Friday, October 29, 2010

Ke Mana Hala Tuju Anda Selepas SPM/STPM?

SELEPAS Menduduki peperiksaan SPM, persoalan yang perlu difikirkan ialah hala tuju yang seterusnya, sama ada mahu bekerja atau melanjutkan pelajaran. Perkara itu perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya sebelum membuat keputusan. Keputusan itu sangat penting dalam menentukan cerah gelapnya masa hadapan kita. Tersilap pertimbangan padahnya akan ditanggung seumur hidup.


Bagi yang selesai menduduki SPM anda masih muda! Jangan terlalu ghairah mengejar wang melalui kerja sambilan yang belum tentu dapat menjami masa hadapan yang cerah. Memang ada ungkapan yang menyebut bahawa tidak semestinya kita tidak dapat menjadi kaya tanpa pendidikan tinggi. Memang benar, tetapi kita harus sedar bahawa sekurang-kurangnya ilmu dapat membantu kita memperbaik taraf dan kualiti hidup pada masa hadapan.



Program Matrikulasi


Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, anda mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi. Program matrikulasi merupakan program persediaan khusus untuk pelajar antara satu hingga dua tahun sebelum melanjutkan pelajaran dalam kursus tertentu di peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang.


Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, mengelolakan sembilan buah kolej matrikulasi dan dua buah kolej MARA, iaitu Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kolej Matrikulasi Perlis, Kolej Matrikulasi Labuan, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Matrikulasi Perak, Kolej Matrikulasi Kedah, Kolej Matrikulasi Melaka, Kolej Matrikulasi Pahang, Kolej Matrikulasi ( MARA ) Kuala Nerang dan Kolej Matrikulasi ( MARA ) Kulim.


Antara program yang ditawarkan termasuklah perakaunan, ekonomi, pengurusan perniagaan, teknologi maklumat, pengurusan sumber manusia dan bidang lain yang ditawarkan oleh universiti awam di seluruh negara. Kolej matrikulasi turut menawarkan pengkhususan dalam bidang kimia, fizik dan biologi.


Maklumat lanjut tentang kelayakan, cara memohon, cara mendapatkan borang permohonan, tarikhi tutup permohonan, yuran kursus, proses pemilihan calon, keputusan permohonan dan tarikh pendaftaran dapat diperoleh melalui http://www.moe.gov.my/



Program Pengajian Asasi



Program pengajian asasi merupakan satu lagi peluang pendidikan yang dapat diteroka oleh pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM. Seperti program matrikulasi, program tersebut dijalankan antara satu hingga dua tahun sebagai persediaan melanjutkan pengajian peringkat diploma atau ijazah pertama dalam bidang tertentu di universiti tempatan atau luar negara.


Antara institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan program pengajian asasi termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Di UM, misalnya terdapat Program Asasi Sains, Program Asasi Alam Binaan dan Rancangan Persediaan Bahasa Jepun. Maklumat lengkap tentang program asasi yang ditawarkan oleh UM dapat diperoleh melalui http://asasi.um.edu.myshow.php/?ke=Brochure.


Yang berminat dalam dunia pertahanan pula dapat mengikuti Program Pengajian Asasi Pertahanan yang ditawarkan di UPNM. Antara program yang ditawarkan termasuklah Asasi Kejuruteraan Pertahanan, Asasi Sains dan Teknologi Pertahanan dan Asasi Pengurusan Pertahanan. Maklumat lanjut tentang syarat dan kemasukan dapat diperoleh melalui http://www.upnm.edu.my/media/v3/index.php?option=com_content&task=view&id=22&Itemid=42.


