Wednesday, April 4, 2012

KARANGAN K1103/1 BMSPM BAHAGIAN B


Pengekalan bangunan bersejarah harus diberikan perhatian yang serius di Malaysia kerana bangunan bersejarah mempunyai nilai budaya dan nilai keseniannya yang tersendiri. Selain itu, bangunan-bangunan ini mencirikan identiti negara dan merakamkan sejarah penting negara.

Berikan pendapat anda tentang kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah ini.



Di negara kita, banyak terdapat bangunan bersejarah yang masih kukuh dan sering menarik perhatian sama ada para pelancong dari dalam atau luar negara. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dikekalkan supaya 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas' untuk menjadi tatapan generasi yang akan datang. Kebanyakan bangunan bersejarah merupakan tinggalan sejak zaman penjajah. Antara bangunan bersejarah yang sering menjadi kunjungan pelancong ialah Kota A Famosa dan bangunan Stadsyus di Melaka, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Kota Belanda di Pulau Pangkor. Bangunan-bangunan ini bukan sahaja mempunyai nilai-nilai budaya dan keseniannya yang tersendiri malah merakamkan sejarah penting negara. Justeru, pengekalan bangunan bersejarah sememangnya penting di Malaysia.

Satu daripada kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah di negara ini kerana bangunan tersebut mempunyai nilai seni dan estetika. Bangunan-bangunan ini biasanya mempunyai nilai seni bina yang halus dan bercorakkan budaya bangsa. Sebagai contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu tradisional adalah cantik dan harmoni. Oleh itu, kita dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina bangsa kita pada masa silam. Ukiran pada dinding batu dan kayu dalam bangunan bersejarah memaparkan corak budaya masa silam. Hal ini membolehkan kita menghayati keistimewaan budaya kita.

Selain itu, pengekalan bangunan bersejarah ini juga membolehkan kita mempelajari dan mendalami sejarah negara pada masa lampau melalui bangunan-bangunan bersejarah. Lawatan ke sesebuah bangunan bersejarah membolehkan kita menyaksikan kesan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di situ. Sebagai contohnya, lawatan ke Kota A Formosa di Melaka membolehkan kita membayangkan peperangan dan pertumpahan darah ketika rakyat Melaka menentang Portugis. Kita juga akan lebih memahami fakta sejarah jika kita dapat melihat kesan peninggalannya. Dalam konteks ini, pelajar akan lebih berminat terhadap pembelajaran sejarah negara. Sesungguhnya, cara pembelajaran secara kontekstual ini amat berkesan.

Di samping itu, bangunan-bangunan bersejarah juga perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah ini dapat menjadi tarikan kepada pelancong tempatan atau pun pelancong asing. Misalannya, Kota Cornwallis di Pulau Pinang, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Rumah Puteri Meninjau di Sabah sering menjadi tumpuan para pelancong. Secara tidak langsung keadaan ini dapat membantu perkembangan industri pelancongan melalui pengaliran masuk wang asing ke negara ini.

Bangunan-bangunan bersejarah juga penting dalam industri perfileman. Kejayaan sesebuah filem banyak bergantung pada latar tempatnya. Untuk membuat filem berunsur sejarah, lokasi penggambarannya sudah pasti di sekitar bangunan-bangunan bersejarah. Filem berkenaan akan menjadi lebih realistik dan menarik jika bangunan bersejarah yang sebenar digunakan. Hal ini dibuktikan oleh syarikat-syarikat perfileman asing yang banyak mengadakan penggambaran di Malaysia. Sebagai contohnya, filem Police Story III oleh Jacky Chan yang membuat penggambaran di Kuala Lumpur dengan berlatarbelakangkan Bangunan Mahkamah dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Melalui filem-filem ini, Malaysia menjadi terkenal di seluruh dunia. Hal ini membuktikan kepentingan bangunan bersejarah kepada kita.

Bangunan bersejarah juga banyak memberikan pengajaran kepada kita. Bangunan bersejarah akan mengingatkan kita tentang peristiwa masa lampau. Sebagai contohnya, bangunan zaman pemerintahan Jepun mengingatkan kita tentang penderitaan hidup rakyat semasa peperangan. Rakyat juga akan menyedari pahit maung yang dialami sewaktu perjuangan menuntut kemerdekaan. Hal ini akan menjadikan kita lebih menghargai keamanan dan kebebasan yang kita nikmati selama ini. Selain itu, kita juga akan sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan berulang lagi.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa bangunan-bangunan bersejarah merupakan sebahagian daripada warisan sejarah yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, bangunan bersejarah haruslah dikekalkan untuk penghayatan dan kepentingan generasi akan datang. Dengan ini diharapkan usaha-usaha memulihara bangunan bersejarah dilaksanakan secara berterusan agar negara dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.






