Monday, August 16, 2010

PEDOMAN BAHASA 11

  • "Menemui", "Menemukan" dan Mempertemukan"

Antara ketiga-tiga patah kata tersebut, yang lebih kerap pelajar guna atau anda baca ialah menemui dan mempertemukan. Kata menemukan barangkali tidak pernah anda gunakan. Namun, kata tersebut terdapat dalam kamus. Ketiga-tiga patah kata itu mempunyai makna yang berlainan. Oleh hal itu konteks penggunaannya berlainan juga.

Sebelum kita merujuk kepada kamus untuk memastikan makna dan konteks penggunaan setiap kata itu, marilah kita bincangkan penggunaan yang biasa ditulis oleh pelajar.

  1. Ibu bapa menemui Pengetua untuk membincangkan kemajuan pelajaran anak-anak mereka.
  2. Polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu di tepi sebuah estet.

Betulkah penggunaan kata menemui dalam kedua-dua ayat di atas? Sekarang mari kita merujuk kamus.

DALAM KAMUS DEWAN, Kata menemui diberi makna:

  1. bertemu dengan, berjumpa dengan;
  2. pergi bertemu dengan, mengunjungi, menziarahi, melawat.

Cuba pelajar masukkan makna tersebut dalam ayat 2 tadi. Timbullah makna bahawa "Polis bertemu dengan kereta yang ditinggalkan oleh perompak=perompak itu di tepi sebuah estet" ATAU "Polis mengunjungi kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu". Tepatkah maknanya?

Dengan mudah anda mengatakan TIDAK. Sebabnya kita biasa bertemu dengan manusia, tetapi kita tidak bertemu dengan objek tidak bernyawa. Jadi kita tidak boleh mengatakan:

  • Pasukan tentera menemui markas komunis di tengah hutan.

Kalau kata menemui SALAH penggunaannya dalam ayat di atas. Apakah kata yang TEPAT. Jawabnya ialah kata menemukan. Dalam kamus kata tersebut diberi makna:

  1. berjumpa dengan apa yang dicari, mendapat, mendapati.
  2. mengalami, menderita.

Kalau makna pertama kata itu diterapkan dalam ayat di atas barulah ayat-ayat itu betul maknanya.

  • Polis menemukan kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu di tepi sebuah estet.
  • Pasukan tentera menemukan markas komunis ditengah hutan.
  • Sarjana sastera itu menemukan ciri-ciri persamaan yang banyak dalam karya-karya sastera lama.
  • Ahli-ahli perubatan belum menemukan ubat yang berkesan untuk rawatan penyakit AIDS.

Anda mungkin berasa janggal untuk menggunakan kata tersebut. Kejanggalan itu dapat anda atasi secara beransur-ansur apabila anda membiasakan penggunaannya. Berpeganglah kepada falsafah "Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul".

Kata mempertemukan pula bererti "membawa supaya bertemu". Contoh penggunaannya ialah:

  • Majlis itu mempertemukan saya dengan sepupu saya yang sudah sekian lama tidak saya temui.


1 comment:

Roy Keller said...

Greatt reading your blog

Post a Comment