Program A-Level


Program A-Level disediakan oleh MARA khusus untuk pelajar bumiputera yang cemerlang SPM dalam akademik dan kokurikulum sebagai usaha meningkatkan bilangan profesional bumiputera dalam sains dan teknologi. MARA menyediakan biasiswa untuk calon yang terpilih mengikuti program persediaan yang disediakan di kolej tajaan MARA antara satu hingga dua tahun. Sekiranya lulus dengan cemerlang, pelajar itu akan ditaja untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah pertama di universiti terkemuka di luar negara. Program tersebut hanya akan diiklankan dalam akhbar tempatan, biasanya sebulan sebelum keputusan peperiksaan SPM diumumkan.


Program Diploma Kejururawatan


Lepasan SPM atau SPM (V) yang berminat menjadi jururawat dapat melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut melalui program Diploma Kejururawatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, institusi pengajian tinggi awam tertentu atau pihak swasta. Kelayakan akademik minimum yang diperlukan ialah lulus SPM/SPM(V)/STPM.


Bagi program Diploma Kejururawatan Kementerian Kesihatan, calon mestilah memperoleh kredit dalam Bahasa Melayu / Malaysia ( termasuk ujian lisan ), Matematik, Sains dan dua mata pelajaran lain. Iklan kemasukan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam semua akhbar berbahasa Melayu pada bulan Mac setiap tahun.


Pusat perubatan UM juga mentediakan program Diploma Kejururawatan untuk lelaki dan perempuan. Tempoh pengajian ialah tiga tahun. Calon mestilah mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu (termasuk ujian lisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan satu mata pelajaran lain. Calon juga dikehendaki mendapat kepujian dalam Sains Teras atau lulus dalam mata pelajaran Sains Tulin, sama ada Biologi, Kimia ataupun Fizik.


Program Biasiswa Kadet Akademik Laut Malaysia


Akademik Laut Malaysia ( ALAM ) merupakan institut pendidikan yang mengendalikan kursus profesional dalam bidang perkapalan serta peperiksaan yang berkaitan dengan kursus tersebut. Alam juga menerbitkan dan mencetak bahan bacaan tentang bidang perkapalan dan kelautan. Pada masa yang sama, ALAM menjalankan penyelidikan dalam bidang tersebut. ALAM turut menawarkan Program Biasiswa Kadet bagi lepasan SPM. ALAM menawarkan Diploma Kejuruteraan Marin dan Diploma Pengajian Nautikal (DNS) dengan biasiswa penuh. Maklumat lanjut tentang ALAM dapat diperoleh melalui http://www.alam.edu.my/ .


Institut Perguruan

Bagi lepasan SPM yang berminat menceburi bidang pendidikan, terdapat kira-kira 27 buah institut penguruan, seperti Institut Perguruan Darul Aman, Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Institut Perguruan Perlis, Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Institut Perguruan Ipoh dan Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia. Institut perguruan menawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah.


Maklumat lanjut tentang pengambilan calon dapat diperoleh di Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Aras 2 - 6, Blok E13, Komplek Kerajaan Parcel C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya.


Politeknik


Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, menyediakan kira-kira 18 ribu tempat untuk lepasan SPM, di samping 4000 tempat untuk lulusan sijil politeknik dan sijil kolej komuniti untuk melanjutkan pelajaran peringkat sijil dan diploma dalam bidang pendidikan dan vokasional. Ada 24 buah politeknik di seluruh negara, termasuklah Politeknik Ungku Umar, Ipoh, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Kuching, Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Politeknik Johor Bahru, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Kota, Melaka, dan Politeknik Kota, Kuala Terengganu.


Antara program yang ditawarkan termasuklah kejuruteraan awam, mekanikal dan elektronik, reka bentuk dan komunikasi visual, seni bina, kejuruteraan perkapalan, penyenggaraan pesawat, teknologi petroleum, teknologi maklumat, teknologi makanan, perdagangan, sains kesetiausahaan dan hospitaliti. Mulai sesi Januari 2008, Diploma Pengajian Perniagaan (e-commerce) ditawarkan di Politeknik Nilai dan Diploma Pengurusan Logistik pula diperkenalkan di Politeknik Sultan Ahmad Shah dan Politeknik Seberang Prai.


