Sajak: KETENANGAN
( Nor Rasidah Mohd )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Aku terus berjalan
tanpa menghiraukan rintangan
cabaran yang menghalang
air mataku menitis
jiwaku meraba
hatiku terseksa
mencari ketenangan jiwa.
Penyajak berusaha untuk mencari ketenangan dalam dirinya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan kesusahan.
Ketenangan
kini kutemuimu
suasana sepi menjadi riang
suasana gelap menjadi terang.
Penyajak telah menemui ketenangan yang dicari-cari sehingga kesepian yang dialami selama ini diganti dengan kegembiraan dan sesuatu yang kabur menjadi jelas.
Kini kusedari
bahawa ketenangan
bukan datangnya
dari kesenangan
kekayaan dan kemewahan.
Kini penyajak sedar bahawa setiap ketenangan dalam diri seseorang bukan diperoleh dengan cara mencapai kekayaan dan kemewahan hidup.
Berilmu dan beriman
di situ ia datang
menjadi jiwaku tenteram
apabila aku mendekati-Nya.
Penyajak menjelaskan bahawa ketenangan sebenarnya dapat dicapai dengan cara memantapkan ilmu dalam diri dan menguatkan keimanan terhadap tuhan. Keadaan ini menjadikan jiwa penyajak tenang apabila mengamalkan kedua-dua perkara tersebut.
Tema:
Sajak ini mengemukakan tema tentang ketabahan hati seseorang mencari ketenangan dalam hidup - Penyajak berusaha mencari ketenangan dalam hidupnya sehingga beliau berjaya menemuinya.
Persoalan:
- Persoalan kegigihan bagi mendapatkan sesuatu yang diinginkan - Penyajak gigih berusaha untuk mencari ketenangan dalam hidupnya walaupun menghadapi pelbagai dugaan.
- Persoalan dapat menghilangkan segala kesepian dan kedukaan dalam hidup - masalah kesepian dan kesedihan penyajak berjaya diatasi apabila beliau menemui ketenangan hidup.
- Persoalan kemewahan dan kekayaan hidup tidak menjanjikan ketenangan dalam hidup seseorang.
- Persoalan menuntut ilmu dan meneguhkan keimanan terhadap tuhan merupakan jalan terbaik bagi mencapai ketenangan.
Bentuk:
1. Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
2. Rima akhir adalah bebas.
3. Jumlah baris serangkap bebas
- Contoh: Rangkap 1 - tujuh baris, Rangkap 2 - empat baris dan sebagainya.
4. Jumlah perkataan dalam satu baris antara satu hingga empat patah kata.
5. Jumlah suku kata dalam satu baris antara empat hingga sepuluh suku kata.
Gaya Bahasa:
1. Anafora
- Suasana sepi menjadi riang
- Suasana gelap menjadi tenang ( R 2 b3 dan 4 )
2. Sinkope
- Kini kutemuimu ( R2 b2 )
3. Asonansi
- Kekayaan atau kemewahan ( R3 b5 ) Pengulangan vokal 'a'
4. Aliterasi
- Tanpa menghiraukan rintangan ( R1 b2 ) Pengulangan konsonan 'n'
Nada:
Nada sajak ini ialah romantis.
Nilai:
1. Nilai kegigihan.
- Penyajak gigih berusaha untuk mencari ketenangan diri.
2. Nilai ketabahan.
- Penyajak tabah menghadapi segala cabaran dan kesusahan dalam usaha mencari ketenangan dalam diri.
Pengajaran:
- Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan - penyajak berusaha untuk mencari ketenangan dalam hidup.
- Kita hendaklah meneguhkan keimanan kita kepada tuhan untuk mendapatkan ketenangan - penyajak berjaya menemui ketenangan yang dicarinya dengan cara meneguhkan keimanan kepada tuhan.
- Kita hendaklah sedar bahawa kemewahan dan kekayaan mampu memberi segala keinginan kita - ketenangan diri tidak dapat dicapai dengan kemewahan hidup.
- Kita hendaklah sentiasa menuntut ilmu walau di mana sahaja kita berada.
1 comment:
Nota yang bagus sangat. Terima kasih!
Post a Comment