Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang
faedah-faedah belajar secara berkumpulan. Panjangnya huraian hendaklah
antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Dalam zaman yang penuh persaingan ini, para pelajar sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran demi mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Menetapkan matlamat, menyediakan jadual waktu yang praktikal, menghadiri kelas tuisyen dan mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh pelajar demi mencapai kejayaan. Namun belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar.
Belajar secara berkumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Seseorang pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga. Contohnya, seseorang pelajar yang bersikap malu tidak berani untuk bertanya kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya dan mengeluarkan buah fikiran mereka di depan rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan bukan sahaja dapat memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka langkah kepada pelajar untuk memajukan diri dalam pelajaran.
Selain itu, para pelajar dapat berkongsi ilmu secara lain melalui kaedah belajar secara berkumpulan. Mereka berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan tentang kemahiran menjawab dalam peperiksaan. Mereka boleh-berkongsi ilmu tentang sesuatu mata pelajaran dan menukarkan latihan atau buku rujukan. Contohnya, seseorang pelajar yang menghadiri kelas tuisyen akan menguasai kemahiran menjawab dengan lebih baik berbanding dengan seseorang pelajar yang tidak menghadiri kelas tuisyen. Melalui perbincangan secara berkumpulan, pelajar dapat mengukuhkan kemahiran menjawab mereka dan seterusnya mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam sesuatu mata pelajaran. Para pelajar turut dapat mengukuhkan dan memantapkan pemahaman mereka tentang sesuatu mata pelajaran.
Bak kata pepatah, "muafakat itu berkat", belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat kerjasama dalam diri pelajar di samping menerapkan nilai bertoleransi. Para pelajar dapat menyiapkan sesuatu kerja dengan cepat dan berkesan melalui semangat kerjasama yang dipupuk. Kerja rumah yang disiapkan lebih berkualiti dengan memuatkan pandangan atau pendapat rakan-rakan. Contohnya, seseorang pelajar dapat menghasilkan karangan yang baik dan berkualiti dengan adanya maklumat yang relevan dan pendapat daripada rakan. Natijahnya, belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat bersatu padu, mengeratkan hubungan sesama lain dan meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik.
Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan. Sebagai bakal pepimpin negara, kita seyogianya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.
SILA BACA DAN BETULKAN KESALAHAN BAHASA YANG TERDAPAT DALAM KARANGAN INI
No comments:
Post a Comment