'Apabila kita memohon kebijaksanaan daripada Allah, Dia mengurniakan masalah kepada kita untuk diselesaikan'.
Friday, December 3, 2010
Sunday, October 31, 2010
FENOMENA BOLA SEPAK
Syabas dan tahniah kepada wira-wira bola sepak Kelantan yang telah berjaya membawa pulang Piala Malaysia yang sangat berprestij. Semuanya kerana usaha gigih tanpa mengenal penat lelah. Kerjasama semua pihak daripada pihak pengurus, jurulatih, pemain, penyokong dan dukungan kerajaan negeri telah membuahkan hasil yang cukup manis. Kini piala kebangaan rakyat Malaysia telah mampu dibawa ke Kota Bharu sebagai hadiah bagi Tuanku Sultan Muhammad Ke V
Saat-saat yang mencemaskan
Saat-saat yang memulihkan semangat "Red Warrior" dan penyokong
Saat-saat yang cukup gembira dan bersyukur kepada Allah yang menyelamatkan maruah pasukan "Red Warrior" dan rakyat Kelantan.
Friday, October 29, 2010
Ke Mana Hala Tuju Anda Selepas SPM/STPM?
Institut Perguruan
Bagi lepasan SPM yang berminat menceburi bidang pendidikan, terdapat kira-kira 27 buah institut penguruan, seperti Institut Perguruan Darul Aman, Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Institut Perguruan Perlis, Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Institut Perguruan Ipoh dan Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia. Institut perguruan menawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah.
Maklumat lanjut tentang pengambilan calon dapat diperoleh di Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Aras 2 - 6, Blok E13, Komplek Kerajaan Parcel C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya.
Politeknik
Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, menyediakan kira-kira 18 ribu tempat untuk lepasan SPM, di samping 4000 tempat untuk lulusan sijil politeknik dan sijil kolej komuniti untuk melanjutkan pelajaran peringkat sijil dan diploma dalam bidang pendidikan dan vokasional. Ada 24 buah politeknik di seluruh negara, termasuklah Politeknik Ungku Umar, Ipoh, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Kuching, Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Politeknik Johor Bahru, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Kota, Melaka, dan Politeknik Kota, Kuala Terengganu.
Antara program yang ditawarkan termasuklah kejuruteraan awam, mekanikal dan elektronik, reka bentuk dan komunikasi visual, seni bina, kejuruteraan perkapalan, penyenggaraan pesawat, teknologi petroleum, teknologi maklumat, teknologi makanan, perdagangan, sains kesetiausahaan dan hospitaliti. Mulai sesi Januari 2008, Diploma Pengajian Perniagaan (e-commerce) ditawarkan di Politeknik Nilai dan Diploma Pengurusan Logistik pula diperkenalkan di Politeknik Sultan Ahmad Shah dan Politeknik Seberang Prai.
Yang paling menarik, politeknik juga menyediakan tempat bagi pelajar berkeperluan khas (masalah pendengaran) dari Sekolah Pendidikan Khas kelolaan Kementerian Pelajaran untuk lima kursus kemahiran. Program tersebut ditawarkan di Politeknik Ungku Umar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Johor Bahru.
Bagi yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang kursus yang ditawarkan dan senarai penuh politeknik yang terdapat di Malaysia, sila layari http://www.politeknik.edu.my.
Institut Kemahiran MARA ( IKM )
Di negara kita juga, terdapat pilihan pendidikan yang berteraskan kemahiran bagi yang mempunyai mempunyai bakat, minat dan kecederungan ke arah itu. Sebuah institus penting yang menawarkan pendidikan berkenaan ialah IKM. Antara bidang kemahiran yang ditawarkan termasuklah kejuruteraan elektronik, seni bina dan reka bentuk fotografi. Pengambilannya dilakukan berdasarkan SPM atau SPM (V) dan keperluan kelayakan minimum kursus yang dimohon.
Penawaran latihan dilakukan dua kali setahun, iaitu diiklan pada bulan September untuk kemasukan sesi Januari dan bulan Mac untuk sesi Julai. Borang permohonan dapat diperoleh dari Bahagian Pendidikan dan Latihan (Kemahiran MARA), Kolej Kemahiran Tinggi MARA, IKM dan pejabat MARA negeri dan daerah. Ada tidak kurang daripada 15 buah IKM di seluruh negara.
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN)
Sebuah lagi institut pendidikan yang menawarkan pengajian berteraskan kemahiran ialah IKBN yang dikelolakan oleh Kementerian Belia dan Sukan. IKBN menawarkan pengajian yang berkonsepkan latihan bersepadu, merangkum latihan (teori dan praktikal), keusahawanan, ketatanegaraan, kepemimpinan, keagamaan, moral, sukan dan khidmat masyarakat.
IBKN terdapat di seluruh negara. Antaranya, IKBN Jitra, IKBN Perlis, IKBN Alor Gajah, IKBN Seri Iskandar, IKBN Bachok, IKBN Cembung, Negeri Sembilan, IKBN Dusun Tua, IKBN Kinarut, Sabah, dan IKBN Miri. Antara bidang pengajiannya termasuklah teknologi kejuruteraan automotif, teknologi kejuruteraan elektronik, teknologi komputer, teknologi kejuruteraan elektrik, teknologi kejuruteraan mekanikal, teknologi kejuteraan marin, teknologi kejuteraan awam, teknologi fotografi, teknologi binaan bangunan dan perkhidmatan profesional.
Di samping pengajian peringkat sijil, IKBN turut menawarkan pengajian peringkat diploma. Pengambilan sesi Januari dilakukan setiap bulan Oktober.
Institut Latihan dan Perindustrian (ILP)
ILP merupakan sebuah lagi institut pengajian yang berteraskan kemahiran. ILP dikelolakan oleh Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. ada lebih daripada 20 buah institut latihan kelolaan jabatan itu di seluruh negara, tidak termasuk empat buah Pusat Latihan Jepun Malaysia.
