Saturday, January 8, 2011

Cerpen: Anak Penggunting Rambut

ANAK PENGGUNTING RAMBUT
( Nor Hidayah Asari )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Cerpen "Anak Penggunting Rambut" mengisahkan seorang ayah yang mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Manisah. Manisah merupakan seorang anak yang berambut pendek seperti kanak-kanak lelaki dan mempunyai nama panggilan. Manis. Wajahnya comel dan suka tersenyum walaupun sedang sakit. Ayah berasa Manis lebih baik berambut pendek kerana dia selalu pening dan pitam.
Manis bangga mempunyai ayah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut walaupun ayah sudah berusia enam puluh lima tahun kerana kebanggaan itu, rambut Manis akan digunting oleh ayah sehingga mencecah usia remaja. Ayah Manis terkenal dengan panggilan Mat Gunting di Kampung Batu 25, Bagan Datoh. Apabila ayah diterima menjadi peneroka FELDA, beliau menggambil upah menggunting rambut setelah pulang dari ladang.
Ketika Manis berada di tadika, kawan-kawannya sering mentertawakan pekerjaan ayahnya sebagai penggunting rambut. Namun demikian, ayah akan menceritakan kesusahannya mencari rezeki di kampung dengan melakukan banyak pekerjaan termasuk menggunting rambut meskipun pendapatannya tidak seberapa. Ayah juga menceritakan rezeki sebagai penggunting rambut sudah sebati dengan hidup sejak kali pertama belajar menggunting rambut.
Manis sangat suka berambut pendek. Bagi Manis, rambut pendek telah membawa kemenangan yang bermakna dalam hidupnya ketika berada di tadika. Sejak itu, Manis selesa dengan berambut pendek dan ayah terpaksa menuruti kemahuannya. Kebanyakan orang berpendapat bahawa ayah telah membentuk peribadi Manis berperwatakan lelaki disebabkan rambutnya yang pendek. Namun begitu ayah menyenanginya apatah lagi Manis menghargai titik peluh ayah sebagai tukang gunting. Selepas kematian isterinya, ayah sibuk mengambil alih tugas di dapur dan menjaga anak-anaknya hingga terlupa menggunting rambut Manis.
Ayah akan mengenakan upah menggunting rambut sebanyak lima puluh sen untuk kanak-kanak dan seringgit untuk orang dewasa. Wang upah tersebut diletakkan di dalam bekas kelengkapan gunting rambut dan disangkut pada dinding. Ayah tahu Manis selalu mengambil antara dua puluh sen atau tiga puluh sen wang upah tersebut tetapi tidak memarahinya apabila mengetahui wang tersebut digunakan untuk membeli keropok lekor di kantin. Setelah menyedari wang belanja sekolah Manis tidak mencukupi, ayah telah menambahnya dengan syarat Manis tidak boleh lagi mengambil wang upah gunting tanpa kebenarannya.
Manis akan menunggu ayah pulang dari ladang sambil mengaturkan masa pelanggan yang datang. Apabila ayah pulang dari ladang, biasanya terdapat dua atau tiga orang pelanggan yang menanti kepulangannya. Manis akan membantu tugas-tugas lain seperti menyapu dan mengumpulkan rambut serta menyediakan cangkul untuk menggali lubang bagi menanam rambut-rambut yang digunting.
Di alam sekolah menengah, Manis masih berambut pendek walaupun dicemburi oleh ramai pelajar senior. Pada waktu cuti hujung bulan, Manis akan meminta ayahnya menggunting rambutnya mengikut gaya yang baru. Akhirnya, imej Manis berambut pendek telah menjadi ikutan rakan-rakannya tetapi tidak disenangi oleh warden asramanya.
Apabila meningkat dewasa Manis menyambung pelajarannya ke Kuala Lumpur. Sepanjang pengajiannya di universiti, Manis jarang-jarang pulang ke kampung. Manis cuma menelefon ayahnya dengan memberi pelbagai alasan untuk tidak pulang ke kampung.
Pada suatu hari, ayah mendapat panggilan telefon kecemasan daripada kawan Manis yang menyatakan Manis sakit dan berada di hospital. Manis disahkan mengidap leukemia sama seperti penyakit ibunya. Hati ayah menjadi sebak apabila mengusap helaian dan gumpalan rambut Manis yang gugur daripada kulit kepalanya. Kepala Manis kini sudah separuh botak.
Doktor memberi harapan tipis untuk Manis hidup dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Namun begitu, Allah lebih sayang akan Manis. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaan ayah. Pada akhir kalimat yang diucapkan oleh Manis kepada ayahnya masih terngiang-ngiang di telinga ayahnya betapa sehelai rambut Manis amat bermakna dan Manis tidak mampu menyimpannya lagi.
Tema:
Kasih sayang ayah terhadap anaknya. Ayah yang bekerja sebagai tukang gunting menyayangi anaknya, Manis dengan memenuhi kehendak anaknya untuk bergunting rambut hingga ke akhir hayat anaknya.
Persoalan:
  1. Persoalan berdikari untuk meneruskan kehidupan. Contohnya, Ayah meneruskan kehidupan menjaga Manisah setelah kematian isterinya.
  2. Persoalan prihatin dengan masalah anak. Contohnya, Ayah menambah wang saku anaknya setelah wang saku yang diberi tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian di sekolah.
  3. Persoalan menerima takdir Tuhan dengan tabah dan tenang. Contohnya, Ayah dan anak-anaknya redha menerima kematian Manisah akibat penyakit Leukemia.
  4. Persoalan mementingkan ilmu pengetahuan sebagai penyuluh hidup. Contohnya, Manisah sanggup meninggalkan keluarga di kampung untuk menyambung pelajaran di bandar.

