Bachok, IKBN Cembung, Negeri Sembilan, IKBN Dusun Tua, IKBN Kinarut, Sabah, dan IKBN Miri. Antara bidang pengajiannya termasuklah teknologi kejuruteraan automotif, teknologi kejuruteraan elektronik, teknologi komputer, teknologi kejuruteraan elektrik, teknologi kejuruteraan mekanikal, teknologi kejuteraan marin, teknologi kejuteraan awam, teknologi fotografi, teknologi binaan bangunan dan perkhidmatan profesional.

Di samping pengajian peringkat sijil, IKBN turut menawarkan pengajian peringkat diploma. Pengambilan sesi Januari dilakukan setiap bulan Oktober.

Institut Latihan dan Perindustrian (ILP)

ILP merupakan sebuah lagi institut pengajian yang berteraskan kemahiran. ILP dikelolakan oleh Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. ada lebih daripada 20 buah institut latihan kelolaan jabatan itu di seluruh negara, tidak termasuk empat buah Pusat Latihan Jepun Malaysia.

Bidang pengajian yang ditawarkan pula termasuklah pemesinan am, mekanik kenderaan motor, binaan bangunan, kimpalan/jurueletrik, teknologi perabot, juruteknik radio dan televisyen, dan mekanik penyenggaraan bekuan dan penyaman udara. Permohonan kemasukan ke ILP terbuka kepada lepasan SPM atau SPM (V). Maklumat lanjut dapat diperoleh melalui http://www.jtm.gov.my.

Institut Pengajian Tinggi Swasta

Lepasan SPM yang tidak mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam masih berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi swasta. Walau bagaimanapun, anda perlu bijaksana dalam memilih institut pengajian tinggi swasta sebelum membuat keputusan melanjutkan pelajaran. Selain menilai kemudahan dan prasarana pendidikan yang disediakan, pastikan bahawa institut tersebut diiktiraf oleh kerajaan. Hal ini penting supaya sijil atau diploma yang diperoleh diiktiraf untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi atau memasuki sektor pekerjaan kelak.

Peluang Pendidikan Lulusan STPM

Bagi lulusan STPM, tumpuan melanjutkan pelajaran sudah tentulah pengajian ijazah pertama dalam pelbagai bidang mengikut kelulusan, minat dan kecederungan masing-masing di universiti tempatan. Kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi awam itu diurus oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.

Syarat am atau kelayakan minimum kemasukan ke program ijazah pertama ialah sekurang-kurangnya lulus SPM/setaraf dengan mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai atau lulus Matrikulasi KPM/Asasi Sains UM dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.0.

Kementerian Pengajian Tinggi mengelolakan 20 buah universiti awam. Antaranya, UM,Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Maklumat tentang program atau bidang yang ditawarkan di setiap universiti dapat diperoleh melalui laman tersebut. Anda tidak perlu khuatir tentang cara mengisi borang secara dalam talian kerana di halaman itu juga, disediakan panduan melayari aplikasi dalam talian.

Bagi yang memilih untuk mengikuti ijazah Sarjana Muda Pendidikan, maklumat tentang Ujian MEdSI dan temu duga terdapat di laman itu. MEdSI ialah instrumen yang digunakan oleh institut pengajian tinggi awam dalam memilih individu yang sesuai untuk menjadi guru. Instrumen MEdSI mengandungi 300 item dalam empat bahagian, iaitu personaliti, minat kerjaya, nilai integriti dan kecerdasan emosi. Soalannya berbentuk aneka pilihan. Hanya calon yang berjaya dalam ujian itu akan ditemu duga untuk mengikuti program pengajian tersebut.

Pilihan di Tangan Anda

Sebenarnya, masih banyak maklumat tentang peluang pendidikan yang tidak dapat disebutkan satu per satu. Andalah yang bertanggungjawab untuk mencarinya untuk faedah dan kepentingan sendiri.

Apakah yang anda tunggu lagi? Buatlah keputusan dan bertindak dengan segera! Tentukan bidang pengajian dan pekerjaan yang ingin anda dalami dan ceburi, kemudian carilah maklumat tentang institut pengajian tinggi yang menawarkan bidang tersebut.

Buatlah pilihan yang bijak, sesuai dengan minat, kecederungan, kemampuan dan cita-cita sendiri supaya anda tidak menyesal pada kemudia hari. Ingatlah bahawa masa hadapan anda terletak di tangan anda sendiri!

Wednesday, October 13, 2010

Monday, October 4, 2010

TEMA BMSPM 1103/1

Sila klik untuk dapatkan TEMA -TEMA PENTING BMSPM 2010. Selamat mengulang kaji.

Thursday, September 30, 2010

ANALISIS SOALAN PERCUBAAN BMK2SPM 2010

Dapatkan maklumat-maklumat terkini tentang perbandingan soalan peperiksaan percubaan kertas BMSPM kod 1103/2 dengan hanya klik ANALISIS KERTAS PEPERIKSAAN SPM 1103/2 2010

Sunday, September 26, 2010

SELOKA PAK KADUK




Thursday, September 23, 2010

KESALAHAN EJAAN TANGGUNGJAWAB SIAPA?








Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) kerana tidak pernah memandang enteng masalah yang berkaitan dengan penyalahgunaan bahasa. Tindakan DBP yang memberi ganjaran kepada individu yang dapat memaklumkan kesalahan bahasa pada papan tanda harus dipuji. Hakikatnya bukanlah ganjaran yang menjadi ukuran, tetapi usaha sedemikian dapat melahirkan anggota masyarakat yang prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu di sekeliling mereka.
Masyarakat Barat gah dengan bahasa mereka. Bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa penghantar di peringkat antarabangsa. Setiap persidangan dunia, daripada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada perjanjian perdamaian antara Israel dengan Palestin, semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Mereka tidak tercalar walaupun zaman telah berubah, daripada zaman kereta kuda hinggalah zaman manusia cuba membuat 'perkampungan' di angkasa lepas.
Bagi mengelakkan masalah kesilapan bahasa Melayu daripada terus berlaku, ahli masyarakat tidak harus menuding jari dan melepaskan tangan apabila melihat kesalahan bahasa berlaku di hadapan mereka.
Langkah yang bijak perlu diambil segera untuk memastikan kelestarian bahasa Melayu. Pelbagai kesalahan daripada sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar yang melibatkan kewibawaan bahasa ibunda kita perlu diberi perhatian sewajarnya. Hal ini sedikit banyak akan mengurangkan risiko masalah bahasa caca marba yang wujud pada hari ini.
Oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu menitikberatkan tentang bahasa kebangsaan kita. BAHASA KITA TANGGUNGJAWAB KITA.




