Bidang pengajian yang ditawarkan pula termasuklah pemesinan am, mekanik kenderaan motor, binaan bangunan, kimpalan/jurueletrik, teknologi perabot, juruteknik radio dan televisyen, dan mekanik penyenggaraan bekuan dan penyaman udara. Permohonan kemasukan ke ILP terbuka kepada lepasan SPM atau SPM (V). Maklumat lanjut dapat diperoleh melalui http://www.jtm.gov.my.
Institut Pengajian Tinggi Swasta
Lepasan SPM yang tidak mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam masih berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi swasta. Walau bagaimanapun, anda perlu bijaksana dalam memilih institut pengajian tinggi swasta sebelum membuat keputusan melanjutkan pelajaran. Selain menilai kemudahan dan prasarana pendidikan yang disediakan, pastikan bahawa institut tersebut diiktiraf oleh kerajaan. Hal ini penting supaya sijil atau diploma yang diperoleh diiktiraf untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi atau memasuki sektor pekerjaan kelak.
Peluang Pendidikan Lulusan STPM
Bagi lulusan STPM, tumpuan melanjutkan pelajaran sudah tentulah pengajian ijazah pertama dalam pelbagai bidang mengikut kelulusan, minat dan kecederungan masing-masing di universiti tempatan. Kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi awam itu diurus oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.
Syarat am atau kelayakan minimum kemasukan ke program ijazah pertama ialah sekurang-kurangnya lulus SPM/setaraf dengan mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai atau lulus Matrikulasi KPM/Asasi Sains UM dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.0.
Kementerian Pengajian Tinggi mengelolakan 20 buah universiti awam. Antaranya, UM,Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Maklumat tentang program atau bidang yang ditawarkan di setiap universiti dapat diperoleh melalui laman tersebut. Anda tidak perlu khuatir tentang cara mengisi borang secara dalam talian kerana di halaman itu juga, disediakan panduan melayari aplikasi dalam talian.
Bagi yang memilih untuk mengikuti ijazah Sarjana Muda Pendidikan, maklumat tentang Ujian MEdSI dan temu duga terdapat di laman itu. MEdSI ialah instrumen yang digunakan oleh institut pengajian tinggi awam dalam memilih individu yang sesuai untuk menjadi guru. Instrumen MEdSI mengandungi 300 item dalam empat bahagian, iaitu personaliti, minat kerjaya, nilai integriti dan kecerdasan emosi. Soalannya berbentuk aneka pilihan. Hanya calon yang berjaya dalam ujian itu akan ditemu duga untuk mengikuti program pengajian tersebut.
Pilihan di Tangan Anda
Sebenarnya, masih banyak maklumat tentang peluang pendidikan yang tidak dapat disebutkan satu per satu. Andalah yang bertanggungjawab untuk mencarinya untuk faedah dan kepentingan sendiri.
Apakah yang anda tunggu lagi? Buatlah keputusan dan bertindak dengan segera! Tentukan bidang pengajian dan pekerjaan yang ingin anda dalami dan ceburi, kemudian carilah maklumat tentang institut pengajian tinggi yang menawarkan bidang tersebut.
Buatlah pilihan yang bijak, sesuai dengan minat, kecederungan, kemampuan dan cita-cita sendiri supaya anda tidak menyesal pada kemudia hari. Ingatlah bahawa masa hadapan anda terletak di tangan anda sendiri!
Wednesday, October 13, 2010
Monday, October 4, 2010
TEMA BMSPM 1103/1
Thursday, September 30, 2010
ANALISIS SOALAN PERCUBAAN BMK2SPM 2010
Sunday, September 26, 2010
Thursday, September 23, 2010
KESALAHAN EJAAN TANGGUNGJAWAB SIAPA?
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) kerana tidak pernah memandang enteng masalah yang berkaitan dengan penyalahgunaan bahasa. Tindakan DBP yang memberi ganjaran kepada individu yang dapat memaklumkan kesalahan bahasa pada papan tanda harus dipuji. Hakikatnya bukanlah ganjaran yang menjadi ukuran, tetapi usaha sedemikian dapat melahirkan anggota masyarakat yang prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu di sekeliling mereka.
Saturday, September 18, 2010
ANTARA Di Kalangan dengan Dalam Kalangan
- ...di perpustakaan
- ...di gunung
- ...di rumah
- ...di ruang
- ...di angkasa
- ...di Kuala Lumpur
- ...di perhentian
Kata sendi nama dalam pula, hanya boleh berada di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa maksud lingkungan yang tidak mempunyai ruang dan jarak. Contohnya:
- ...dalam masyarakat
- ...dalam perhatian
- ...dalam perbincangan
- ...dalam perbahasan
- ...dalam perbicaraan
- ...dalam usaha
- ...dalam percubaan
Sebagai pengguna bahasa Melayu, pelajar sering menggunakan kata kalangan dalan frasa di kalangan untuk merujuk kepada maksud golongan atau sesuatu kumpulan dan kelompok yang dikhususkan.
Antara contoh KESILAPAN penggunaan frasa di kalangan adalah seperti yang berikut:
- ...di kalangan pelajar ....SEPATUTNYA... dalam kalangan pelajar
- ...di kalangan peserta....SEPATUTNYA... dalam kalangan peserta
- ...di kalangan anggota....SEPATUTNYA...dalam kalangan anggota
- ...di kalangan petugas....SEPATUTNYA...dalam kalangan petugas
- ...di kalangan guru ........SEPATUTNYA... dalam kalangan guru
Oleh itu, kita sebagai pengguna bahasa Melayu yang sayang akan bahasa ibunda kita perlu BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA dalam amalan berbahasa seharian.