Sunday, April 1, 2012

Latihan 3

Lengkapkan ayat-ayat yang menggunakan KKT berikut sama ada dengan objek 1 dan objek 2

  1. Ahmad mencarikan ___________ ubat batuk
  2. Kakak menjahitkan ____________ sehelai baju
  3. Guru membacakan palajar _________________
  4. Hasnah membeli ____________ untuk __________________
  5. Ahmad mencari ______________________ untuk ayah
  6. Kakak menjahit _________________ untuk emak
  7. Aminah membuat_____________________ untuk______________
  8. Raja itu memperisterikan ______________ dengan______________________
  9. Baginda mengurniai ______________ bintang kebesaran
  10. Pengetua menghadiahkan ________________ kepada ______________________
  11. Kak Awanis menghidangi _________________ segelas teh
  12. Tuhan mencucurkan ____________ kepada ________________________
  13. Canselor menganugerahi________________ pingat emas.
  14. Saya memberi _______________ itu ________________
  15. Saya memberikan _________________ kepada _____________________
  16. Mekanik itu sedang membaiki _____________ Abu
  17. Ahmad dihadiahi ______________ oleh Pak Abu
  18. Sebuah basikal dihadiahkan oleh ______________ kepada _______________
  19. Rahmat dicucurkan _________ kepada _______________

20.Tetamu itu dihidangi ____________ oleh __________________


 


 


 


 


 


 

Tuesday, February 7, 2012

Latihan Tatabahasa 2

8

Semenjak dari zaman dahulu lagi

9

Kegagalan projek adalah disebabkan

10

Dia sudah tibakah?

11

Soalan ini paling susah sekali

12

Hasil mesyuarat akan diperhalusi

13

Saya menduduki kerusi yang buruk

14

Rumah itu mereka duduki

15

Tolong jangan pijak rumput

16

Dedaun berguguran


Sila BACA dan TENTUKAN sama ada Frasa dan Ayat di atas BETUL atau SALAH

Monday, February 6, 2012

MARI BELAJAR MENULIS 2

Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang
faedah-faedah belajar secara berkumpulan. Panjangnya huraian hendaklah
antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Dalam zaman yang penuh persaingan ini, para pelajar sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran demi mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Menetapkan matlamat, menyediakan jadual waktu yang praktikal, menghadiri kelas tuisyen dan mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh pelajar demi mencapai kejayaan. Namun belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar.

Belajar secara berkumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Seseorang pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga. Contohnya, seseorang pelajar yang bersikap malu tidak berani untuk bertanya kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya dan mengeluarkan buah fikiran mereka di depan rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan bukan sahaja dapat memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka langkah kepada pelajar untuk memajukan diri dalam pelajaran.

Selain itu, para pelajar dapat berkongsi ilmu secara lain melalui kaedah belajar secara berkumpulan. Mereka berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan tentang kemahiran menjawab dalam peperiksaan. Mereka boleh-berkongsi ilmu tentang sesuatu mata pelajaran dan menukarkan latihan atau buku rujukan. Contohnya, seseorang pelajar yang menghadiri kelas tuisyen akan menguasai kemahiran menjawab dengan lebih baik berbanding dengan seseorang pelajar yang tidak menghadiri kelas tuisyen. Melalui perbincangan secara berkumpulan, pelajar dapat mengukuhkan kemahiran menjawab mereka dan seterusnya mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam sesuatu mata pelajaran. Para pelajar turut dapat mengukuhkan dan memantapkan pemahaman mereka tentang sesuatu mata pelajaran.

Bak kata pepatah, "muafakat itu berkat", belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat kerjasama dalam diri pelajar di samping menerapkan nilai bertoleransi. Para pelajar dapat menyiapkan sesuatu kerja dengan cepat dan berkesan melalui semangat kerjasama yang dipupuk. Kerja rumah yang disiapkan lebih berkualiti dengan memuatkan pandangan atau pendapat rakan-rakan. Contohnya, seseorang pelajar dapat menghasilkan karangan yang baik dan berkualiti dengan adanya maklumat yang relevan dan pendapat daripada rakan. Natijahnya, belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat bersatu padu, mengeratkan hubungan sesama lain dan meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik.

Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan. Sebagai bakal pepimpin negara, kita seyogianya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

SILA BACA DAN BETULKAN KESALAHAN BAHASA YANG TERDAPAT DALAM KARANGAN INI