Thursday, May 3, 2012

Jawapan Ujian Selaras 2 Soalan 4

Industri pertanian memberikan sumbangan yang semakin penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Berikan saranan anda tentang peranan pelbagai pihak dalam memajukan industry pertanian di negara kita.

    Rancangan Malaysia Kesembilan yang direncanakan dan diuar-uarkan oleh kerajaan sejak awal tahun ini telah mendapat pelbagai reaksi. Sesetengah pihak mencetuskan kontroversi dengan mendakwa bahawa rancangan yang mengutamakan sektor pertanian itu adalah tidak wajar dalam arus globalisasi dan kepesatan pembangunan negara yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikan, jika kita perhatikan kronologi sejarah negara, industri pertanian merupakan tulang belakang ekonomi negara yang membolehkan Malaysia melangkah ke zaman 'Revolusi Perindustrian'. Hal ini sekali gus menjadi indicator yang sudah terang lagi bersuluh bahawa pertanian sememangnya adalah penting. Maka, pelbagai uslub dan minhaj perlu diambil oleh semua pihak kerana hal ini merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

    Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pertanian memberikan sumbangan yang penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh hal yang demikian, kerajaan memainkan peranan yang besar dalam menentukan hala tuju industri pertanian demi mencapai kemajuan. Kerajaan hendaklah menubuhkan lebih banyak institusi seperti Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia ( MARDI ) bagi menjalankan penyelidikan untuk mendapatkan baka yang baik serta produktif. Hal ini dapat dilakukan menerusi perkembangan sains dan teknologi yang pesat, iaitu kejuruteraan genetic. Bidang ini dapat menggabungkan pelbagai genetic berkualiti yang bervariasi daripada spesies-spesies tumbuhan atau haiwan untuk mengubah suai struktur nukleotida bagi mendapat bijih benih yang sangat berkualiti. Hal ini sememangnya membantu dalam kemajuan pertanian kerana baka baru yang terhasil itu mempunyai keimunan yang tinggi dan mampu melawan patogen berbahaya, disamping mengeluarkan hasil yang banyak sama ada buah-buahan, susu atau daging. Hal ini sesuai dengan slogan, 'bersekutu bertambah mutu'.

    Selain itu, kerajaan juga perlu memajukan pemasaran hasil pertanian melalui agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia ( FAMA ). Pemasaran yang dimaksudkan itu merangkumi pemasaran local dan antarabangsa yang melibatkan eksport. Penguryusan yang baik dalam organisasi pihak pemasaran dapat memastikan transaksi hasil pertanian berjalan lancar bagi meraih keuntungan yang lumayan. Kerajaan juga perlu lebih giat melaksanakan Dasar Pertanian Negara agar komoditi utama negara seperti getah dapat dieksport ke seantero dunia, melalui pemasaran yang mengikut prosedur yang betul.

    Di samping itu, kerajaan juga hendaklah mengadakan kursus dan intensif
bagi para petani di negara ini. Para petani perlu diberi pendedahan terhadap teknik pertanian yang berkesan. Mereka juga perlu dimaklumkan perihal kewujudan teknologi yang maju dan memudahkan pertanian, seperti jentera pembajak. Malahan, baja yang digunakan oleh mereka mestilah bersesuaian dengan tanaman serta mengikut sukatan yang betul. Hal ini dapat menambahkan kecekapan para petani agar dapat menghasilkan produk yang bermutu tinggi.

    Seterusnya,
kerajaan hendaklah memberikan bantuan modal dan subsidi kepada para petani. Majoriti petani berasal dari luar bandar dan berkemampuan untuk membiayai kos pertanian yang merangkumi biji benih, baja, jentera, dan mesin. Maka, kerajaan patut menyediakan jentera yang berharga beribu-ribu ringgit, selain menyediakan infrastruktur lain untuk para petani. Oleh hal yang demikian, taraf hidup petani dapat ditingkatkan dan hal ini menjadi pemangkin dan semangat kepada mereka untuk terus berbakti kepada tanah.

    Selain pihak kerajaan, institut pengajian tinggi swasta ( IPTS ) juga perlu berganding bahu memajukan bidang pertanian negara. IPTS di negara kita hendaklah menawarkan jurusan yang berkaitan dengan pertanian, seperti Sains Pertanian. Hal ini dapat memberikan pendedahan awal kepada para pelajar, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Para pelajar dapat mempelajari teknik-teknik dan kaedah-kaedah pertanian secara menyeluruh dan mendalam. Jurusan yang ditawarkan ini perlulah menarik dan menyakinkan para pelajar bahawa pertanian mempunyai prospek yang cerah dalam beberapa dasawarsa yang akan datang.

    Sementelahan itu, masyarakat amnya dan belia dan remaja khususnya, mestilah membetulkan tanggapan dan minda yang masih di takuk lama. Mereka hendaklah menyisihkan tanggapan bahawa sektor pertanian merupakan sektor yang tidak glamor serta tidak menjanjikan pulangan yang lumayan, sesuai dengan pepatah, ('buang yang keruh, ambil yang jernih'). Mereka seharusnya berfikiran secara matang dan rasional, bahawa pertanianlah yang menghasilkan makanan ruji negara kita. Mereka juga perlu mempunyai iltizam dan jati diri yang utuh agar tidak terpengaruh dengan arus pemodenan yang kononnya hanya mementingkan kemajuan sektor perindustrian dan teknologi maklumat.

    Tuntasnya, semua pihak perlulah berganding bahu dan bermuafakat memajukan sektor perindustrian, kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Kita tidak mahu titik hitam dalam sejarah negara berulang seperti pisang berbuah dua kali, apabila negara dilanda kemelesetan ekonomi pada tahun 1980-an. Pada masa yang genting itu, negara terpaksa mengimport makanan dengan harga yang tinggi, berikutan kadar inflasi yang meningkat. Kita perlu menyediakan payung sebelum hujan supaya krisis ini tidak berulang.

No comments:

Post a Comment