Saturday, September 18, 2010

ANTARA Di Kalangan dengan Dalam Kalangan

Kini, frasa dalam kalangan dengan di kalangan kerap ditemukan dalam penulisan. Persoalannya, frasa manakah yang lebih tepat?
Untuk memahami dengan lebih jelas, kita perlu amati dan fahami apa-apa yang terungkap dalam Tatabahasa Dewan, yang menjelaskan fungsi dan perbezaan antara kata sendi nama 'di' dengan kata sendi nama 'dalam'.
Menurut Tatabahasa Dewan, kata sendi nama 'di' hanya boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Contohnya:
  • ...di perpustakaan
  • ...di gunung
  • ...di rumah
  • ...di ruang
  • ...di angkasa
  • ...di Kuala Lumpur
  • ...di perhentian

Kata sendi nama dalam pula, hanya boleh berada di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa maksud lingkungan yang tidak mempunyai ruang dan jarak. Contohnya:

  • ...dalam masyarakat
  • ...dalam perhatian
  • ...dalam perbincangan
  • ...dalam perbahasan
  • ...dalam perbicaraan
  • ...dalam usaha
  • ...dalam percubaan

Sebagai pengguna bahasa Melayu, pelajar sering menggunakan kata kalangan dalan frasa di kalangan untuk merujuk kepada maksud golongan atau sesuatu kumpulan dan kelompok yang dikhususkan.

Antara contoh KESILAPAN penggunaan frasa di kalangan adalah seperti yang berikut:

  1. ...di kalangan pelajar ....SEPATUTNYA... dalam kalangan pelajar
  2. ...di kalangan peserta....SEPATUTNYA... dalam kalangan peserta
  3. ...di kalangan anggota....SEPATUTNYA...dalam kalangan anggota
  4. ...di kalangan petugas....SEPATUTNYA...dalam kalangan petugas
  5. ...di kalangan guru ........SEPATUTNYA... dalam kalangan guru

Oleh itu, kita sebagai pengguna bahasa Melayu yang sayang akan bahasa ibunda kita perlu BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA dalam amalan berbahasa seharian.

Sunday, September 12, 2010

CANTIKNYA MATEMATIK


Manusia ialah makhluk Tuhan yang unik. Bukan sahaja setiap individu berbeza antara satu sama lain, malah setiap orang mempunyai kelebihan dan kekuatan sendiri. Hanya manusia yang mahu memahami dirinya akan memahami hikmah dan hakikat kehidupan di alam maya ini.
Ayat-ayat dalam al-Quran menegaskan bahawa sesuatu yang menimpa manusia adalah berpunca daripada manusia sendiri, dengan izin Allah. Jika kita mahu BERJAYA, ia bergantung pada diri kita sendiri. Pendek kata, manusialah yang membuat pilihan dalam kehidupannya. Pilihan itu dipulangkan semula kepada kita sebagai makhluk yang boleh berfikir.
Oleh sebab itulah manusia perlu mengenali diri sendiri. Manusia perlu berusaha mengubah diri sendiri. Akhirnya, manusia akan mengakui bahawa ia berupaya memilih untuk berjaya. Semuanya bergantung pada diri sendiri.
Justeru, mulakanlah perubahan secara berperingkat dan konsisten. Tidak ada orang yang dapat mengubah diri kita melainkan diri sendiri. Percayalah kepada janji Allah bahawa MANUSIA MENDAPAT APA YANG IA USAHAKAN. Oleh itu, untuk menjadi pelajar yang berwawasan anda perlu BERUBAH SEKARANG.
Moga anda tergolong dalan golongan yang BEJAYA.



















Wednesday, September 8, 2010

SALAM 1 SYAWAL 1431 H ( 10 SEPTEMBER 2010 )


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI - Maaf Zahir & Batin daripada saya dan keluarga kepada rakan-rakan guru daripada sekolah KPM dan MRSM serta anak-anak didik saya di MRSM Kuala Krai sejak saya bertugas dari tahun 2002 hingga kini. SEMOGA ALLAH memberkati kalian baik di dunia dan di akhirat. Tidak lupa juga kepada kawan-kawan yang pernah sama-sama bertugas di Jabatan Penjara Malaysia sejak tahun 1985 hingga Mac 2002, saya menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf atas pelbagai kesilapan yang telah saya lakukan. Kepada calon peperiksaan PMR dan SPM 2010 cikgu sentiasa berdoa agar anda diberi keyakinan diri untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang.


Tuesday, September 7, 2010

CAKNA BAHASA SEMASA AIDILFITRI






Kini, kita semua yang beragama Islam tentu gembira kerana hampir selesai menjalani puasa pada bulan Ramadan. Hari raya pasti akan tiba. Kini, kemeriahannya makin terasa. Mereka yang berada di perantauan tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke desa. Yang tidak kesempatan balik beraya bersama sanak saudara tentu berasa dirundung malang kerana tidak dapat meraikan hari bahagia kali ini bersama-sama dengan keluarga tercinta.


Perasaan pilu di perantauan lebih terasa apabila hampir semua stesen radio dan TV memutarkan dan menyiarkan lagu raya yang menyemarakkan suasana hari lebaran. Lagu-lagu raya yang dinyanyi sama ada oleh penyanyi lama dan pendatang baru tentunya akan meruntunkan rasa khasnya perantau.


Ada lagu dengan kata-kata puitisnya mampu menyemarakkan suasana terutamanya kanak-kanak. Tidak kurang juga ada sesetengah lagu yang mampu menerbitkan rasa insaf yang mendalam kepada pendengar sehingga melinangkan air mata.


Tetapi AWAS dalam kemeriahan menyambut hari lebaran tahun ini sebagai pelajar dan calon peperiksaan sama ada PMR, SPM dan STPM patut merenung dan insaf akan kesalahan-kesalahan bahasa yang sering dilakukan apabila tibanya Aidilfitri kerana kesalahan-kesalan ini TIDAK DIMAAFKAN oleh pemeriksa kertas Bahasa Melayu peperiksaan awam di negara tercinta ini.