Sunday, September 12, 2010
CANTIKNYA MATEMATIK
Wednesday, September 8, 2010
SALAM 1 SYAWAL 1431 H ( 10 SEPTEMBER 2010 )
Tuesday, September 7, 2010
CAKNA BAHASA SEMASA AIDILFITRI
- di hari lebaran ----------sepatutnya ------- pada hari lebaran
- balik kampung ----------sepatutnya--------balik ke kampung
- di dalam perjalanan -----sepatutnya -------dalam perjalanan
- pulang dengan keretapi -sepatutnya --------pulang dengan kereta api
- makan tengahari --------sepatutnya -------makan tengah hari
- Aidil Fitri --------------- sepatutnya -------Aidilfitri
- saling bermaaf-maafan --sepatutnya -------saling bermaafan
- satay -------------------sepatutnya ------- sate
- banyak kuih-muih ------sepatutnya ------- banyak kuih
- begitu sedap sekali ------sepatutnya -------begitu sedap / sedap sekali
- begitu meriah sekali -----sepatutnya -------begitu meriah / meriah sekali
- mendapat banyak duit raya --sepatutnya -- banyak mendapatduit raya
- menghidangi kuih raya --sepatutnya -------menghidangkan kuih raya
- ramai orang berjabat salam --sepatutnya ---ramai orang berjabat tangan
- saling kunjung-mengunjungi -sepatutnya----saling mengunjungi
- bila tiba hari raya --------sepatutnya -------apabila tiba hari raya
- umat-umat Islam --------sepatutnya -------umat Islam
- mengunjungi ke rumah --sepatutnya --------mengunjungi rumah
- berbagai juadah ----------sepatutnya -------berbagai-bagai / pelbagai juadah
- daging rendang ----------sepatutnya -------rendang daging
- banyak kenduri khawin --sepatutnya -------kenduri kahwin
- koleksi lagu-lagu raya ---sepatutnya --------koleksi lagu raya
- begitu gembira sekali ----sepatutnya ------- begitu gembira / gembira sekali
Sunday, August 29, 2010
Friday, August 27, 2010
Wednesday, August 25, 2010
Tuesday, August 17, 2010
PEDOMAN BAHASA 12
- pukul ---------> memukul
- pasang -------> memasang
- perang -------> memerangi
- palsu ---------> memalsukan
Semua huruf "p" pada awal kata bertukar menjadi "m" apabila kata itu mengalami imbuhan awalan. Jadi, jika ada kata perhati akan terbitlah kata memerhatikan. Tetapi oleh sebab TIDAK ADA kata itu, maka SALAHlah kata memerhatikan itu.
Yang sebenarnya berlaku ialah kata hati menerima awalan memper lalu terbentuk kata memperhatikan. Cuba lihat proses pembentukannya:
hati ---------> memper + hati + kan ( memperhatikan )
Bentuk-bentuk lain yang mengalami proses yang sama ialah:
- mempersoalkan --------- BUKAN -------- memersoalkan
- mempertikaikan ---------BUKAN -------- memertikaikan
- memperkatakan ---------BUKAN -------- memerkatakan
- memperisterikan -------- BUKAN -------- memeristerikan
- memperbuat ------------ BUKAN -------- memerbuat
Jadi jelaslah bahawa penentuan BETUL atau SALAH sesuatu bentuk kata terbitan dapat ditentukan dengan berpandu kepada kamus. SEKARANG ANDA PATUT MEMPERHATIKAN dan BUKAN MEMERHATIKAN isi kamus.
Monday, August 16, 2010
Nilaikan Kerjaya Pilihan Anda!
- Persoalan NILAI dalam Pemilihan Kerjaya
SEMASA mengajar pelajar elit di kelas 5B tahun lalu saya teringat akan PERBUALAN hal ehwal semasa. Saya cuba melontar pelbagai persoalan kepada pelajar-pelajar elit tentang bidang-bidang pekerjaan yang terdapat di Malaysia. Isu ini ada kaitan dengan syllabus dalam buku Teks Tingkatan 5. Seingat saya hampir 15 orang pelajar yang menyatakan ingin menjadi menceburi bidang perubatan.
Saya memulakan soalan "Kenapa awak mahu jadi doktor?" Pelajar yang tadinya mengangkat tangan tersenyum-senyum.
"Sebab minat biologi?" saya bertanya.
Ramai yang ketawa. Itu mungkin alasan semasa di Tingkatan 4 dahulu.
"Sebab suka tolong orang?"Saya terus bertanya.
Ramai yang mengangguk.
"Well, come on. Ramai yang hantar anak buat perbuatan supaya boleh rawat ibu bapa sendiri nanti. Tetapi realitinya, kamu bukan manusia pertama boleh muncul memberikan rawatan jika berlaku apa-apa kepada ibu bapa. Malah ketika di bilik pembedahan dan wad kecemasan, ahli keluarga bukanlah calon terbaik untuk merawat ahli keluarga sendiri. Namanya, "profesionalisma", Saya menyambung provokasi.
"Kamu nak tolong suami, isteri dan anak-anak? Rasa saya, suami doktor, isteri doktor dan anak-anak doktorlah yang paling banyak kena berdikari. Saya terus mencucuk jarum.
Saya terus mencucuk lagi dengan lebih tegas. Saya memberi peringatan bahawa apabila awak berjaya jadi specialist nanti, jangan lupa bahawa orang yang paling banyak berkorban ialah tiga orang ini. Anak-anak kita. Merekalah yang berkorban, melepaskan masa yang sepatutnya kita beri kepada mereka, agar kita berjaya".
Saya sengaja mengacah pelajar-pelajar di kelas elit tadi supaya berfikir bersungguh-sungguh, mengapa mereka memilih bidang perubatan.
