Saturday, August 14, 2010

PEDOMAN BAHASA 10

Kata Pemeri: ialah dan adalah


Saya sering melihat masalah KESALAHAN penggunaan kata pemeri ialah dan adalah dalam kalangan pelajar begitu ketara. Kebanyakan pelajar tidak dapat membezakan kedua-dua kata ini dengan tepat dan betul.
Oleh hal yang demikian pelajar harus merujuk kepada buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu ( DBP ), hlm 250 -252 ), pelajar akan mendapati beberapa hal yang ditekankan tentang penggunaan ialah dan adalah. Pertama, kedua-dua kata pemeri ini ada kalanya tidak perlu dalam ayat dan ada kalanya bersifat pilihan. Contohnya:
  1. Bapa saya ialah guru. ( Boleh juga : Bapa saya guru )
  2. Kenyataan itu adalah tidak benar. ( Boleh juga : Kenyataan itu tidak benar )

Perkara kedua yang perlu diingat ialah kata pemeri ialah hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Kata pemeri adalah pula hanya boleh diikuti oleh kata atau frasa sendi nama atau frasa adjektif. Untuk lebih jelas lihat beberapa contoh berikut:

  • Anak ialah anugerah Allah. ( anugerah Allah: frasa nama )
  • Masalah kita sekarang ialah kekurangan modal. ( kekurangan modal : frasa nama )
  • Keputusan panel hakim adalah muktamad. ( muktamad : adjektif )
  • Matlamat penubuhan tabung itu adalah untuk membantu pelajar miskin. ( untuk membantu pelajar miskin: frasa sendi nama )

Selain itu, ditekankan juga bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembetukan ayat bahasa Melayu. Seperkara yang perlu diingat ialah bahawa kata pemeri TIDAK BOLEH hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Kerana itu jugalah kata pemeri tidak harus digunakan pada awal ayat, seperti yang lazim digunakan, terutama dalam ayat yang berbentuk makluman dan perisytiharan. Contohnya:

  • Untung rugi syarikat adalah bergantung pada kebijaksanaan pihak pengurusan. (salah)
  • Untung rugi syarikat bergantung pada kebijaksanaan pihak pengurusan. (betul)
  • Kejayaan projek itu adalah terletak pada setiap individu yang terlibat. (salah)
  • Kejayaan projek itu terletak pada setiap individu yang terlibat. (betul)
  • Adalah dimaklumkan bahawa sekolah akan ditutup esok. (salah)
  • Dengan ini dimaklumkan bahawa sekolah akan ditutup esok. (betul)
  • Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. (salah)
  • Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. ( betul)

No comments:

Post a Comment