Antara kesalahan yang secara kebetulan tiba bersama-sama hari lebaran ialah penggunaan kata dan frasa yang menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu, umpamanya:



  1. di hari lebaran ----------sepatutnya ------- pada hari lebaran

  2. balik kampung ----------sepatutnya--------balik ke kampung

  3. di dalam perjalanan -----sepatutnya -------dalam perjalanan

  4. pulang dengan keretapi -sepatutnya --------pulang dengan kereta api

  5. makan tengahari --------sepatutnya -------makan tengah hari

  6. Aidil Fitri --------------- sepatutnya -------Aidilfitri

  7. saling bermaaf-maafan --sepatutnya -------saling bermaafan

  8. satay -------------------sepatutnya ------- sate

  9. banyak kuih-muih ------sepatutnya ------- banyak kuih

  10. begitu sedap sekali ------sepatutnya -------begitu sedap / sedap sekali

  11. begitu meriah sekali -----sepatutnya -------begitu meriah / meriah sekali

  12. mendapat banyak duit raya --sepatutnya -- banyak mendapatduit raya

  13. menghidangi kuih raya --sepatutnya -------menghidangkan kuih raya

  14. ramai orang berjabat salam --sepatutnya ---ramai orang berjabat tangan

  15. saling kunjung-mengunjungi -sepatutnya----saling mengunjungi

  16. bila tiba hari raya --------sepatutnya -------apabila tiba hari raya

  17. umat-umat Islam --------sepatutnya -------umat Islam

  18. mengunjungi ke rumah --sepatutnya --------mengunjungi rumah

  19. berbagai juadah ----------sepatutnya -------berbagai-bagai / pelbagai juadah

  20. daging rendang ----------sepatutnya -------rendang daging

  21. banyak kenduri khawin --sepatutnya -------kenduri kahwin

  22. koleksi lagu-lagu raya ---sepatutnya --------koleksi lagu raya

  23. begitu gembira sekali ----sepatutnya ------- begitu gembira / gembira sekali


Sunday, August 29, 2010

Allahu akhbar

Selamat Menjalani Ibadah Puasa
Ikhlas Daripada Cikgu Fadil sekeluarga




Friday, August 27, 2010

Wednesday, August 25, 2010

Tuesday, August 17, 2010

PEDOMAN BAHASA 12

"Memperhatikan" atau "Memerhatikan"


SERINGKALI timbul kekeliruan tentang penggunaan kata memperhatikan. Dalam bahasa tulisan dan pertuturan, kedua-dua bentuk itu ada digunakan, yang lebih lazim barangkali ialah bentuk memerhatikan. Soal memperhatikan atau memerhatikan ini soal tatabahasa. Dalam tatabahasa, ada dihuraikan proses pengimbuhan untuk menerbitkan kata-kata lain.
Mungkin tidak banyak orang yang menduga bahawa persoalan tatabahasa dapat diselesaikan dengan bantuan kamus. Kamus juga ada memberi maklumat tatabahasa, tetapi cara maklumat itu disampaikan berlainan daripada cara yang terdapat dalam buku tatabahasa.
Dalam menentukan manakah bentuk yang betul, perlu kita menggunakan bantuan kamus. Cari kata perhati yang letaknya tentu di bawah huruf p. Anda tidak temukan kata perhati. Sahlah tidak ada kata perhati. Yang ada kata hati.
Di bawah kata hati ada berhati, berhati-hati, memperhatikan, pemerhatian dan perhatian. Barulah kemudian anda tahu mengapa bentuk yang betul ialah memperhatikan bukan memerhatikan. Oleh sebab tidak ada kata perhati, maka tidak mungkin timbul bentuk memerhatikan. Cuba anda perhatikan beberapa contoh penerbitan kata yang huruf awalnya p:
  1. pukul ---------> memukul
  2. pasang -------> memasang
  3. perang -------> memerangi
  4. palsu ---------> memalsukan

Semua huruf "p" pada awal kata bertukar menjadi "m" apabila kata itu mengalami imbuhan awalan. Jadi, jika ada kata perhati akan terbitlah kata memerhatikan. Tetapi oleh sebab TIDAK ADA kata itu, maka SALAHlah kata memerhatikan itu.

Yang sebenarnya berlaku ialah kata hati menerima awalan memper lalu terbentuk kata memperhatikan. Cuba lihat proses pembentukannya:

hati ---------> memper + hati + kan ( memperhatikan )

Bentuk-bentuk lain yang mengalami proses yang sama ialah:

  1. mempersoalkan --------- BUKAN -------- memersoalkan
  2. mempertikaikan ---------BUKAN -------- memertikaikan
  3. memperkatakan ---------BUKAN -------- memerkatakan
  4. memperisterikan -------- BUKAN -------- memeristerikan
  5. memperbuat ------------ BUKAN -------- memerbuat

Jadi jelaslah bahawa penentuan BETUL atau SALAH sesuatu bentuk kata terbitan dapat ditentukan dengan berpandu kepada kamus. SEKARANG ANDA PATUT MEMPERHATIKAN dan BUKAN MEMERHATIKAN isi kamus.




Monday, August 16, 2010

Nilaikan Kerjaya Pilihan Anda!




  • Persoalan NILAI dalam Pemilihan Kerjaya


SEMASA mengajar pelajar elit di kelas 5B tahun lalu saya teringat akan PERBUALAN hal ehwal semasa. Saya cuba melontar pelbagai persoalan kepada pelajar-pelajar elit tentang bidang-bidang pekerjaan yang terdapat di Malaysia. Isu ini ada kaitan dengan syllabus dalam buku Teks Tingkatan 5. Seingat saya hampir 15 orang pelajar yang menyatakan ingin menjadi menceburi bidang perubatan.

Saya memulakan soalan "Kenapa awak mahu jadi doktor?" Pelajar yang tadinya mengangkat tangan tersenyum-senyum.

"Sebab minat biologi?" saya bertanya.

Ramai yang ketawa. Itu mungkin alasan semasa di Tingkatan 4 dahulu.

"Sebab suka tolong orang?"Saya terus bertanya.

Ramai yang mengangguk.

"Well, come on. Ramai yang hantar anak buat perbuatan supaya boleh rawat ibu bapa sendiri nanti. Tetapi realitinya, kamu bukan manusia pertama boleh muncul memberikan rawatan jika berlaku apa-apa kepada ibu bapa. Malah ketika di bilik pembedahan dan wad kecemasan, ahli keluarga bukanlah calon terbaik untuk merawat ahli keluarga sendiri. Namanya, "profesionalisma", Saya menyambung provokasi.

"Kamu nak tolong suami, isteri dan anak-anak? Rasa saya, suami doktor, isteri doktor dan anak-anak doktorlah yang paling banyak kena berdikari. Saya terus mencucuk jarum.

Saya terus mencucuk lagi dengan lebih tegas. Saya memberi peringatan bahawa apabila awak berjaya jadi specialist nanti, jangan lupa bahawa orang yang paling banyak berkorban ialah tiga orang ini. Anak-anak kita. Merekalah yang berkorban, melepaskan masa yang sepatutnya kita beri kepada mereka, agar kita berjaya".

Saya sengaja mengacah pelajar-pelajar di kelas elit tadi supaya berfikir bersungguh-sungguh, mengapa mereka memilih bidang perubatan.

