Tuesday, January 4, 2011

Prosa Tradisional: Hikayat Langlang Buana

Prosa Tradisional
( Hikayat Langlang Buana )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:
Kisah bermula apabila Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi bersama-sama dayang inang pengasuhnya pergi ke taman untuk bersiram. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi tidak mengetahui bahawa semasa dia bersiram, dia telah diperhatikan oleh Raja Indera Mumaya yang bersembunyi di balik pokok kemunting. Raja Indera Bumaya telah bertukar menjadi seekor burung bayan yang cantik lalu hinggap di dahan pokok kemunting dan mengeluarkan bunyi yang sangat merdu. Bunyian tersebut telah menarik perhatian Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Tuan Puteri telah mengarahkan dayang untuk menangkap burung bayan tersebut tetapi tidak berjaya. Apabila kesemua dayang gagal menangkap burung bayan itu, dayang mencadangkan Tuan Puteri menangkap burung bayan itu sendiri. Tiba-tiba burung bayan terbang dan hinggap pada lengan Tuan Puteri. Tuan Puteri bertanya tentang asal usul bayan. Bayan menceritakan dia berasal dari Negeri Lela Gambar dan mempunyai tuan yang bernama Raja Indera Bumaya. Bayan bercerita tentang kehebatan tuannya yang menyebabkan Tuan Puteri ingin sekali bertemu dengan tuannya itu. Bayan akhirnya menukarkan dirinya menjadi Raja Indera Bumaya dan akhirnya mereka saling berkasihan. Berita tentang adanya suara lelaki di istana Tuan Puteri telah menyebabkan ayahanda Tuan Puteri iaitu Raja Bahrum Dewa menjadi murka. Baginda telah mengarahkan 40 orang hulubalang dan rakyat untuk menangkap Raja Indera Bumaya. Perintah tersebut telah menyebabkan Tuan Puteri berasa sedih dan bimbang akan keselamatan Raja Indera Bumaya. Namun Raja Indera Bumaya berjaya menewaskan serangan angkatan Raja Bahrum Dewa dengan 4 orang hulubalang yang dijelmakan daripada batu geliga. Raja Bahrum Dewa sangat murka dengan kekalahan tersebut lalu mengarahkan pula seluruh rakyat menangkap Raja Indera Bumaya sekali lagi. Kali ini Raja Indera Bumaya dibantu oleh empat ribu jin. Pertempuran tersebut menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang dahsyat.
Tema:
Percintaan anak raja.
Raja Indera Bumaya sanggup menukarkan dirinya menjadi bayan semata-mata untuk menarik perhatian Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi tidak sanggup kehilangan Raja Indera Bumaya.
Persoalan:
  1. Persoalan keberanian menghadapi cabaran. Contohnya Raja Indera Bumaya tidak gentar untuk menentang hulubalang Raja Bahrum Dewa.
  2. Persoalan kebijaksanaan mencari peluang. Contohnya Raja Indera Bumaya menjelma diri menjadi seekor burung bayan agar dapat menghampiri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.

Watak dan Perwatakan:

1. Raja Indera Bumaya.

  • Anak raja dari Negeri Lela Gambar
  • Bijaksana. Contohnya, Raja Indera Bumaya menjelmakan diri sebagai burung bayan agar dia dapat memerhatikan gerak geri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
  • Berani. Contonya, Raja Indera Bumaya berani duduk bersama-sama Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dalam istananya memadu kasih
  • Mempunyi kuasa sakti ( bertukar menjadi seekor burung bayan yang cantik ) matanya daripada intan, bulunya daripada pusparagam dan kakinya daripada emas.
  • Gagah perkasa. Raja Indera Bumaya tidak dapat ditangkap oleh hulubalang yang mengepungnya.
  • Baik budi bahasa. Dia memuji-muji keelokan paras rupa Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.

Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi

  • Puteri Raja Bahrum Dewa.
  • Periang. Contohnya, Tuan Puteri suka bergurau senda.
  • Seorang yang cantik. Contohnya Raja Indera Bumaya terpesona dengan kecantikan Tuan Puteri ketika berbedak dan berlangir.
  • Suka akan binatang. Contohnya, Tuan Puteri terlalu sukacita apabila mendapat burung bayan.
  • Sangat mencintai kekasihnya. Contohnya, Tuan Puteri tidak sanggup hidup lagi jika Raja Indera Bumaya mati.

