Sunday, March 13, 2011

Sajak: Warkah Kepada Generasi

Sajak: WARKAH KEPADA GENERASI
( Amiruddin Md Ali Hanafiah )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum
Generasiku tercinta
kalian adalah kelompok bertuah
yang sempat berteduh di langit alaf baru
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
di tanah merdeka milik abadi kita.
Penyajak menjelaskan bahawa generasi muda sebagai golongan yang beruntung kerana hidup pada zaman sekarang. Mereka hidup sebagai bangsa yang bermaruah di negara yang merdeka.
Generasiku yang bijak bestari
ini bumi suci perjuangan nenek moyang
yang bersumpah setia memartabatkan bangsa
mendaulatkan tanah air, mencipta kebebasan
membina istana merdeka yang kalian alami.
Penyajak mengingatkan generasi muda yang berilmu bahawa negara yang dialami oleh mereka sekarang merupakan hasil perjuangan nenek moyang mereka yang berusaha mendapatkan kemerdekaan negara.
Penutup warkah ini
inginku ingatkan: jangan biarkan akar sejarah
tercabut dari bumi bertuah ini.
Penyajak mengakhiri pesanannya agar kita semua tidak melupakan sejarah negara.
Tema:
Sajak ini mengemukakan tema peringatan dan pesanan kepada golongan muda / generasi sekarang tentang sejarah kemerdekaan negara.
Persoalan:
  1. Persoalan generasi muda yang bertuah kerana dapat hidup di sebuah negara yang merdeka.
  2. Persoalan kemerdekaan negara merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita.
  3. Persoalan kepentingan sejarah kemerdekaan negara.

Gaya Bahasa:

1. Metafora

  • tanah merdeka ( R1 b5 )
  • istana merdeka ( R2 b5 )
  • akar sejarah ( R3 b2 )

2. Sinkope

  • ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah ( R3 b2 )

3. Asonansi

  • dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah. ( R1 b4 ) perulangan vokal 'a'

4. Aliterasi

  • tercabut dari bumi bertuah ini ( R3 b3 ) Perulangan konsonan 't'

Nada:

Sajak ini bernada patriotik

Bentuk:

  1. Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
  2. Rima akhir bebas.
  3. Jumlah baris serangkap bebas. Contoh: R1 - 5 baris, R2 - 5 baris dan Rangkap 3 -3 baris.
  4. Jumlah perkataan sebaris adalah antara dua hingga tujuh patah kata.
  5. Jumlah suku kata sebaris adalah antara tujuh hingga enam belas suku kata.

Nilai:

1. Nilai kesyukuran.

  • Penyajak mengajak generasi muda bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara.

2. Nilai pengorbanan.

  • Nenek moyang kita sanggup berkorban demi mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah.

3. Nilai cinta akan negara.

  • Semangat cinta akan negara amat penting dalam diri seseorang agar kita sama-sama dapat berusaha untuk memajukan negara.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menghargai nikmat kemerdekaan negara agar kita tidak lupa untuk mempertahankannya.
  2. Kita perlu sanggup berjuang dan berkorban demi kemerdekaan negara.
  3. Kita seharusnya sedar betapa pentingnya kemerdekaan kepada negara agar negara kita tidak lagi dijajah pada kemudian hari.
  4. Kita janganlah lalai dengan nikmat dan kesenangan yang kita nikmati selama ini kerana kelalaian tersebut boleh menyebabkan kita kembali dijajah oleh musuh.

No comments:

Post a Comment