Jika anda seorang perempuan yang bakal menjadi doktor, anda perlu tahu bahawa walaupun negara amat terdesak kepada adanya ramai tenaga pakar, anda tidak akan diberi "kemudahan" untuk jadi pakar. Anda tidak ada cuti bersalin, seandainya anda 'termengandung' semasa sedang membuat program pakar, anda tidak menerima sebarang elaun untuk membeli buku. Semua kena guna duit sendiri. Kursus dan seminar yang anda hadir, anda mesti membayarnya sendiri. Mungkin anda terpaksa menawarkan diri menjadi AJK agar dapat dikecualikan daripada membayar yuran, walaupun anda tahu akibat menjadi AJK itu. Semua orang mahu anda bekerja seperti orang lain, ketika anda terdesak menghadapi peperiksaan. Tiada belas, tiada insentif. Misalnya ada bakal doktor pakar, kerana dua minggu cuti yang diperuntukkan untuk kecemasan dan lain-lain, sudah pun digunakan untuk bersalin, lupakanlah kenduri-kendara di kampung, lupakanlah ibu bapa, 6 bulan tiada cuti.
Bukan calang-calang kerja.
Anda mahu menjadi pelajar perubatan kerana mahu tolong orang? Tolonglah diri sendiri kerana anda yang amat memerlukan pelbagai pertolongan itu nanti.
"Maka, apa tujuan anda mahu menjadi doktor?" soalan yang sama saya ulang sekali lagi. Pelajar-pelajar itu termenung. Sesi soal jawab tiada soalan, kerana semua soalan adalah untuk ditanya kepada diri sendiri dan diri sendirilah yang perlu menjawabnya.
Maka bermulalah PENGAJARAN SAYA iaitu PERSOALAN NILAI dalam pekerjaan.
Apakah nilai yang dibawa dalam sesuatu pekerjaan? dalam kehidupan.
Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja rumahnya, kerjanya, 'melayan suami'. tidak mungkin mampu dibalas walaupun dengan bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya? Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan dirinya. Hanya "bibik" sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Seorang ibu membuat kerja rumah kerana NILAI KASIH SAYANG. Seorang isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG. Maka tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian. Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan.
NILAI DUIT
Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah, walaupun wang berjaya diperoleh.
Sekarang ini sudah menjadi trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri. Yang pertama ialah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum. Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan antara seorang suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi. Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumah tangga berpisah sementara ( bukan calang-calang sementara ) demi melepaskan isteri yang bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk. Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan... tetapi output daripadanya merungsingkan. Itu belum lagi dicungkil kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau KL . Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan bertemu dengan outputnya. Saya bertemu anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun ke tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mempoligamikan suaminya dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita. Tentu sahaja hasil kewangan daripada kenaikan pangkat dengan bekerja jauh daripada pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?
NILAI - HARGA - KORBAN
Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga. Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? kehancuran rumah tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa ... itulah harga yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas bekerja.
Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang 'mereka ialah generasi yang kesunyian'. Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki itu memberi sesuatu yang tiada diperoleh remaja tersebut dalam keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.
Hari ini saya mahu pelajar-pelajar di dalam kelas ini, melatih diri mereka dengan tabiat"Begin With the End in Mind". Lihatlah apa yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatan.
TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN
Maka, ketika masih lagi di bangku pengajian, tentukan soal nilai yang ingin dibawa pada kerjaya masa hahapan anda. Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah selagi mampu, kejarlah habuan material, tetapi anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar. Perhatikan di mana korbannya? Harga korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit, dan yang palin besar, mungkin sistem itu sendiri.
Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri, mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor. Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang daripada mereka.
PROVOKASI DEMI MASA DEPAN
Atas provokasi inilah saya mengajak anda pelajar-pelajar yang masih muda untuk menyemak hubung kait bidang ini dengan TUJUAN HIDUP. Kenang kembali siapa kita di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.
Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia Yang Disembah. Yang DiAbadikan diri kepada-Nya. Ia hablun minaLlah.
Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya, kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini. I hablun minannaas.
Buat baik kepada sesama manusia, boleh disedekah, boleh dengan memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan paling utama, adalah untuk menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita.
JIKA KERJA JADI IBADAH
Jika kerja jadi ibadah, Allah ialah 'CEO' kita. The using hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.
Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik-baik yang upaya.
Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.
Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja. Teruskan cita-cita kalian menjadi doktor. Ia cara terbesar, kamu zahirkan syukur kepadanya. Kita hamba-Nya, Kita khalifah-Nya.
PEDOMAN BAHASA 11
- "Menemui", "Menemukan" dan Mempertemukan"
Antara ketiga-tiga patah kata tersebut, yang lebih kerap pelajar guna atau anda baca ialah menemui dan mempertemukan. Kata menemukan barangkali tidak pernah anda gunakan. Namun, kata tersebut terdapat dalam kamus. Ketiga-tiga patah kata itu mempunyai makna yang berlainan. Oleh hal itu konteks penggunaannya berlainan juga.
Sebelum kita merujuk kepada kamus untuk memastikan makna dan konteks penggunaan setiap kata itu, marilah kita bincangkan penggunaan yang biasa ditulis oleh pelajar.
- Ibu bapa menemui Pengetua untuk membincangkan kemajuan pelajaran anak-anak mereka.
- Polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu di tepi sebuah estet.
Betulkah penggunaan kata menemui dalam kedua-dua ayat di atas? Sekarang mari kita merujuk kamus.
DALAM KAMUS DEWAN, Kata menemui diberi makna:
- bertemu dengan, berjumpa dengan;
- pergi bertemu dengan, mengunjungi, menziarahi, melawat.
Cuba pelajar masukkan makna tersebut dalam ayat 2 tadi. Timbullah makna bahawa "Polis bertemu dengan kereta yang ditinggalkan oleh perompak=perompak itu di tepi sebuah estet" ATAU "Polis mengunjungi kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu". Tepatkah maknanya?
Dengan mudah anda mengatakan TIDAK. Sebabnya kita biasa bertemu dengan manusia, tetapi kita tidak bertemu dengan objek tidak bernyawa. Jadi kita tidak boleh mengatakan:
- Pasukan tentera menemui markas komunis di tengah hutan.