Plot:

Permulaan

Pengarang memulakan cerita dengan memperkenalkan watak ayah sebagai tukang gunting yang dikagumi oleh anak perempuannya, Manis. Pekerjaan ayah sebagai tukang gunting bermula dengan kerja sampingan tetapi akhirnya menjadi tersohor di Bagan Datoh. Manis pula menjadi pelanggan ayahnya dengan gaya guntingan rambut pendek.

Perkembangan

Manis berbangga dengan kerjaya ayahnya, sebagai tukang gunting walaupun ditertawakan oleh kawan-kawannya. Kesetiaan Manis menemani ayahnya waktu bergunting rambut telah dikagumi oleh ayahnya. Manis mempunyai prinsip untuk mempertahankan rambut pendeknya walaupun sudah bersekolah menengah dan ditegur oleh warden asramanya. Setelah melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti, Manis tidak pulang ke kampungnya dan hanya sekadar menelefon ayahnya sahaja.

Klimaks

Manis disahkan mengidap penyakit leukemia oleh doktor. Dia hanya boleh hidup selama beberapa bulan sahaja. Ayah tersentuh hati apabila menerima perkhabaran itu.

Peleraian

Penyakit leukemia Manis bertambah parah. Manis akhirnya meninggal dunia. Ayah menerima suratan takdir Allah dengan mengenang kembali makna sehelai rambut Manis yang gugur akibat penyakit leukemia.

Teknik Penceritaan:

  1. Dialog. Contoh: "Mengapa abah teruskan juga menjadi penggunting rambut bila dah sampai ke sini?"
  2. Imbas kembali. Contoh: Aku masih ingat kali pertama dia ke tadika. Dia menangis.
  3. Monolog dalaman. Contoh: Kau tak rindukan pisau cukur yang pernah tergores di leher jinjangmu. Manis sudah lapan bulan abah tidak menggunting rambutmu.

Watak dan Perwatakan:

(i) Ayah

  • sudah berusia lewat 60-an
  • seorang bapa tunggal
  • rajin bekerja untuk menyara keluarganya
  • tabah menjalani tugasnya sebagai tukang gunting
  • memiliki bakat dan kepandaian menggunting rambut
  • hidup menduda setelah kematian isteri

(ii) Manisah

  • memiliki raut wajah yang comel
  • berpendirian tegas dan sanggup menghadapi risiko
  • berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran
  • rajin membantu orang lain
  • gemar berambut pendek

Latar:

Masa

  1. Petang - Ayah menanam rambut Manis di dalam satu lubang kecil selepas kematian Manis.
  2. Subuh - Waktu Manis meninggal dunia kerana penyakit leukemia.
  3. Waktu Siang - Waktu ayah bekerja di ladang, di kedai gunting rambut, dan Manis pergi ke sekolah.