Jika anda seorang perempuan yang bakal menjadi doktor, anda perlu tahu bahawa walaupun negara amat terdesak kepada adanya ramai tenaga pakar, anda tidak akan diberi "kemudahan" untuk jadi pakar. Anda tidak ada cuti bersalin, seandainya anda 'termengandung' semasa sedang membuat program pakar, anda tidak menerima sebarang elaun untuk membeli buku. Semua kena guna duit sendiri. Kursus dan seminar yang anda hadir, anda mesti membayarnya sendiri. Mungkin anda terpaksa menawarkan diri menjadi AJK agar dapat dikecualikan daripada membayar yuran, walaupun anda tahu akibat menjadi AJK itu. Semua orang mahu anda bekerja seperti orang lain, ketika anda terdesak menghadapi peperiksaan. Tiada belas, tiada insentif. Misalnya ada bakal doktor pakar, kerana dua minggu cuti yang diperuntukkan untuk kecemasan dan lain-lain, sudah pun digunakan untuk bersalin, lupakanlah kenduri-kendara di kampung, lupakanlah ibu bapa, 6 bulan tiada cuti.

Bukan calang-calang kerja.

Anda mahu menjadi pelajar perubatan kerana mahu tolong orang? Tolonglah diri sendiri kerana anda yang amat memerlukan pelbagai pertolongan itu nanti.

"Maka, apa tujuan anda mahu menjadi doktor?" soalan yang sama saya ulang sekali lagi. Pelajar-pelajar itu termenung. Sesi soal jawab tiada soalan, kerana semua soalan adalah untuk ditanya kepada diri sendiri dan diri sendirilah yang perlu menjawabnya.

Maka bermulalah PENGAJARAN SAYA iaitu PERSOALAN NILAI dalam pekerjaan.

Apakah nilai yang dibawa dalam sesuatu pekerjaan? dalam kehidupan.

Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja rumahnya, kerjanya, 'melayan suami'. tidak mungkin mampu dibalas walaupun dengan bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya? Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan dirinya. Hanya "bibik" sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Seorang ibu membuat kerja rumah kerana NILAI KASIH SAYANG. Seorang isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG. Maka tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian. Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan.

NILAI DUIT

Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah, walaupun wang berjaya diperoleh.

Sekarang ini sudah menjadi trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri. Yang pertama ialah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum. Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan antara seorang suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi. Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumah tangga berpisah sementara ( bukan calang-calang sementara ) demi melepaskan isteri yang bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk. Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan... tetapi output daripadanya merungsingkan. Itu belum lagi dicungkil kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau KL . Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan bertemu dengan outputnya. Saya bertemu anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun ke tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mempoligamikan suaminya dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita. Tentu sahaja hasil kewangan daripada kenaikan pangkat dengan bekerja jauh daripada pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?

NILAI - HARGA - KORBAN

Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga. Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? kehancuran rumah tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa ... itulah harga yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas bekerja.

Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang 'mereka ialah generasi yang kesunyian'. Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki itu memberi sesuatu yang tiada diperoleh remaja tersebut dalam keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.

Hari ini saya mahu pelajar-pelajar di dalam kelas ini, melatih diri mereka dengan tabiat"Begin With the End in Mind". Lihatlah apa yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatan.

TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN

Maka, ketika masih lagi di bangku pengajian, tentukan soal nilai yang ingin dibawa pada kerjaya masa hahapan anda. Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah selagi mampu, kejarlah habuan material, tetapi anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar. Perhatikan di mana korbannya? Harga korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit, dan yang palin besar, mungkin sistem itu sendiri.

Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri, mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor. Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang daripada mereka.

PROVOKASI DEMI MASA DEPAN

Atas provokasi inilah saya mengajak anda pelajar-pelajar yang masih muda untuk menyemak hubung kait bidang ini dengan TUJUAN HIDUP. Kenang kembali siapa kita di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.

Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia Yang Disembah. Yang DiAbadikan diri kepada-Nya. Ia hablun minaLlah.

Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya, kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini. I hablun minannaas.

Buat baik kepada sesama manusia, boleh disedekah, boleh dengan memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan paling utama, adalah untuk menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita.

JIKA KERJA JADI IBADAH

Jika kerja jadi ibadah, Allah ialah 'CEO' kita. The using hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.

Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik-baik yang upaya.

Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.

Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja. Teruskan cita-cita kalian menjadi doktor. Ia cara terbesar, kamu zahirkan syukur kepadanya. Kita hamba-Nya, Kita khalifah-Nya.







PEDOMAN BAHASA 11

  • "Menemui", "Menemukan" dan Mempertemukan"

Antara ketiga-tiga patah kata tersebut, yang lebih kerap pelajar guna atau anda baca ialah menemui dan mempertemukan. Kata menemukan barangkali tidak pernah anda gunakan. Namun, kata tersebut terdapat dalam kamus. Ketiga-tiga patah kata itu mempunyai makna yang berlainan. Oleh hal itu konteks penggunaannya berlainan juga.

Sebelum kita merujuk kepada kamus untuk memastikan makna dan konteks penggunaan setiap kata itu, marilah kita bincangkan penggunaan yang biasa ditulis oleh pelajar.

  1. Ibu bapa menemui Pengetua untuk membincangkan kemajuan pelajaran anak-anak mereka.
  2. Polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu di tepi sebuah estet.

Betulkah penggunaan kata menemui dalam kedua-dua ayat di atas? Sekarang mari kita merujuk kamus.

DALAM KAMUS DEWAN, Kata menemui diberi makna:

  1. bertemu dengan, berjumpa dengan;
  2. pergi bertemu dengan, mengunjungi, menziarahi, melawat.

Cuba pelajar masukkan makna tersebut dalam ayat 2 tadi. Timbullah makna bahawa "Polis bertemu dengan kereta yang ditinggalkan oleh perompak=perompak itu di tepi sebuah estet" ATAU "Polis mengunjungi kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu". Tepatkah maknanya?

Dengan mudah anda mengatakan TIDAK. Sebabnya kita biasa bertemu dengan manusia, tetapi kita tidak bertemu dengan objek tidak bernyawa. Jadi kita tidak boleh mengatakan:

  • Pasukan tentera menemui markas komunis di tengah hutan.

Kalau kata menemui SALAH penggunaannya dalam ayat di atas. Apakah kata yang TEPAT. Jawabnya ialah kata menemukan. Dalam kamus kata tersebut diberi makna:

  1. berjumpa dengan apa yang dicari, mendapat, mendapati.
  2. mengalami, menderita.

Kalau makna pertama kata itu diterapkan dalam ayat di atas barulah ayat-ayat itu betul maknanya.

  • Polis menemukan kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu di tepi sebuah estet.
  • Pasukan tentera menemukan markas komunis ditengah hutan.
  • Sarjana sastera itu menemukan ciri-ciri persamaan yang banyak dalam karya-karya sastera lama.
  • Ahli-ahli perubatan belum menemukan ubat yang berkesan untuk rawatan penyakit AIDS.

Anda mungkin berasa janggal untuk menggunakan kata tersebut. Kejanggalan itu dapat anda atasi secara beransur-ansur apabila anda membiasakan penggunaannya. Berpeganglah kepada falsafah "Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul".