Yang paling menarik, politeknik juga menyediakan tempat bagi pelajar berkeperluan khas (masalah pendengaran) dari Sekolah Pendidikan Khas kelolaan Kementerian Pelajaran untuk lima kursus kemahiran. Program tersebut ditawarkan di Politeknik Ungku Umar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Johor Bahru.


Bagi yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang kursus yang ditawarkan dan senarai penuh politeknik yang terdapat di Malaysia, sila layari http://www.politeknik.edu.my.


Institut Kemahiran MARA ( IKM )


Di negara kita juga, terdapat pilihan pendidikan yang berteraskan kemahiran bagi yang mempunyai mempunyai bakat, minat dan kecederungan ke arah itu. Sebuah institus penting yang menawarkan pendidikan berkenaan ialah IKM. Antara bidang kemahiran yang ditawarkan termasuklah kejuruteraan elektronik, seni bina dan reka bentuk fotografi. Pengambilannya dilakukan berdasarkan SPM atau SPM (V) dan keperluan kelayakan minimum kursus yang dimohon.


Penawaran latihan dilakukan dua kali setahun, iaitu diiklan pada bulan September untuk kemasukan sesi Januari dan bulan Mac untuk sesi Julai. Borang permohonan dapat diperoleh dari Bahagian Pendidikan dan Latihan (Kemahiran MARA), Kolej Kemahiran Tinggi MARA, IKM dan pejabat MARA negeri dan daerah. Ada tidak kurang daripada 15 buah IKM di seluruh negara.


Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN)


Sebuah lagi institut pendidikan yang menawarkan pengajian berteraskan kemahiran ialah IKBN yang dikelolakan oleh Kementerian Belia dan Sukan. IKBN menawarkan pengajian yang berkonsepkan latihan bersepadu, merangkum latihan (teori dan praktikal), keusahawanan, ketatanegaraan, kepemimpinan, keagamaan, moral, sukan dan khidmat masyarakat.


IBKN terdapat di seluruh negara. Antaranya, IKBN Jitra, IKBN Perlis, IKBN Alor Gajah, IKBN Seri Iskandar, IKBN Bachok, IKBN Cembung, Negeri Sembilan, IKBN Dusun Tua, IKBN Kinarut, Sabah, dan IKBN Miri. Antara bidang pengajiannya termasuklah teknologi kejuruteraan automotif, teknologi kejuruteraan elektronik, teknologi komputer, teknologi kejuruteraan elektrik, teknologi kejuruteraan mekanikal, teknologi kejuteraan marin, teknologi kejuteraan awam, teknologi fotografi, teknologi binaan bangunan dan perkhidmatan profesional.

Di samping pengajian peringkat sijil, IKBN turut menawarkan pengajian peringkat diploma. Pengambilan sesi Januari dilakukan setiap bulan Oktober.

Institut Latihan dan Perindustrian (ILP)

ILP merupakan sebuah lagi institut pengajian yang berteraskan kemahiran. ILP dikelolakan oleh Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. ada lebih daripada 20 buah institut latihan kelolaan jabatan itu di seluruh negara, tidak termasuk empat buah Pusat Latihan Jepun Malaysia.

Bidang pengajian yang ditawarkan pula termasuklah pemesinan am, mekanik kenderaan motor, binaan bangunan, kimpalan/jurueletrik, teknologi perabot, juruteknik radio dan televisyen, dan mekanik penyenggaraan bekuan dan penyaman udara. Permohonan kemasukan ke ILP terbuka kepada lepasan SPM atau SPM (V). Maklumat lanjut dapat diperoleh melalui http://www.jtm.gov.my.