Tempat

  1. Kampung Batu 25, Bagan Datoh - kampung asal ayah sebelum berpindah ke tanah rancangan FELDA
  2. Tanah rancangan FELDA - tempat ayah merantau untuk mencari penghidupan yang lebih baik.
  3. Tadika - Manis dan kumpulannya mengambil bahagian dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala dan memenangi acara tersebut.
  4. Asrama - Manis tinggal di asrama semasa bersekolah menengah.
  5. Hospital - tempat Manis dirawat kerana penyakit leukemia.

Masyarakat

  1. Masyarakat yang mementingkan sikap berdikari untuk kelangsungan hidup. Contohnya: Ayah yang berdikari mendidik anak-anaknya setelah kematian isterinya.
  2. Masyarakat peneroka FELDA yang dapat mengusahakan kerja sampingan. Contohnya: Ayah di samping menjadi peneroka sanggup menjadi tukang gunting rambut sebagai kerja sambilan.
  3. Masyarakat yang berani mempertahankan risiko. Contohnya: Ayah mempertahankan tindakannya memotong rambut Manisah hingga pendek walaupun dikritik oleh orang kampung.
  4. Masyarakat yang menerima takdir Tuhan dengan tabah. Contohnya: Ayah dan abang menerima takdir kematian Manisah dengan redha.

Gaya Bahasa:

  • Sinkope. Contohnya, Kau degil tetapi cepat menangis.
  • Kata ganda. Contohnya, Sampah-sarap, rakan-rakan, awal-awal.
  • Simile. Contohnya, Seperti Busut Hitam.
  • Personifikasi. Contohnya, Jari-jemari abah ini seperti menari-nari sendiri.

Nilai:

  1. Nilai Keberanian. Contoh: Manisah berani berambut pendek walaupun telah dipanggil dan ditegur oleh guru.
  2. Nilai Berdikari. Contoh: Ayah berdikari dalam mendidik anak-anak selepas kematian isterinya.
  3. Nilai Semangat Bermasyarakat. Contoh: Ayah sanggup meneruskan kerja menggunting rambut kepada peneroka dan anak peneroka walaupun bayarannya rendah.
  4. Nilai Kasih sayang. Contoh: Ayah sangat menyayangi Manisah sejak kecil hingga dewasa.
  5. Nilai Kerajinan. Contoh: Ayah rajin bekerja di ladang dan juga sebagai tukang gunting rambut pada sebelah petangnya. Manisah juga rajin menolong ayahnya membersihkan tempat menggunting rambut.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menerima ketentuan Allah. Contoh: Ayah menerima ketentuan Allah yang mengambil nyawa isterinya dan juga nyawa anaknya Manisah lebih awal.
  2. Kita hendaklah mendidik anak dengan sempurna. Contoh: Ayah mendidik anak-anaknya dengan baik walaupun tanpa isteri yang telah meninggal dunia.
  3. Kita hendaklah bersangka baik terhadap jiran. Contoh: Orang kampung memahami mengapa ayah memotong rambut Manisah hingga pendek.
  4. Kita hendaklah rajin belajar walaupun berjauhan dengan keluarga. Contoh: Manisah rajin belajar sehingga masuk universiti walaupun berjauhan dengan keluarga.

7 comments:

Anonymous said...

Minta izin copy . Tq

Cegu Dan said...

NOTA LENGKAP.. TERIMA KASIH

Anonymous said...

tak baik

Anonymous said...

tuhan tidak wujud

Anonymous said...

Dick/Pussy kau yang tidak wujud ....

Anonymous said...

life bruh

Anonymous said...

life sucks tho

Post a Comment