Kata mempertemukan pula bererti "membawa supaya bertemu". Contoh penggunaannya ialah:

  • Majlis itu mempertemukan saya dengan sepupu saya yang sudah sekian lama tidak saya temui.


Saturday, August 14, 2010

PEDOMAN BAHASA 10

Kata Pemeri: ialah dan adalah


Saya sering melihat masalah KESALAHAN penggunaan kata pemeri ialah dan adalah dalam kalangan pelajar begitu ketara. Kebanyakan pelajar tidak dapat membezakan kedua-dua kata ini dengan tepat dan betul.
Oleh hal yang demikian pelajar harus merujuk kepada buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu ( DBP ), hlm 250 -252 ), pelajar akan mendapati beberapa hal yang ditekankan tentang penggunaan ialah dan adalah. Pertama, kedua-dua kata pemeri ini ada kalanya tidak perlu dalam ayat dan ada kalanya bersifat pilihan. Contohnya:
  1. Bapa saya ialah guru. ( Boleh juga : Bapa saya guru )
  2. Kenyataan itu adalah tidak benar. ( Boleh juga : Kenyataan itu tidak benar )

Perkara kedua yang perlu diingat ialah kata pemeri ialah hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Kata pemeri adalah pula hanya boleh diikuti oleh kata atau frasa sendi nama atau frasa adjektif. Untuk lebih jelas lihat beberapa contoh berikut:

  • Anak ialah anugerah Allah. ( anugerah Allah: frasa nama )
  • Masalah kita sekarang ialah kekurangan modal. ( kekurangan modal : frasa nama )
  • Keputusan panel hakim adalah muktamad. ( muktamad : adjektif )
  • Matlamat penubuhan tabung itu adalah untuk membantu pelajar miskin. ( untuk membantu pelajar miskin: frasa sendi nama )

Selain itu, ditekankan juga bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembetukan ayat bahasa Melayu. Seperkara yang perlu diingat ialah bahawa kata pemeri TIDAK BOLEH hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Kerana itu jugalah kata pemeri tidak harus digunakan pada awal ayat, seperti yang lazim digunakan, terutama dalam ayat yang berbentuk makluman dan perisytiharan. Contohnya:

  • Untung rugi syarikat adalah bergantung pada kebijaksanaan pihak pengurusan. (salah)
  • Untung rugi syarikat bergantung pada kebijaksanaan pihak pengurusan. (betul)
  • Kejayaan projek itu adalah terletak pada setiap individu yang terlibat. (salah)
  • Kejayaan projek itu terletak pada setiap individu yang terlibat. (betul)
  • Adalah dimaklumkan bahawa sekolah akan ditutup esok. (salah)
  • Dengan ini dimaklumkan bahawa sekolah akan ditutup esok. (betul)
  • Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. (salah)
  • Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. ( betul)

Friday, August 13, 2010

Tajuk-Tajuk Penting Karangan PMR 2010

  • CUBA MEMBANTU PELAJAR MENGHADAPI CABARAN GETIR PMR 2010: Sila klik
  • CUBA MEMBANTU PELAJAR MENGHADAPI CABARAN GETIR SPM 2010: Sila klik

BETULKAN EJAAN KATA SERAPAN ARAB

DALAM tulisan yang ringkas ini, ingin saya tekankan ialah cara pengejaan bentuk kata bahasa Arab. Banyak kata serapan Arab yang dieja secara salah oleh pengamal bahasa Melayu. Oleh sebab itu, menjadi tugas kita semua membetulkan situasi ini supaya permasalahan ini tidak berlanjutan.


Dari segi ejaan, kebanyakan pengamal bahasa Melayu masih tidak mengetahui perubahan yang berlaku. Ada antara mereka masih mengeja kata serapan bahasa Arab mengikut "lidah" Arabnya sedangkan kata-kata tertentu sudah mengalami perubahan mengikut "lidah" orang Melayu. Hal ini demikian kerana perubahan wajar dilakukan supaya tidak berlaku ketidaktekalan dari segi ejaan.


Sebagai contohnya:




  1. ibadah --------> SEPATUTNYA -----------> ibadat

  2. isya -----------> SEPATUTNYA-----------> isyak

  3. zohor ---------> SEPATUTNYA -----------> zuhur

  4. khusuk -------> SEPATUTNYA -----------> khusyuk

  5. beristirehat ---> SEPATUTNYA -----------> beristirahat

  6. hajjah ---------> SEPATUTNYA -----------> hajah

  7. redha ---------> SEPATUTNYA -----------> reda

  8. kadhi ---------> SEPATUTNYA -----------> kadi

  9. terawih -------> SEPATUTNYA -----------> tarawih

  10. Ramadhan ----> SEPATUTNYA -----------> Ramadan

  11. Aidil Fitri -----> SEPATUTNYA -----------> Aidilfitri

  12. Aidil Adha ----> SEPATUTNYA -----------> Aidiladha

  13. hafal ----------> SEPATUTNYA -----------> hafaz

  14. munshi -------> SEPATUTNYA -----------> munsyi

  15. fardhu --------> SEPATUTNYA -----------> fardu

  16. muhibbah -----> SEPATUTNYA -----------> muhibah

  17. jamek ---------> SEPATUTNYA -----------> jamik

  18. lafadz ---------> SEPATUTNYA -----------> lafaz

  19. syed ----------> SEPATUTNYA -----------> sayid

  20. saidina --------> SEPATUTNYA -----------> sayidina

  21. sunnah --------> SEPATUTNYA -----------> sunah






Friday, August 6, 2010

BANK PERIBAHASA PMR & SPM

  • Format pentaksiran atau peperiksaan Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) sejak 2004 memasukkan peribahasa di bawah pengetahuan dan kefahaman tentang Tatabahasa Bahasa Melayu. Peribahasa dikelaskan dalam kelompok tatabahasa.
  • Peribahasa tergolong dalam tatabahasa kerana makna atau maksud yang dibawa oleh susunan kata tersebut. Maksud susunan peribahasa tidak boleh diterjemahkan perkataan demi perkataan. Sebaliknya susunan kata tersebut mempunyai maksud tertentu atau khusus dan mantap. Misalnya, langkah kanan, tidak boleh diterjemahkan sebagai perbuatan melangkah kaki kanan. Susunan kata tersebut, sebagai peribahasa, bermaksud "bernasib baik".
  • Daripada huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa peribahasa merupakan kosa kata yang mempunyai makna khusus. Pelajar yang dapat menggunakan peribahasa dalam karangan atau ayat dengan tepat dan bersahaja membuktikan mereka mempunyai kosa kata yang luas dan menguasai tatabahasa. Justeru, hal ini meletakkan karangan pelajar berkenaan dalam kelompok cemerlang.
  • Untuk mendapat pengetahuan yang lebih tentang peribahasa dan ungkapan menarik:

Wednesday, August 4, 2010

RUANGAN KEMUSYKILAN BAHASA


Mengimbuhkan Kata Pinjaman




Fahamkah anda mengapakah kata dasar yang bermula dengan huruf t, f, dan p akan berubah apabila menerima imbuhan? Misalnya, awalan me- dengan kata dasar tulis akan menjadi menulis bukan metulis atau mentulis. Persoalannya ada pula sesetengah perkataan pinjaman, huruf awal pada kata dasar itu dikekalkan. Misalnya, awalan me- dengan kata dasar terjemah menjadi menterjemah bukan menerjemah.




