"Memperhatikan" atau "Memerhatikan"
SERINGKALI timbul kekeliruan tentang penggunaan kata memperhatikan. Dalam bahasa tulisan dan pertuturan, kedua-dua bentuk itu ada digunakan, yang lebih lazim barangkali ialah bentuk memerhatikan. Soal memperhatikan atau memerhatikan ini soal tatabahasa. Dalam tatabahasa, ada dihuraikan proses pengimbuhan untuk menerbitkan kata-kata lain.
Mungkin tidak banyak orang yang menduga bahawa persoalan tatabahasa dapat diselesaikan dengan bantuan kamus. Kamus juga ada memberi maklumat tatabahasa, tetapi cara maklumat itu disampaikan berlainan daripada cara yang terdapat dalam buku tatabahasa.
Dalam menentukan manakah bentuk yang betul, perlu kita menggunakan bantuan kamus. Cari kata perhati yang letaknya tentu di bawah huruf p. Anda tidak temukan kata perhati. Sahlah tidak ada kata perhati. Yang ada kata hati.
Di bawah kata hati ada berhati, berhati-hati, memperhatikan, pemerhatian dan perhatian. Barulah kemudian anda tahu mengapa bentuk yang betul ialah memperhatikan bukan memerhatikan. Oleh sebab tidak ada kata perhati, maka tidak mungkin timbul bentuk memerhatikan. Cuba anda perhatikan beberapa contoh penerbitan kata yang huruf awalnya p:
pukul ---------> memukul
pasang -------> memasang
perang -------> memerangi
palsu ---------> memalsukan
Semua huruf "p" pada awal kata bertukar menjadi "m" apabila kata itu mengalami imbuhan awalan. Jadi, jika ada kata perhati akan terbitlah kata memerhatikan. Tetapi oleh sebab TIDAK ADA kata itu, maka SALAHlah kata memerhatikan itu.
Yang sebenarnya berlaku ialah kata hati menerima awalan memper lalu terbentuk kata memperhatikan. Cuba lihat proses pembentukannya:
hati ---------> memper + hati + kan ( memperhatikan )
Bentuk-bentuk lain yang mengalami proses yang sama ialah:
mempersoalkan --------- BUKAN -------- memersoalkan
mempertikaikan ---------BUKAN -------- memertikaikan
memperkatakan ---------BUKAN -------- memerkatakan
memperisterikan -------- BUKAN -------- memeristerikan
memperbuat ------------ BUKAN -------- memerbuat
Jadi jelaslah bahawa penentuan BETUL atau SALAH sesuatu bentuk kata terbitan dapat ditentukan dengan berpandu kepada kamus. SEKARANG ANDA PATUT MEMPERHATIKAN dan BUKAN MEMERHATIKAN isi kamus.
No comments:
Post a Comment