Kalau kata menemui SALAH penggunaannya dalam ayat di atas. Apakah kata yang TEPAT. Jawabnya ialah kata menemukan. Dalam kamus kata tersebut diberi makna:
- berjumpa dengan apa yang dicari, mendapat, mendapati.
- mengalami, menderita.
Kalau makna pertama kata itu diterapkan dalam ayat di atas barulah ayat-ayat itu betul maknanya.
- Polis menemukan kereta yang ditinggalkan oleh perompak-perompak itu di tepi sebuah estet.
- Pasukan tentera menemukan markas komunis ditengah hutan.
- Sarjana sastera itu menemukan ciri-ciri persamaan yang banyak dalam karya-karya sastera lama.
- Ahli-ahli perubatan belum menemukan ubat yang berkesan untuk rawatan penyakit AIDS.
Anda mungkin berasa janggal untuk menggunakan kata tersebut. Kejanggalan itu dapat anda atasi secara beransur-ansur apabila anda membiasakan penggunaannya. Berpeganglah kepada falsafah "Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul".
Kata mempertemukan pula bererti "membawa supaya bertemu". Contoh penggunaannya ialah:
- Majlis itu mempertemukan saya dengan sepupu saya yang sudah sekian lama tidak saya temui.
Saturday, August 14, 2010
PEDOMAN BAHASA 10
Kata Pemeri: ialah dan adalah
- Bapa saya ialah guru. ( Boleh juga : Bapa saya guru )
- Kenyataan itu adalah tidak benar. ( Boleh juga : Kenyataan itu tidak benar )
Perkara kedua yang perlu diingat ialah kata pemeri ialah hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Kata pemeri adalah pula hanya boleh diikuti oleh kata atau frasa sendi nama atau frasa adjektif. Untuk lebih jelas lihat beberapa contoh berikut:
- Anak ialah anugerah Allah. ( anugerah Allah: frasa nama )
- Masalah kita sekarang ialah kekurangan modal. ( kekurangan modal : frasa nama )
- Keputusan panel hakim adalah muktamad. ( muktamad : adjektif )
- Matlamat penubuhan tabung itu adalah untuk membantu pelajar miskin. ( untuk membantu pelajar miskin: frasa sendi nama )
Selain itu, ditekankan juga bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembetukan ayat bahasa Melayu. Seperkara yang perlu diingat ialah bahawa kata pemeri TIDAK BOLEH hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Kerana itu jugalah kata pemeri tidak harus digunakan pada awal ayat, seperti yang lazim digunakan, terutama dalam ayat yang berbentuk makluman dan perisytiharan. Contohnya:
- Untung rugi syarikat adalah bergantung pada kebijaksanaan pihak pengurusan. (salah)
- Untung rugi syarikat bergantung pada kebijaksanaan pihak pengurusan. (betul)
- Kejayaan projek itu adalah terletak pada setiap individu yang terlibat. (salah)
- Kejayaan projek itu terletak pada setiap individu yang terlibat. (betul)
- Adalah dimaklumkan bahawa sekolah akan ditutup esok. (salah)
- Dengan ini dimaklumkan bahawa sekolah akan ditutup esok. (betul)
- Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. (salah)
- Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. ( betul)
Friday, August 13, 2010
Tajuk-Tajuk Penting Karangan PMR 2010
- CUBA MEMBANTU PELAJAR MENGHADAPI CABARAN GETIR PMR 2010: Sila klik
- CUBA MEMBANTU PELAJAR MENGHADAPI CABARAN GETIR SPM 2010: Sila klik
BETULKAN EJAAN KATA SERAPAN ARAB
DALAM tulisan yang ringkas ini, ingin saya tekankan ialah cara pengejaan bentuk kata bahasa Arab. Banyak kata serapan Arab yang dieja secara salah oleh pengamal bahasa Melayu. Oleh sebab itu, menjadi tugas kita semua membetulkan situasi ini supaya permasalahan ini tidak berlanjutan.
Dari segi ejaan, kebanyakan pengamal bahasa Melayu masih tidak mengetahui perubahan yang berlaku. Ada antara mereka masih mengeja kata serapan bahasa Arab mengikut "lidah" Arabnya sedangkan kata-kata tertentu sudah mengalami perubahan mengikut "lidah" orang Melayu. Hal ini demikian kerana perubahan wajar dilakukan supaya tidak berlaku ketidaktekalan dari segi ejaan.
Sebagai contohnya:
- ibadah --------> SEPATUTNYA -----------> ibadat
- isya -----------> SEPATUTNYA-----------> isyak
- zohor ---------> SEPATUTNYA -----------> zuhur
- khusuk -------> SEPATUTNYA -----------> khusyuk
- beristirehat ---> SEPATUTNYA -----------> beristirahat
- hajjah ---------> SEPATUTNYA -----------> hajah
- redha ---------> SEPATUTNYA -----------> reda
- kadhi ---------> SEPATUTNYA -----------> kadi
- terawih -------> SEPATUTNYA -----------> tarawih
- Ramadhan ----> SEPATUTNYA -----------> Ramadan
- Aidil Fitri -----> SEPATUTNYA -----------> Aidilfitri
- Aidil Adha ----> SEPATUTNYA -----------> Aidiladha
- hafal ----------> SEPATUTNYA -----------> hafaz
- munshi -------> SEPATUTNYA -----------> munsyi
- fardhu --------> SEPATUTNYA -----------> fardu
- muhibbah -----> SEPATUTNYA -----------> muhibah
- jamek ---------> SEPATUTNYA -----------> jamik
- lafadz ---------> SEPATUTNYA -----------> lafaz
- syed ----------> SEPATUTNYA -----------> sayid
- saidina --------> SEPATUTNYA -----------> sayidina
- sunnah --------> SEPATUTNYA -----------> sunah
Friday, August 6, 2010
BANK PERIBAHASA PMR & SPM
- Format pentaksiran atau peperiksaan Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) sejak 2004 memasukkan peribahasa di bawah pengetahuan dan kefahaman tentang Tatabahasa Bahasa Melayu. Peribahasa dikelaskan dalam kelompok tatabahasa.