Lebih merumitkan lagi, ialah ada juga kata pinjaman tertentu yang tidak dikekalkan huruf awal pada kata dasarnya. Antara kata pinjaman tertentu yang tidak dikekalkan huruf awal pada kata dasar, misalnya me- dengan fikir menjadi memikir, bukan memfikir, sedangkan me- dengan fokus menjadi memfokus bukan memokus.




JAWAPAN:




Dalam proses pengimbuhan awalan kata pinjaman, huruf awal kata dasar dikekalkan. Kata pinjaman merangkum kata pinjaman daripada bahasa Inggeris, bahasa Arab, dan lain-lain yang begitu banyak dalam bahasa Melayu. Beberapa contoh (dengan imbuhan awalan me-) dapat disebut di sini, mengkategorikan, memfailkan, memproses, mengkritik, mempolitikkan, memfitnah, memfardukan, memfatwakan, dan mengkhabarkan.




Dalam pada itu, seperti yang kita tahu, kita ada juga kata pinjaman yang menyimpang dan tidak selaras dengan DASAR PENGIMBUHAN awalan yang tersebut di atas. Beberapa contoh yang dapat disebut ialah mengelaskan, memotret, memahami, dan mengisahkan.




Untuk pengetahuan kita semua, proses peminjaman daripada bahasa asing dalam bahasa Melayu sudah berlaku secara alamiah lama dahulu sejak orang Melayu mula bertembung dan berkomunikasi dengan penyebar agama Islam yang datang ke Alam Melayu dan apabila orang Barat mula menjelajah ke dunia sebelah sini. Kini, proses pinjaman terus berlaku, tetapi secara sedar dan melalui kaedah yang lebih terancang.




Itulah sebabnya, kata pinjaman yang sudah lama terserap dalam bahasa Melayu dan yang sudah dianggap sebagai sebahagian daripada kosa kata bahasa Melayu terkecuali daripada peraturan tersebut.




Oleh sebab kata terjemah dan fokus dianggap sebagai kata pinjaman yang belum terserap dalam kosa kata bahasa Melayu, maka apabila diberi imbuhan awalan me-, kata tersebut menjadi menterjemah dan memfokus. Sebaliknya kata kelas dan faham dianggap sudah terserap dan menjadi sebahagian daripada kosa kata bahasa Melayu. Oleh sebab itu, apabila kelas dan faham diberi imbuhan, menjadi mengelaskan dan memahami, sesuai dengan sistem pengimbuhan bahasa Melayu





Tuesday, August 3, 2010

PEDOMAN BAHASA 9

PERATURAN MENGEJA KATA PINJAMAN
HURUF "y" pada akhir perkataan bahasa Inggeris yang diserapkan oleh bahasa Melayu sering dikekalkan oleh segelintir pengguna bahasa Melayu dalam penulisan mereka. Kecederungan ini merupakan KESALAHAN BAHASA dari ASPEK EJAAN. Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu huruf "y" bukan huruf vokal, tidak dapat membentuk suku kata, dan tidak boleh wujud pada akhir perkataan. Beberapa contoh yang dapat dikesan antaranya ialah *January dan *February. Dalam bahasa Melayu, "y" hanya boleh hadir pada awal suku kata, seperti dalam perkataan yayasan, bayar, dan kayu. Jika digunakan pada akhir suku kata atau perkataan, bagaimana perkataan berkenaan hendak dibunyikan? Oleh yang demikian, ejaan yang betul ialah Januari dan Februari, iaitu "y" diganti dengan "i". Penggantian ini melibatkan semua "y" penutup suku kata pada akhir perkataan
  • lorry -------> lori
  • memory --- > memori
Selain itu, terdapat perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris yang mempunyai huruf "y" di tengah suku kata. Huruf "y" itu juga perlu digantikan dengan "i" untuk ejaannya dalam bahasa Melayu
  • mystic ------> mistik
  • system ------> sistem

Mengatasi Tekanan dengan Bijak

Dalam kehidupan di dunia ini, banyak orang yang menghadapi tekanan. Untuk makluman pelajar, tekanan adalah sebahagian daripada asam garam hidup yang dialami semua orang. Bezanya ialah cara seseorang mengendalikan tekanan supaya tidak mendatangkan masalah sama ada kepada diri sendiri mahupun orang di sekeliling.


Tekanan ialah reaksi badan untuk menyesuaikan diri terhadap perubahan pada persekitaran. Tekanan berlaku dalam kehidupan sehari-hari sama ada di rumah, sekolah, atau tempat kerja. Malah, ketika bersama-sama orang tersayang juga kita boleh mengalami tekanan.


Namun, apabila terperangkap dengan pelbagai bentuk tekanan, tindakan susulan untuk mengurangkan tekanan antara seseorang biasanya tidak sama. Misalnya, ada orang yang minum kopi, menghisap rokok, berjalan-jalan di pusat beli-belah, makan coklat, malah ada yang termenung dan menangis.


Sebenarnya, tekanan merupakan antara elemen yang diperlukan dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana tekanan boleh mendorong kita agar mampu menjalankan tugas dengan baik. Sungguhpun demikian, tekanan yang berlebihan akan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan. Bahkan, tekanan yang berlebihan juga akan membahayakan diri sendiri dan orang lainjuga. Contohnya, tekanan yang serius boleh menyebabkan berlakunya histeria, tindakan membunuh diri, mencederakan orang lain, dan sebagainya.

Secara ringkasnya, tekanan boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu tekanan fizikal ( apabila badan letih selepas aktiviti fizikal yang lasak ), mental ( gangguan emosi dan perubahan tingkah laku ), tekanan oksidatif ( kesan radikal bebas ) dan tekanan metabolik ( kesan apabila badan tidak sihat )

Antara tanda tekanan yang sering dihadapi ( mungkin secara tidak disedari ) termasuklah perubahan emosi sama ada kecewa, marah, risau, tidak sabar, kerap letih tanpa sebab, resah keterlaluan, reaksi melampau, makan berlebihan, kerap merokok, tidur tidak lena, sakit kepala, masalah seksual, sakit belakang, sakit otot, atau menghidapi masalah kulit.

