Tuesday, January 4, 2011

Prosa Tradisional: Hikayat Dua Geliga Hikmat

Prosa Tradisional
( Hikayat Dua Geliga Hikmat )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Mengisahkan seorang anak raja bernama Inderaputera yang mengembara sehingga berjumpa dengan Tasik Semendera Jin yang amat besar. Pasir di sekeliling tasik daripada emas urai dan batunya daripada permata yang sangat indah. Inderaputera berasa amat takjub. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati sedangkan tiada manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksaksa di tasik itu namun Inderaputera tidak berasa gentar. Kemudian keluarlah raksaksa dari tasik. Inderaputera pura-pura tidur. Apabila raksaksa ingin menindih Inderaputera, Inderaputera bingkas bangun dan mencengkam rambut raksaksa. Raksaksa merayu agar Inderaputera melepaskannya dan sanggup memenuhi permintaan Inderaputera. Raksaksa telah memberikan batu geliga Mayan Bedi kepada Inderaputera. Batu geliga itu boleh digunakan untuk menghasilkan angin, ombak, kilat atau petir dengan cara menyeru nama raksaksa itu. Inderaputera telah melepaskan rambut raksaksa. Inderaputera menyatakan bahawa dia ingin pergi ke Berma Sakti. Raksaksa memberitahu di situ tempat seorang puteri yang cantik iaitu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran dan dayang-dayangnya datang bersiram. Raksaksa berpesan agar Inderaputera menyorokkan baju tuan puteri semasatuan puteri mandi. Inderaputera melakukan perkara yang disuruh oleh raksaksa. Tuan puteri merayu agar Inderaputera memulangkan bajunya. Inderaputera meminta tuan puteri bersumpah sebelum dia memulangkan baju tersebut. Inderaputera meminta tuan puteri memberikan gemala hikmat yang ada di mahligai tuan puteri. Tuan puteri berjanji akan menyerahkannya dan meminta Inderaputera datang ke mahligainya. Istana tuan puteri dikawal rapi oleh seekor harimau, seekor badak, seekor naga, seekor geroda dan raksaksa yang terlalu hebat. Inderaputera berjaya mengatasi semua halangan itu dan berjaya sampai ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Seperti yang dijanjikan, tuan puteri telah memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Tema:

  • Pengembaraan seorang anak raja
Inderaputera sanggup menghadapi segala rintangan untuk sampai ke Berma Sakti bagi mendapatkan batu gemala hikmat.


Persoalan:
  1. Persoalan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu hasrat. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan Tuan Puteri.

  2. Persoalan keberanian menghadapi musuh. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.

  3. Persoalan berpegang kepada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak dan Perwatakan:

Watak Utama:

Inderaputera

  • Ayahandanya Maharaja Bikrama Puspa

  • Bondanya Puteri Jamjam Ratna Dewi

  • Paras rupa yang menarik

  • Bijaksana. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan tuan puteri.

  • Berani. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.

  • Berpegang pada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak Sampingan:

Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran

  • Ayahandanya Maharaja Syah Tokan

  • Tunangan Raja Mengerna Lela Dewa

  • Rupa paras yang amat cantik

  • Berpegang pada janji. Tuan Puteri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera sebagaimana yang dijanjikan.

Latar:

Latar Tempat:

(i) Tasik - tempat peri tinggal.

(ii) Mahligai - tempat tinggal Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran

(iii) Balai Rangga Puspa Berahi - tempat yang disediakan oleh Tuan Puteri kepada Inderaputra


Latar Masa:

(i) Waktu fajar - Tuan Puteri datang ke tepi tasik untuk kali ke tujuh

(ii) Waktu malam - Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran mengenakan baju antakesuma dan pakaian yang sangat cantik

(iii) Tengah malam - Inderaputera duduk bersembunyi di tepi tasik menunggu kedatangan Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran


Latar Masyarakat:

(i) Masyarakat feudal - Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja

(ii) Masyarakat yang menepati janji. Peri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikannya jika Inderaputera melepaskannya


Nilai:

  1. Nilai keberanian. Contohnya, Inderaputera berani menghadapi raksaksa walaupun telah diberi amaran oleh mayat.

  2. Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Inderaputera berpura-pura tidur semasa raksaksa keluar dari tasik dan mengambil peluang mencengkam rambut raksaksa semasa raksaksa ingin menindihnya.

  3. Nilai menempati janji. Contohnya, Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menepati janji dengan memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah berani dalam menghadapi situasi yang mencabar. Inderaputera tidak gentar menghadapi peri sehingga dapat menangkap peri tersebut.

  2. Kita hendaklah menggunakan akal dalam apa-apa situasi. Inderaputera mencuri baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dapat bertemu Tuan Puteri.

  3. Kita hendaklah berpegang pada janji. Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikan.

No comments:

Post a Comment