Institut Pengajian Tinggi Swasta

Lepasan SPM yang tidak mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam masih berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi swasta. Walau bagaimanapun, anda perlu bijaksana dalam memilih institut pengajian tinggi swasta sebelum membuat keputusan melanjutkan pelajaran. Selain menilai kemudahan dan prasarana pendidikan yang disediakan, pastikan bahawa institut tersebut diiktiraf oleh kerajaan. Hal ini penting supaya sijil atau diploma yang diperoleh diiktiraf untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi atau memasuki sektor pekerjaan kelak.

Peluang Pendidikan Lulusan STPM

Bagi lulusan STPM, tumpuan melanjutkan pelajaran sudah tentulah pengajian ijazah pertama dalam pelbagai bidang mengikut kelulusan, minat dan kecederungan masing-masing di universiti tempatan. Kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi awam itu diurus oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.

Syarat am atau kelayakan minimum kemasukan ke program ijazah pertama ialah sekurang-kurangnya lulus SPM/setaraf dengan mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai atau lulus Matrikulasi KPM/Asasi Sains UM dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.0.

Kementerian Pengajian Tinggi mengelolakan 20 buah universiti awam. Antaranya, UM,Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Maklumat tentang program atau bidang yang ditawarkan di setiap universiti dapat diperoleh melalui laman tersebut. Anda tidak perlu khuatir tentang cara mengisi borang secara dalam talian kerana di halaman itu juga, disediakan panduan melayari aplikasi dalam talian.

Bagi yang memilih untuk mengikuti ijazah Sarjana Muda Pendidikan, maklumat tentang Ujian MEdSI dan temu duga terdapat di laman itu. MEdSI ialah instrumen yang digunakan oleh institut pengajian tinggi awam dalam memilih individu yang sesuai untuk menjadi guru. Instrumen MEdSI mengandungi 300 item dalam empat bahagian, iaitu personaliti, minat kerjaya, nilai integriti dan kecerdasan emosi. Soalannya berbentuk aneka pilihan. Hanya calon yang berjaya dalam ujian itu akan ditemu duga untuk mengikuti program pengajian tersebut.

Pilihan di Tangan Anda

Sebenarnya, masih banyak maklumat tentang peluang pendidikan yang tidak dapat disebutkan satu per satu. Andalah yang bertanggungjawab untuk mencarinya untuk faedah dan kepentingan sendiri.

Apakah yang anda tunggu lagi? Buatlah keputusan dan bertindak dengan segera! Tentukan bidang pengajian dan pekerjaan yang ingin anda dalami dan ceburi, kemudian carilah maklumat tentang institut pengajian tinggi yang menawarkan bidang tersebut.

Buatlah pilihan yang bijak, sesuai dengan minat, kecederungan, kemampuan dan cita-cita sendiri supaya anda tidak menyesal pada kemudia hari. Ingatlah bahawa masa hadapan anda terletak di tangan anda sendiri!

4 comments:

Anonymous said...

Saya nak tanya. . bagaimana seorang pelajar jurusan medik boleh menyambung pelajarannya di peringkat ijazah (1styear) di Alexandria tanpa melalui program matrikulasi, asasi mahupun A-Level?

Anonymous said...

Saya xbelajar di mana2 institusi lagi. . tetapi telah mendapat tawaran2 yang sy sendiri confuse untuk memilih. . . salah satunya saya mendapat twrn Foundation in Management dari UNITAR-KYM, manakala Foundation in Law dari MSU & juga dari UITM (Diploma). . . saya minat dalam jurusan yg berkaitan dgn business. . Persoalan di sini, apakah perbezaan Foundation dgn Diploma? mana yg mendatangkan kebaikan pada sy?

Anonymous said...

assalamuailakum, sebelum itu saya ingin memohon maaf saya baru saja mendapat result stpm tahun 2011,saya ingin tahu apakah cara yang boleh digunakan untuk memohon belajar di institusi perguruan lepasan stpm untuk ijazah...

Kansas City Carpet Cleaning said...

Nice post thankks for sharing

Post a Comment