- Peribahasa tergolong dalam tatabahasa kerana makna atau maksud yang dibawa oleh susunan kata tersebut. Maksud susunan peribahasa tidak boleh diterjemahkan perkataan demi perkataan. Sebaliknya susunan kata tersebut mempunyai maksud tertentu atau khusus dan mantap. Misalnya, langkah kanan, tidak boleh diterjemahkan sebagai perbuatan melangkah kaki kanan. Susunan kata tersebut, sebagai peribahasa, bermaksud "bernasib baik".
- Daripada huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa peribahasa merupakan kosa kata yang mempunyai makna khusus. Pelajar yang dapat menggunakan peribahasa dalam karangan atau ayat dengan tepat dan bersahaja membuktikan mereka mempunyai kosa kata yang luas dan menguasai tatabahasa. Justeru, hal ini meletakkan karangan pelajar berkenaan dalam kelompok cemerlang.
- Untuk mendapat pengetahuan yang lebih tentang peribahasa dan ungkapan menarik:
Wednesday, August 4, 2010
RUANGAN KEMUSYKILAN BAHASA
Tuesday, August 3, 2010
PEDOMAN BAHASA 9
- lorry -------> lori
- memory --- > memori
- mystic ------> mistik
- system ------> sistem
Mengatasi Tekanan dengan Bijak
Dalam kehidupan di dunia ini, banyak orang yang menghadapi tekanan. Untuk makluman pelajar, tekanan adalah sebahagian daripada asam garam hidup yang dialami semua orang. Bezanya ialah cara seseorang mengendalikan tekanan supaya tidak mendatangkan masalah sama ada kepada diri sendiri mahupun orang di sekeliling.
Tekanan ialah reaksi badan untuk menyesuaikan diri terhadap perubahan pada persekitaran. Tekanan berlaku dalam kehidupan sehari-hari sama ada di rumah, sekolah, atau tempat kerja. Malah, ketika bersama-sama orang tersayang juga kita boleh mengalami tekanan.
Namun, apabila terperangkap dengan pelbagai bentuk tekanan, tindakan susulan untuk mengurangkan tekanan antara seseorang biasanya tidak sama. Misalnya, ada orang yang minum kopi, menghisap rokok, berjalan-jalan di pusat beli-belah, makan coklat, malah ada yang termenung dan menangis.
Sebenarnya, tekanan merupakan antara elemen yang diperlukan dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana tekanan boleh mendorong kita agar mampu menjalankan tugas dengan baik. Sungguhpun demikian, tekanan yang berlebihan akan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan. Bahkan, tekanan yang berlebihan juga akan membahayakan diri sendiri dan orang lainjuga. Contohnya, tekanan yang serius boleh menyebabkan berlakunya histeria, tindakan membunuh diri, mencederakan orang lain, dan sebagainya.
Secara ringkasnya, tekanan boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu tekanan fizikal ( apabila badan letih selepas aktiviti fizikal yang lasak ), mental ( gangguan emosi dan perubahan tingkah laku ), tekanan oksidatif ( kesan radikal bebas ) dan tekanan metabolik ( kesan apabila badan tidak sihat )
Antara tanda tekanan yang sering dihadapi ( mungkin secara tidak disedari ) termasuklah perubahan emosi sama ada kecewa, marah, risau, tidak sabar, kerap letih tanpa sebab, resah keterlaluan, reaksi melampau, makan berlebihan, kerap merokok, tidur tidak lena, sakit kepala, masalah seksual, sakit belakang, sakit otot, atau menghidapi masalah kulit.
Sebenarnya, ada tekanan yang dapat diramalkan akan berlaku. Bagi pelajar, tekanan biasanya berlaku ketika musim peperiksaan seperti PMR, SPM, dan STPM. Sehubungan dengan hal itu, bagi mengurangkan atau mengatasi masalah tekanan, seseorang itu perlu mendapat rehat yang secukupnya, mengatur masa tidur dan bangun, serta rajin melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman boleh membuatkan kita berpeluh dan hal ini mampu mengurangkan tekanan. Selain itu, minumlah banyak air mineral atau air kosong kerana badan yang tidak cukup air akan mudah mengalami tekanan.
Namun demikian, yang lebih penting adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan mendapat khasiat yang mencukupi, terutama zink ( daripada tiram, daging, telur, kekacang dan dadih, serta vitamin B-kompleks ). Makanan yang seimbang akan menjadikan kita mendapat zat yang mencukupi dan hal ini akan mengurangkan kebarangkalian untuk seseorang itu mendapat tekanan.
Apabila mengalami tekanan, seseorang itu tidak dapat berfikir dengan jelas atau secara rasional. Akibatnya, dia boleh membuat keputusan atau melakukan tindakan yang kurang bijak. Tekanan yang tidak dikawal boleh memberi pengaruh yang tidak baik kepada diri, keluarga dan rakan-rakan di sekeliling. Dalam usia yang muda seperti remaja atau pelajar, tekanan haruslah ditangani dengan baik, terutama bagi beberapa masalah yang sering dihadapi oleh golongan pelajar seperti kewangan, hubungan dengan keluarga, cinta monyet, perubahan fizikal, dan sebagainya.