Raja Bahrum Dewa

  • Seorang raja yang tegas. Contohnya baginda tidak suka lelaki luar berada bersama-sama puterinya.
  • Pemarah. Contohnya, baginda mengarahkan hulubalang mengepung Raja Indera Bumaya yang memadu kasih dengan anakandanya sehingga mencetuskan kemarahannya.
  • Mengambil berat akan anakandanya. Contohnya, baginda menganggap perbuatan Tuan Puteri Ratna Dewi yang memadu kasih dengan Raja Indera Bumaya sebagai celaka dan memalukan baginda.

Latar

Latar Masa:

(i) Waktu malam.

  • Tuan Puteri bergurau senda dengan dayang-dayang inang pengasuhnya.
  • Bayan dikeluarkan dari sangkar emas.

(ii) Waktu pagi.

  • Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi berbedak dan berlangir.

Latar Tempat:

  • Kolam tempat Tuan Puteri mandi.
  • Mahligai tempat didengar suara Tuan Puteri bersama suara lelaki.
  • Luar kota. Raja-raja dan hulubalang mengepung Raja Indera Bumaya.

Latar Masyarakat:

  • Masyarakat feudal. Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
  • Masyarakat saling mengasihi. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi amat mengasihi Raja Indera Bumaya dan begitulah sebaliknya.
  • Masyarakat yang tidak bertolak ansur. Raja Bahrum Dewa amat marah kepada Raja Indera Bumaya yang berkasih-kasihan dengan puterinya.

Nilai:

  1. Nilai Keberanian. Raja Indera Bumaya berani menghadapi serangan daripada Raja Bahrum Dewa.
  2. Nilai kasih sayang. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi amat menyayangi Raja Indera Bumaya sehingga sanggup mati bersama-sama.
  3. Nilai kerjasama. Rakyat bersama dengan hulubalang menyerang Raja Indera Bumaya.
  4. Nilai kebijaksanaan. Raja Indera menukarkan diri menjadi bayan untuk memikat hati Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
  5. Nilai ketaatan. Jin-jin mematuhi arahan Raja Indera Bumaya berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa.

Pengajaran:

  • Kita hendaklah berani menghadapi apa-apa rintangan. Contohnya, Raja Indera Bumaya sanggup melakukan apa sahaja demi mendekati Tuan Puteri.
  • Kita hendaklah mematuhi arahan ketua. Contohnya, empat ribu jin telah berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa setelah diarahkan Raja Indera Bumaya.
  • Kita hendaklah menggunakan akal dengan bijaksana. Contohnya, Raja Indera Bumaya menjelma sebagai burung agar dapat memerhatikan gerak geri Tuan Puteri.

Prosa Tradisional: Hikayat Dua Geliga Hikmat

Prosa Tradisional
( Hikayat Dua Geliga Hikmat )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Mengisahkan seorang anak raja bernama Inderaputera yang mengembara sehingga berjumpa dengan Tasik Semendera Jin yang amat besar. Pasir di sekeliling tasik daripada emas urai dan batunya daripada permata yang sangat indah. Inderaputera berasa amat takjub. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati sedangkan tiada manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksaksa di tasik itu namun Inderaputera tidak berasa gentar. Kemudian keluarlah raksaksa dari tasik. Inderaputera pura-pura tidur. Apabila raksaksa ingin menindih Inderaputera, Inderaputera bingkas bangun dan mencengkam rambut raksaksa. Raksaksa merayu agar Inderaputera melepaskannya dan sanggup memenuhi permintaan Inderaputera. Raksaksa telah memberikan batu geliga Mayan Bedi kepada Inderaputera. Batu geliga itu boleh digunakan untuk menghasilkan angin, ombak, kilat atau petir dengan cara menyeru nama raksaksa itu. Inderaputera telah melepaskan rambut raksaksa. Inderaputera menyatakan bahawa dia ingin pergi ke Berma Sakti. Raksaksa memberitahu di situ tempat seorang puteri yang cantik iaitu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran dan dayang-dayangnya datang bersiram. Raksaksa berpesan agar Inderaputera menyorokkan baju tuan puteri semasatuan puteri mandi. Inderaputera melakukan perkara yang disuruh oleh raksaksa. Tuan puteri merayu agar Inderaputera memulangkan bajunya. Inderaputera meminta tuan puteri bersumpah sebelum dia memulangkan baju tersebut. Inderaputera meminta tuan puteri memberikan gemala hikmat yang ada di mahligai tuan puteri. Tuan puteri berjanji akan menyerahkannya dan meminta Inderaputera datang ke mahligainya. Istana tuan puteri dikawal rapi oleh seekor harimau, seekor badak, seekor naga, seekor geroda dan raksaksa yang terlalu hebat. Inderaputera berjaya mengatasi semua halangan itu dan berjaya sampai ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Seperti yang dijanjikan, tuan puteri telah memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Tema:

  • Pengembaraan seorang anak raja
Inderaputera sanggup menghadapi segala rintangan untuk sampai ke Berma Sakti bagi mendapatkan batu gemala hikmat.


Persoalan:
  1. Persoalan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu hasrat. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan Tuan Puteri.

  2. Persoalan keberanian menghadapi musuh. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.

  3. Persoalan berpegang kepada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak dan Perwatakan:

Watak Utama:

Inderaputera

  • Ayahandanya Maharaja Bikrama Puspa

  • Bondanya Puteri Jamjam Ratna Dewi

  • Paras rupa yang menarik

  • Bijaksana. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan tuan puteri.

  • Berani. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.

  • Berpegang pada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak Sampingan:

Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran

  • Ayahandanya Maharaja Syah Tokan

  • Tunangan Raja Mengerna Lela Dewa

  • Rupa paras yang amat cantik

  • Berpegang pada janji. Tuan Puteri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera sebagaimana yang dijanjikan.

Latar:

Latar Tempat:

(i) Tasik - tempat peri tinggal.

(ii) Mahligai - tempat tinggal Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran

(iii) Balai Rangga Puspa Berahi - tempat yang disediakan oleh Tuan Puteri kepada Inderaputra


Latar Masa:

(i) Waktu fajar - Tuan Puteri datang ke tepi tasik untuk kali ke tujuh

(ii) Waktu malam - Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran mengenakan baju antakesuma dan pakaian yang sangat cantik

(iii) Tengah malam - Inderaputera duduk bersembunyi di tepi tasik menunggu kedatangan Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran


Latar Masyarakat:

(i) Masyarakat feudal - Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja

(ii) Masyarakat yang menepati janji. Peri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikannya jika Inderaputera melepaskannya


Nilai:

  1. Nilai keberanian. Contohnya, Inderaputera berani menghadapi raksaksa walaupun telah diberi amaran oleh mayat.

  2. Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Inderaputera berpura-pura tidur semasa raksaksa keluar dari tasik dan mengambil peluang mencengkam rambut raksaksa semasa raksaksa ingin menindihnya.

  3. Nilai menempati janji. Contohnya, Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menepati janji dengan memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah berani dalam menghadapi situasi yang mencabar. Inderaputera tidak gentar menghadapi peri sehingga dapat menangkap peri tersebut.

  2. Kita hendaklah menggunakan akal dalam apa-apa situasi. Inderaputera mencuri baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dapat bertemu Tuan Puteri.

  3. Kita hendaklah berpegang pada janji. Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikan.

Monday, January 3, 2011

SELAMAT TAHUN BAHARU 2011 M

Selamat Kembali ke Sekolah
Tirai 2010 sudah pun berlabuh. Tahun penuh warna warni sudah pun ditinggalkan. Tentunya setiap tibanya tahun baharu, ramai antara kita membina azam baharu. Apakah azam anda? Jawapan kepada soalan ini adalah lumrah. Jawapannya juga adalah pelbagai dan ada dalam hati hati masing-masing. Pastinya, mereka yang berminda positif cuba melakukan muhasabah, meneropong kelemahan diri masing-masing. Mana-mana individu atau organisasi yang berjaya tidak seharusnya menjadikan kita leka kerana kehidupan ini merupakan proses yang berterusan. Jatuh bangun perkara biasa dan tidak seharusnya dibiarkan menghalang kita untuk melalui takat-takat yang lebih tinggi dengan semangat jitu. Yang pastinya kita mesti memiliki azam kerana membina azam adalah normal dan amat sukar sekali kita ditemukan dengan orang yang tiada azam dan harapan ketika menyambut tahun baharu.

Saturday, January 1, 2011