Sebenarnya, ada tekanan yang dapat diramalkan akan berlaku. Bagi pelajar, tekanan biasanya berlaku ketika musim peperiksaan seperti PMR, SPM, dan STPM. Sehubungan dengan hal itu, bagi mengurangkan atau mengatasi masalah tekanan, seseorang itu perlu mendapat rehat yang secukupnya, mengatur masa tidur dan bangun, serta rajin melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman boleh membuatkan kita berpeluh dan hal ini mampu mengurangkan tekanan. Selain itu, minumlah banyak air mineral atau air kosong kerana badan yang tidak cukup air akan mudah mengalami tekanan.

Namun demikian, yang lebih penting adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan mendapat khasiat yang mencukupi, terutama zink ( daripada tiram, daging, telur, kekacang dan dadih, serta vitamin B-kompleks ). Makanan yang seimbang akan menjadikan kita mendapat zat yang mencukupi dan hal ini akan mengurangkan kebarangkalian untuk seseorang itu mendapat tekanan.

Apabila mengalami tekanan, seseorang itu tidak dapat berfikir dengan jelas atau secara rasional. Akibatnya, dia boleh membuat keputusan atau melakukan tindakan yang kurang bijak. Tekanan yang tidak dikawal boleh memberi pengaruh yang tidak baik kepada diri, keluarga dan rakan-rakan di sekeliling. Dalam usia yang muda seperti remaja atau pelajar, tekanan haruslah ditangani dengan baik, terutama bagi beberapa masalah yang sering dihadapi oleh golongan pelajar seperti kewangan, hubungan dengan keluarga, cinta monyet, perubahan fizikal, dan sebagainya.

Antara cara yang dicadangkan untuk mengurangkan tekanan termasuklah:

  • Berhenti daripada melakukan sesuatu perkara apabila ada tanda awal tekanan dan ambil masa untuk menenangkan diri. Jangan mengabaikan tanda awal ini kerana tekanan boleh menyebabkan kemunculan masalah baru. Kajian menunjukkan bahawa 30 peratus punca kemalangan jalan raya disebabkan oleh tekanan, terutama masalah peribadi. Jadi ambil masa untuk rehat dan menenangkan diri. CARANYA adalah dengan duduk dalam posisi yang selesa dan letakkan kedua-dua tangan di atas paha. Luruskan kaki ke hadapan, cuba tegangkan otot dan tarik nafas ( dalam kiraan 1,2,3 ). Lepaskan ketegangan dan hembus nafas perlahan-lahan. Buat aktiviti ini selama 15 hingga 20 minit. Kaedah yang sama dapat juga digunakan untuk anggota badan yang lain. Tujuan senaman ini adalah untuk merehatkan otot. Apabila tertekan, otot secara tidak langsung menjadi tegang, khususnya otot bahu, leher dan belakang.
  • Melepaskan emosi, sama ada dengan bercerita kepada rakan ataupun ahli keluarga. Kebanyakan orang, terutama pelajar lelaki, suka menyembunyikan masalah dan memendam perasaan. Bercerita tentang tekanan bukan menunjukkan kelemahan, sebaliknya merupakan satu kaedah yang baik untuk melegakan perasaan. Tekanan yang dipendam boleh diumpamakan sebagai gunung berapi yang boleh meletup ( dilepaskan kepada orang lain ) atau memakan diri sendiri (menghidap tekanan darah tinggi atau lemah jantung ) CARANYA jangan malu untuk bercerita masalah anda. Tekanan ialah perkara biasa yang dialami oleh semua orang. Kita perlu realistik dan menerima hakikat ini. Tekanan boleh dilepaskan melalui dua cara yang dipanggil katarsis ( melalukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan bersukan ) atau aktiviti ekspresif dengan meluahkan perasaan, bersembahyang, menulis surat, bercakap dengan kawan dan sebagainya. Meluahkan perasaan akan menjadikan manusia itu lebih selesa berbanding dengan menyembunyikan perasaan diri sendiri.

  • Mengenal pasti punca tekanan. Ambil masa untuk menganalisis tekanan. Fikirkan secara mendalam. Antara cara yang boleh dibuat termasuklah menulis punca tekanan setiap hari sebelum tidur. Selain itu, kita perlu bertindak menyibukkan diri untuk melupakan tekanan. Cara ini adalah cara yang baik dan berkesan kerana punca masalah masih wujud dan tidak ditangani. Contohnya masalah perubahan fizikal yang menyebabkan tubuh badan berasa tidak selesa seperti muka berjerawat, misai mula tumbuh dan sebagainya. Cara yang boleh kita dilakukan adalah dengan membanyakkan pembacaan tentang perubahan biologi tubuh badan yang akan dialami oleh remaja selepas baligh.

  • Bezakan antara perkara yang boleh dikawal daripada yang di luar kawalan anda. Jangan terlalu memikirkan perkara yang di luar kawalan kita seperti sikap orang terhadap kita, Sebaliknya kita boleh mengubah sikap dan tanggungjawab kita terhadap orang lain. Tindakan ini sebenarnya banyak membantu untuk meredakan tekanan.

  • Jangan asyik memikirkan perkara lepas kerana hal ini tidak boleh diubah lagi, Sebaliknya rancang masa hadapan dengan baik supaya perkara yang dikesalkan tidak berulang. Berikan tumpuan pada perkara yang boleh dilakukan dan belajar mendisiplinkan diri untuk meneruskan tindakan mengatasi tekanan. Pelajar harus berani mengatasi dan menghadapi masalah. Melarikan diri daripada masalah bukan jalan penyelesaian terbaik kerana hanya bersifat sementara dan masalah masih beterusan.

Semua orang mempunyai masalah. Jika kita berasa hidup kita susah, ada orang yang lebih susah dan malang daripada kita. Hidup ini sebenarnya tidak mudah, tetapi kita masih boleh begembira dan bersyukur dengan apa-apa yang dimiliki.

Contoh terbaik ialah orang kurang upaya. Mereka tidak memandang kekurangan diri sebagai kelemahan, tetapi memberikan tumpuan pada kelebihan yang dimiliki untuk meneruskan hidup sebaik nasib orang lain.

Setiap manusia mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, gunakan kelebihan ini untuk meancang masa hadapan dengan lebih baik.

























Thursday, July 29, 2010

Mencari Formula Kejayaan



Cerita gagak yang kehausan di sebuah kawasan gersang sering kita dengar sewaktu masih kecil, sama ada diceritakan oleh ibu bapa atau melalui bacaan buku cerita kanak-kanak. Kisah tersebut berkisar tentang kegigihan seekor burung gagak yang mencari air kerana kehausan. Namun begitu, setelah puas terbang ke sana ke mari mencari air di kawasan gersang itu, gagak itu masih tidak menemukan air. Keadaan yang kering dan gersang itu disebabkan oleh musim kemarau yang melanda kawasan tersebut. Hujan sudah lama tidak turun sehingga banyak sungai yang kering.