Antara cara yang dicadangkan untuk mengurangkan tekanan termasuklah:
- Berhenti daripada melakukan sesuatu perkara apabila ada tanda awal tekanan dan ambil masa untuk menenangkan diri. Jangan mengabaikan tanda awal ini kerana tekanan boleh menyebabkan kemunculan masalah baru. Kajian menunjukkan bahawa 30 peratus punca kemalangan jalan raya disebabkan oleh tekanan, terutama masalah peribadi. Jadi ambil masa untuk rehat dan menenangkan diri. CARANYA adalah dengan duduk dalam posisi yang selesa dan letakkan kedua-dua tangan di atas paha. Luruskan kaki ke hadapan, cuba tegangkan otot dan tarik nafas ( dalam kiraan 1,2,3 ). Lepaskan ketegangan dan hembus nafas perlahan-lahan. Buat aktiviti ini selama 15 hingga 20 minit. Kaedah yang sama dapat juga digunakan untuk anggota badan yang lain. Tujuan senaman ini adalah untuk merehatkan otot. Apabila tertekan, otot secara tidak langsung menjadi tegang, khususnya otot bahu, leher dan belakang.
- Melepaskan emosi, sama ada dengan bercerita kepada rakan ataupun ahli keluarga. Kebanyakan orang, terutama pelajar lelaki, suka menyembunyikan masalah dan memendam perasaan. Bercerita tentang tekanan bukan menunjukkan kelemahan, sebaliknya merupakan satu kaedah yang baik untuk melegakan perasaan. Tekanan yang dipendam boleh diumpamakan sebagai gunung berapi yang boleh meletup ( dilepaskan kepada orang lain ) atau memakan diri sendiri (menghidap tekanan darah tinggi atau lemah jantung ) CARANYA jangan malu untuk bercerita masalah anda. Tekanan ialah perkara biasa yang dialami oleh semua orang. Kita perlu realistik dan menerima hakikat ini. Tekanan boleh dilepaskan melalui dua cara yang dipanggil katarsis ( melalukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan bersukan ) atau aktiviti ekspresif dengan meluahkan perasaan, bersembahyang, menulis surat, bercakap dengan kawan dan sebagainya. Meluahkan perasaan akan menjadikan manusia itu lebih selesa berbanding dengan menyembunyikan perasaan diri sendiri.
- Mengenal pasti punca tekanan. Ambil masa untuk menganalisis tekanan. Fikirkan secara mendalam. Antara cara yang boleh dibuat termasuklah menulis punca tekanan setiap hari sebelum tidur. Selain itu, kita perlu bertindak menyibukkan diri untuk melupakan tekanan. Cara ini adalah cara yang baik dan berkesan kerana punca masalah masih wujud dan tidak ditangani. Contohnya masalah perubahan fizikal yang menyebabkan tubuh badan berasa tidak selesa seperti muka berjerawat, misai mula tumbuh dan sebagainya. Cara yang boleh kita dilakukan adalah dengan membanyakkan pembacaan tentang perubahan biologi tubuh badan yang akan dialami oleh remaja selepas baligh.
- Bezakan antara perkara yang boleh dikawal daripada yang di luar kawalan anda. Jangan terlalu memikirkan perkara yang di luar kawalan kita seperti sikap orang terhadap kita, Sebaliknya kita boleh mengubah sikap dan tanggungjawab kita terhadap orang lain. Tindakan ini sebenarnya banyak membantu untuk meredakan tekanan.
- Jangan asyik memikirkan perkara lepas kerana hal ini tidak boleh diubah lagi, Sebaliknya rancang masa hadapan dengan baik supaya perkara yang dikesalkan tidak berulang. Berikan tumpuan pada perkara yang boleh dilakukan dan belajar mendisiplinkan diri untuk meneruskan tindakan mengatasi tekanan. Pelajar harus berani mengatasi dan menghadapi masalah. Melarikan diri daripada masalah bukan jalan penyelesaian terbaik kerana hanya bersifat sementara dan masalah masih beterusan.
Semua orang mempunyai masalah. Jika kita berasa hidup kita susah, ada orang yang lebih susah dan malang daripada kita. Hidup ini sebenarnya tidak mudah, tetapi kita masih boleh begembira dan bersyukur dengan apa-apa yang dimiliki.
Contoh terbaik ialah orang kurang upaya. Mereka tidak memandang kekurangan diri sebagai kelemahan, tetapi memberikan tumpuan pada kelebihan yang dimiliki untuk meneruskan hidup sebaik nasib orang lain.
Setiap manusia mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, gunakan kelebihan ini untuk meancang masa hadapan dengan lebih baik.
Thursday, July 29, 2010
Mencari Formula Kejayaan
Cerita gagak yang kehausan di sebuah kawasan gersang sering kita dengar sewaktu masih kecil, sama ada diceritakan oleh ibu bapa atau melalui bacaan buku cerita kanak-kanak. Kisah tersebut berkisar tentang kegigihan seekor burung gagak yang mencari air kerana kehausan. Namun begitu, setelah puas terbang ke sana ke mari mencari air di kawasan gersang itu, gagak itu masih tidak menemukan air. Keadaan yang kering dan gersang itu disebabkan oleh musim kemarau yang melanda kawasan tersebut. Hujan sudah lama tidak turun sehingga banyak sungai yang kering.
Setelah puas berusaha, burung itu berasa kepenatan dan berhenti rehat di dahan sebatang pokok. Ketika itulah gagak terlihat sebuah balang yang mengandungi sedikit air di dalamnya. Malangnya muncung balang itu agak sempit dan panjang pula. Paruh gagak tidak dapat sampai pada air didalam bekas itu dan agak mustahil pula untuk gagak dapat minum air tersebut.
Oleh sebab kehausan yang amat sangat, gagak itu mula berfikir, lalu mendapat satu idea. Gagak tersebut terbang dan mengutip batu-batu sehingga air di dalam balang tersebut naik ke paras muncung balang. Dengan mudah gagak dapat minum sepuas-puasnya dan bangga dengan kebolehannya. Tindakannya itu menyebabkan gagak tersebut terselamat daripada mati kehausan.