Setelah puas berusaha, burung itu berasa kepenatan dan berhenti rehat di dahan sebatang pokok. Ketika itulah gagak terlihat sebuah balang yang mengandungi sedikit air di dalamnya. Malangnya muncung balang itu agak sempit dan panjang pula. Paruh gagak tidak dapat sampai pada air didalam bekas itu dan agak mustahil pula untuk gagak dapat minum air tersebut.



Oleh sebab kehausan yang amat sangat, gagak itu mula berfikir, lalu mendapat satu idea. Gagak tersebut terbang dan mengutip batu-batu sehingga air di dalam balang tersebut naik ke paras muncung balang. Dengan mudah gagak dapat minum sepuas-puasnya dan bangga dengan kebolehannya. Tindakannya itu menyebabkan gagak tersebut terselamat daripada mati kehausan.



Kisah gagak itu ialah cerita teladan yang harus dijadikan panduan oleh pelajar yang jauh lebih baik ciptaannya berbanding dengan makhluk lain di dunia ini. Jika makhluk lain hanya diberikan nafsu sebagai panduan hidupnya, manusia pula dijadikan Tuhan dengan pelbagai keistimewaan, terutamanya diberi akal fikiran supaya manusia mampu berfikir dan mencorakkan hala tuju kehidupannya. Timin dan pisau di tanggan kita, terserah sama ada kita mahu memotong timun itu bulat-bulat atau panjang-panjang. Kita yang menentukan nasib hidup kita.



Cerita burung tersebut mungkin cerita rakyat yang diubah suai bagi menyedapkan jalan cerita seperti kisah sang kancil dengan buaya dan kisah little Mermaid dalam mitos orang Barat. Namun demikian, sekiranya diperhalus, bukan jalan cerita yang menjadi rujukan atau penyedap telinga, tetapi kisah teladan yang harus menjadi panduan kita, khususnya bagi manusia yang mahu berfikir.



Sebagai pelajar, apakah yang harus diambil daripada kisah gagak itu? Adakah pelajar hanya ketawa atau tersenyum apabila membaca cerita tersebut? Adakah pelajar hanya menjadi penyampai cerita kepada adik-adik tentang kisah gagak itu?



Aktiviti membaca bukanlah sekadar membaca secara membuta tuli atau seperti burung kakaktua yang pandai bercakap, tetapi tidak mengetahui maksud kata-kata yang diucapkannya. Pelajar harus melihat lebih daripada yang tersurat dalam kisah gagak itu. Yang tersirat daripada kisah teladan itu ialah KEGIGIHAN gagak tersebut apabila berhadapan dengan keadaan yang sukar dan kesungguhannya berusaha mendapatkan apa-apa yang diinginkan, tanpa mengenal erti putus asa.



Sehubungan dengan hal itu, pada 2010, pelajar mungkin akan menduduki peperiksaan yang penting. Peperiksaan yang besar seperti PMR, SPM, STPM ialah peperiksaan yang akan mengarahkan hala tuju pelajar dalam menentukan masa hadapan yang cerah atau sebaliknya.



Itulah fokus utama pelajar yang harus dititikberatkan pada 2010 ini berbanding dengan perkara-perkara yang lain. Jika pelajar menyenaraikan 10 perkara yang harus dijadikan keutamaan sepanjang tahun ini, maka "kecemerlangan dalam peperiksaan" perlu diletakkan ditempat paling atas.



Untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, kepintaran atau akal fikiran kita hanya satu peratus daripada kejayaan kita. Sebaliknya, 99 peratus ialah usaha daripada keringat kita sendiri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pelajar perlu lebih gigih berusaha, lebih rajin membaca, mempunyai strategi, banyak bertanya, dan pelbagai lagi tindakan proaktif, bagi menjamin kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan.



Gabungan antara kecemerlangan merangka strategi dengan kegigihan berusaha sudah pasti menjanjikan kejayaan bagi pelajar. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kepintaran atau akal fikiran hanya mewakili sebahagian kecil daripada kejayaan dan yang paling utama ialah usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu.



Kebanyakan manusia yang berjaya pada hari ini ialah manusia yang rajin berusaha. Manusia seperti ini ingin yang terbaik dan memperbaik keadaan hidupnya daripada "biasa" kepada keadaan yang luar biasa.



Pelajar perlu berusaha mencontohi individu yang berjaya seperti Nicol Ann David. Lihat sahaja usahanya setiap hari sehingga kini mampu menjadi pemain dunia terbaik dan mampu mengubah kedudukannya dalam carta pemain skuasy di dunia.



Pelajar harus menjadikan golongan seperti ini sebagai teladan agar pelajar juga mampu mencapai kejayaan sepertinya. "Tidak ada kejayaan yang datang bergolek". Setiap kejayaan memerlukan usaha tanpa mengenal erti jemu dan putus asa. Berusahalah dan terus berusaha untuk mengejar kejayaan. Semakin gigih pelajar mengejar sesuatu kejayaan, maka semakin dekat kejayaan akan menghampiri pelajar.



Cuba pula pelajar lihat sikap rakyat Jepun yang berusaha bangun sebagai bangsa dan negara yang maju. Kini, negara Jepun dapat berdiri sebagai negara maju sehingga menjadi contoh kepada negara-negara lain di dunia. Peristiwa pengeboman Nagasaki dan Hiroshima cukup menyiksakan seluruh bangsa Jepun. Cuba fikirkan, bagaimanakah Jepun mampu bangkit?



Bangsa Jepun yang mempunyai semangat jati diri yang kuat sebagai bangsa yang ingin maju dan menebus kekecewaan yang pernah dialaminya. Setiap kegagalan ada hikmahnya dan kekecewaan itulah sesuatu yang perlu ditebus dan bukan untuk ditangisi.



Kepintaran ialah anugerah Tuhan yang boleh diasah. Apabila seseorang individu banyak membaca, pasti kepintarannya akan terserlah. Itulah sahaja kuncinya. Kadangkala terdapat individu yang dianugerahkan oleh Tuhan dengan kepintaran luar biasa, seperti Adi Putra yang mampu menyelesai masalah matematik yang sukar sehingga menjadi rujukan orang ramai, termasuk peringkat IPT. Kepintaran yang luar biasa itu merupakan anugerah Tuhan. Tuhan memberi peluang kepada manusia agar dapat berfikir tentang kekuasaan-Nya yang mampu menjadikan apa-apa yang Dia inginkan terhadap hamba-Nya.



Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa yang berada pada tahap majoriti manusia. Kita perlu melihat kepintaran yang dimiliki harus dipupuk dan dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin.



Yang paling penting, berusahalah dengan bersungguh-sungguh agar mendapat kejayaan yang diidamkan. Kepintaran sahaja tidak mencukupi untuk membawa manusia ke arah kejayaan. Ingatlah bahawa kepintaran hanya satu peratus daripada inspirasi dan 99 peatus ialah curahan keringat individu itu sendiri dalam menentukan kejayaan.