Kisah gagak itu ialah cerita teladan yang harus dijadikan panduan oleh pelajar yang jauh lebih baik ciptaannya berbanding dengan makhluk lain di dunia ini. Jika makhluk lain hanya diberikan nafsu sebagai panduan hidupnya, manusia pula dijadikan Tuhan dengan pelbagai keistimewaan, terutamanya diberi akal fikiran supaya manusia mampu berfikir dan mencorakkan hala tuju kehidupannya. Timin dan pisau di tanggan kita, terserah sama ada kita mahu memotong timun itu bulat-bulat atau panjang-panjang. Kita yang menentukan nasib hidup kita.
Cerita burung tersebut mungkin cerita rakyat yang diubah suai bagi menyedapkan jalan cerita seperti kisah sang kancil dengan buaya dan kisah little Mermaid dalam mitos orang Barat. Namun demikian, sekiranya diperhalus, bukan jalan cerita yang menjadi rujukan atau penyedap telinga, tetapi kisah teladan yang harus menjadi panduan kita, khususnya bagi manusia yang mahu berfikir.
Sebagai pelajar, apakah yang harus diambil daripada kisah gagak itu? Adakah pelajar hanya ketawa atau tersenyum apabila membaca cerita tersebut? Adakah pelajar hanya menjadi penyampai cerita kepada adik-adik tentang kisah gagak itu?
Aktiviti membaca bukanlah sekadar membaca secara membuta tuli atau seperti burung kakaktua yang pandai bercakap, tetapi tidak mengetahui maksud kata-kata yang diucapkannya. Pelajar harus melihat lebih daripada yang tersurat dalam kisah gagak itu. Yang tersirat daripada kisah teladan itu ialah KEGIGIHAN gagak tersebut apabila berhadapan dengan keadaan yang sukar dan kesungguhannya berusaha mendapatkan apa-apa yang diinginkan, tanpa mengenal erti putus asa.
Sehubungan dengan hal itu, pada 2010, pelajar mungkin akan menduduki peperiksaan yang penting. Peperiksaan yang besar seperti PMR, SPM, STPM ialah peperiksaan yang akan mengarahkan hala tuju pelajar dalam menentukan masa hadapan yang cerah atau sebaliknya.
Itulah fokus utama pelajar yang harus dititikberatkan pada 2010 ini berbanding dengan perkara-perkara yang lain. Jika pelajar menyenaraikan 10 perkara yang harus dijadikan keutamaan sepanjang tahun ini, maka "kecemerlangan dalam peperiksaan" perlu diletakkan ditempat paling atas.
Untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, kepintaran atau akal fikiran kita hanya satu peratus daripada kejayaan kita. Sebaliknya, 99 peratus ialah usaha daripada keringat kita sendiri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pelajar perlu lebih gigih berusaha, lebih rajin membaca, mempunyai strategi, banyak bertanya, dan pelbagai lagi tindakan proaktif, bagi menjamin kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan.
Gabungan antara kecemerlangan merangka strategi dengan kegigihan berusaha sudah pasti menjanjikan kejayaan bagi pelajar. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kepintaran atau akal fikiran hanya mewakili sebahagian kecil daripada kejayaan dan yang paling utama ialah usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu.
Kebanyakan manusia yang berjaya pada hari ini ialah manusia yang rajin berusaha. Manusia seperti ini ingin yang terbaik dan memperbaik keadaan hidupnya daripada "biasa" kepada keadaan yang luar biasa.
Pelajar perlu berusaha mencontohi individu yang berjaya seperti Nicol Ann David. Lihat sahaja usahanya setiap hari sehingga kini mampu menjadi pemain dunia terbaik dan mampu mengubah kedudukannya dalam carta pemain skuasy di dunia.
Pelajar harus menjadikan golongan seperti ini sebagai teladan agar pelajar juga mampu mencapai kejayaan sepertinya. "Tidak ada kejayaan yang datang bergolek". Setiap kejayaan memerlukan usaha tanpa mengenal erti jemu dan putus asa. Berusahalah dan terus berusaha untuk mengejar kejayaan. Semakin gigih pelajar mengejar sesuatu kejayaan, maka semakin dekat kejayaan akan menghampiri pelajar.
Cuba pula pelajar lihat sikap rakyat Jepun yang berusaha bangun sebagai bangsa dan negara yang maju. Kini, negara Jepun dapat berdiri sebagai negara maju sehingga menjadi contoh kepada negara-negara lain di dunia. Peristiwa pengeboman Nagasaki dan Hiroshima cukup menyiksakan seluruh bangsa Jepun. Cuba fikirkan, bagaimanakah Jepun mampu bangkit?
Bangsa Jepun yang mempunyai semangat jati diri yang kuat sebagai bangsa yang ingin maju dan menebus kekecewaan yang pernah dialaminya. Setiap kegagalan ada hikmahnya dan kekecewaan itulah sesuatu yang perlu ditebus dan bukan untuk ditangisi.
Kepintaran ialah anugerah Tuhan yang boleh diasah. Apabila seseorang individu banyak membaca, pasti kepintarannya akan terserlah. Itulah sahaja kuncinya. Kadangkala terdapat individu yang dianugerahkan oleh Tuhan dengan kepintaran luar biasa, seperti Adi Putra yang mampu menyelesai masalah matematik yang sukar sehingga menjadi rujukan orang ramai, termasuk peringkat IPT. Kepintaran yang luar biasa itu merupakan anugerah Tuhan. Tuhan memberi peluang kepada manusia agar dapat berfikir tentang kekuasaan-Nya yang mampu menjadikan apa-apa yang Dia inginkan terhadap hamba-Nya.
Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa yang berada pada tahap majoriti manusia. Kita perlu melihat kepintaran yang dimiliki harus dipupuk dan dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin.
Yang paling penting, berusahalah dengan bersungguh-sungguh agar mendapat kejayaan yang diidamkan. Kepintaran sahaja tidak mencukupi untuk membawa manusia ke arah kejayaan. Ingatlah bahawa kepintaran hanya satu peratus daripada inspirasi dan 99 peatus ialah curahan keringat individu itu sendiri dalam menentukan kejayaan.